Hari ni nak betulkan sedikit cerita yang aku tulis semalam. Mungkin ada yang salah faham mengenainya dari cara aku menulisnya. Minta maaf ya. Mengenai orang arab tu, bukanlah aku kata mereka tu kasar-kasar. Mereka itu fizikalnya besar-besar dan tegap. Tak macam orang kita yang saiz badan kebanyakkannya kecil. Orang kita yang lemah lembut juga selalunya tidak berapa kuat kalau nak dibandingkan dengan ketegapan mereka ditambah dengan saiz badan mereka. Itu yang kita perlu berhati-hati. Bukanlah nak kata mereka tu kasar. Cumanya, takut kita ni yang tak dapat bertahan kalau berada dalam kelompok mereka. Itu saja. Bab tolak menolak tu, bukan nak kata orang luar saja yang begitu. Orang kita pun ada juga yang begitu. Maklumlah, tempat yang kita nak pergi itu satu tempat yang mulia. Satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Satu tempat yang semua orang mahu berada. Hati orang tak sama. Ada yang boleh menahan rasa teruja. Ada orang yang tidak. Itu yang jadi begitu. Tapi bagi aku, tak perlulah kita tolak menolak. Bersabar dan lebih berhemah itu adalah yang sebaiknya. Tujuan kita mahu ke sana adalah mahu beribadat kerana Allah Taala. Berdoa banyak-banyak agar segalanya dipermudahkan. Kalau ada rezeki kita untuk ke tempat yang baik-baik tu, insyaAllah, kita akan mendapatnya tanpa perlu tolak menolak atau mengasari orang lain.
Sebelum menunaikan umrah, aku memang banyak membaca dan mendengar pengalaman orang lain. Maklumlah, kali pertama. Serba-serbi tidak tahu. Banyak perkara yang tidak faham. Dari pembacaan dan cerita orang lain, dapatlah aku sedikit gambaran sebagai persediaan untuk melakukan ibadat ketika di sana. Alhamdulillah, terlalu banyak perkara yang dapat aku kutip dari cerita-cerita orang lain. Ianya menjadi sesuatu yang berharga buat aku yang baru kali pertama mahu ke tanah suci menunaikan ibadah umrah dan ziarah. Dari pembacaan dan cerita orang, ada pelbagai kisah yang aku dapat. Salah satunya mahu aku kongsikan di sini. Aku tak ingat aku membacanya di blog mana. Tapi aku sangat tertarik dengan entrynya yang berbunyi, cerita dari Mekah bagaikan satu pita rakaman yang ceritanya lebih kurang sama dari zaman ke zaman. Di sana, jangan buat itu, nanti.. jangan cakap begini, nanti.. kalau kita begini, nanti.. kalau orang begitu, nanti.. Aku tersenyum sendiri ketika membacanya. Ini kerana, itulah juga versinya yang aku selalu dengar sejak dulu. Kisah benar yang diulang-ulang sehingga kita jadi takut untuk ke sana. Membacanya membuatkan aku berazam sendiri. Aku mahu bercerita yang baik-baik dan yang indah-indah saja bila balik nanti. Kisah benar yang diulang-ulang itu biarlah dari orang lain.
Tak dinafikan, pada mulanya aku sendiri ada perasaan takut itu. Lebih-lebih lagi selepas dimomokkan dengan kisah benar pengalaman orang lain. Takut juga dengan dosa-dosa sendiri. Dosa dengan Allah sudah cukup banyak. Tak kira lagi dosa dengan suami, emak dan orang-orang disekeliling. Namun, pengalaman indah dari orang lain membuatkan aku tolak tepi perasaan takut itu. Satu nasihat dari temanku membuatkan aku jadi lega dan mahu memperbaiki diri. Kak, niatkan mahu ke sana kerana Allah Taala. Banyakkan buat solat taubat. Banyakkan buat solat hajat minta dipermudahkan segalanya. Perbanyakkan solat-solat sunat. Beritahunya. Ketika di sana ke? Soalku yang blur. Eh, ketika di sini lagilah. Di sana nanti teruskan. Balik nanti pun teruskan lagi. Jawabnya. Alhamdulillah, ianya menjadi nasihat yang sangat berguna untuk diriku. Harap-harap dapat diguna pakai oleh orang lain juga. Bukan sekadar untuk persediaan kita mahu ke tanah suci. Tapi untuk pedoman kita sehari-hari sebagai bekalan menuju kehidupan di akhirat nanti, InsyaAllah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dari Allah.
Satu cerita benar lagi indah yang mahu aku canangkan ialah, Allah itu Maha Berkuasa. Allah itu Maha Pengasih. Allah itu Maha Penyayang. Allah itu Maha Pemurah. Allah itu Maha Mencukupi. Allah itu Maha segala-galanya. Subhanallah. Air mata terus mengalir mengingati semua KebesaranNYA. Sebak mengingati semua KebaikkanNYA. Berdoalah, mintalah, pohonlah dengan sepenuh hati kita tanpa ragu. Allah itu Maha Mendengar. Jika apa yang kita pohon dimakbulkan, Alhamdulillah, bersyukurlah. Jika masih belum dimakbulkan, yakinlah yang Allah itu Maha Mengetahui. Tetap bersyukurlah kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik saja. Semoga keimanan kita akan terus meningkat dengan sentiasa mengingati Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.