Monday, May 21, 2012

Salam buat semua...

Salam buat semua.

InsyaAllah, esok saya akan menunaikan ibadah umrah bersama en.asben, emak dan kedua mertua. Saya ingin memohon maaf jika pernah terkasar bahasa atau ada perkara yang menyinggung perasaan teman-teman sepanjang kita berkawan di alam maya ini. Mohon doakan agar segalanya dipermudahkan buat kami. Ada rezeki, insyaAllah kita berjumpa lagi.

Salam Mesra
Hanis Azla.

PS : Buat anak-anak mama dan ayah yang tersayang (Han, Is dan Az)
Jaga solat, jaga tingkah laku dan jaga diri sebaiknya. Mama dan ayah sayang kalian sangat-sangat. Mama dan ayah minta izin untuk meninggalkan tanggungjawab kami buat seketika. Doakan agar segalanya dipermudahkan buat mama, ayah, nenek faza, nenek munah dan atuk.

Salam sayang,
Mama..

Tuesday, May 15, 2012

Ayah..

Hampir subuh, aku termimpikan ayah. Ayah kelihatan sangat kacak. Wajahnya bersih dan bercahaya. Misainya terurus. Rambutnya cukup rapi. Bajunya bersih dan kemas. Dalam mimpi itu, aku tahu yang arwah sudah tiada. Tapi aku sangat gembira dapat bertemu dengannya walaupun hanya di dalam mimpi. Walaupun tidak berkomunikasi. Semoga arwah baik-baik saja di sana. Semoga arwah dikumpulkan bersama orang-orang yang beriman.

Waktu hayatnya, arwah sangat menjaga hubungannya dengan orang lain. Begitu menghormati tetamu. Rajin mencari saudara. Semoga aku juga akan menjadi sepertinya. Sentiasa dapat menjaga hubunganku dengan orang lain. Beberapa hari ini aku ada terbaca yang perbuatan dan amalan baik yang dilakukan oleh anak-anak akan sampai kepada ibu bapanya. Semoga segala amalanku yang baik akan sampai juga kepada emak dan arwah ayahku hendaknya, insyaAllah.

Thursday, May 10, 2012

Solat Sunat - Kaitannya dan keperluan masa kini..

Sedang membaca buku Solat Sunat Kaitannya dengan Keperluan Masa Kini tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed. Terbitan Telaga Biru. Harga RM 29.90. Buku yang sangat menarik dengan penerangan tentang solat sunat yang sangat jelas. Diberikan situasi, kemudian diberikan jawapan berserta dengan penjelasan yang cukup terang berserta dalil-dalilnya.  Menambahkan lagi kefahaman kita tentang solat-solat sunat. Sehingga membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi di sini. Kalau berminat bolehlah mendapatkannya. (Saya meminjamnya dari perpustakaan pejabat.) Semoga bertambah lagi ilmu pengetahuan dan mutu ibadat kita hendaknya, insyaALLAH..

  Cover buku dari Google..

Wednesday, May 9, 2012

14, 16, 12...

14...

Alhamdulillah.. Hari ini genap 14 tahun aku mendirikan rumahtangga bersama en.asben. Alhamdulillah, kerana dikurniakan dengan seorang suami yang baik. Menantu yang baik buat emakku. Mendapat mertua yang baik sebagaimana emak dan ayahku sendiri.  Di berikan amanah seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki yang menjadi kesayangan dan buah hati kami.  Harta dunia akhirat yang menjadi milik kami bersama. Syukur Ya ALLAH. Semoga perkahwinan  dan keluarga kami terus mendapat berkat dan rahmat dariNYA.

16...

InsyaAllah, 16 hari untuk Umrah dan Ziarah menjadi hadiah ulangtahun perkahwinan yang sangat aku syukuri. Ianya bukanlah hadiah langsung dari en.asben untukku. Tapi menjadi isterinya memberikan aku laluan untuk memperolehi peluang yang sangat indah ini. Alhamdulillah, mertuaku yang  membiayai umrah dan ziarah kami. Terima kasih mak dan ayah. Semoga Allah terus merahmati kehidupan mak dan ayah di dunia dan di akhirat. Semoga keduanya sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan mendapat keberkatan umur hendaknya. Begitu jugalah untuk emakku sendiri.

12.. 

InsyaAllah, 12 hari lagi kami akan menunaikan umrah. Alhamdulillah, dengan peluang yang aku perolehi, aku juga dapat membawa emakku bersama untuk menunaikan ibadah umrah ini, insyaAllah. Perasaanku sungguh berdebar saat ini. Terasa cukup gementar. Namun keseronokkan untuk ke rumah Allah sudah mula terasa. Ada rasa tidak sabar. Dan semestinya mula terasa rindu pada anak-anak. Semoga Allah menerima kedatangan kami sebagai tetamuNYA yang istimewa. Semoga Allah permudahkan urusan kami. Semoga Allah memberkati perjalanan dan niat kami untuk beribadat kepadaNYA. Semoga Allah sentiasa melindungi kami  dan anak-anak yang ditinggalkan.

Tuesday, May 8, 2012

Tak berani nak tanya...

Pernah terbaca kat blog teman-teman yang mengatakan mereka sangat tak suka bila disoal dengan soalan mengandung ke? Padahal mereka tak mengandung. Mungkin sebab badan naik sikit atau perut muncit sikit. Diri sendiri pun macam tu juga. Kadang-kala aku pun menerima soalan tu. Maklumlah dah ada anak tiga. Exercise jarang-jarang. Makan kuat. Lemak tepu banyak. Pergi slimming centre pun tidak. Jadinya tak bolehlah nak cover bila perut naik sikit (sikit ke?? perut sendiri terpaksalah kata sikit he..he..)

Kelmarin ada sukan sekolah kafa anak. Sekolah kafa tu depan rumah. Jadinya yang menghantar anak-anak di situ memang jiran-jiran setaman juga. Waktu itulah dapat bertemu dan berbual-bual dengan jiran-jiran. Nampak macam jiran depan tu mengandung. Berborak dah lama. Tapi nak tanya pada dia rasa tak terbuka mulut ni. Mana tahu soalan itu akan bertukar kepada soalan yang tidak disenanginya bila dia sebenarnya tidak mengandung.

Sudahnya aku simpan sendiri soalan tu? Hati orang kita kena jaga kan. Nanti-nanti kalau dah sah nampak macam betul-betul mengandung barulah aku berani nak tanya. Boleh ucap tahniah sekali dan tumpang gembira untuk mereka sekeluarga yang bertambah lagi bilangan anaknya.

Monday, May 7, 2012

Macam mana tu?

Is dah darjah lima. Esok nak periksa. Matematik asyik dapat B aje. Tapi adalah sedikit peningkatan sebab sebelum ni pernah dapat C juga. Suruh hafal sifir punyalah liat. Dia nak guna cara dia sendiri yang banyak tambah-tambah guna jari. Kadang-kadang express dia jawab. Kadang-kadang lama dia pause baru jawab. Pagi semalam aku paksa juga suruh hafal sifir sebab minggu ni ada periksa. Malam tadi waktu balik dari rumah mertua aku dok soal sifir dalam kereta sepanjang jalan. Ada yang dia dah hafal. Ada juga yang tidak. Tapi ada satu jawapan tu  buat aku, en.asben dan Han terjerit. Hah??

Aku : 9 x 3 berapa?
Is :  Dalam 20 lebih..

Boleh pulak dia bagi jawapan sifir guna range number macam tu. Bukan actual figure. Macam mana tu? Aduhai anak.. ini yang buat mamanya  pulak yang rasa lebih suspen bila anak yang nak periksa...

Friday, May 4, 2012

Sesekali dia memujuk..

Kalau tengok tv dia memang kusyuk. Nak-nak time movie yang best. Kalau duduk sebelah pun dia tak toleh. Tak payahlah kalau nak cakap apa-apa. Memang tak layan punya. Kalau nak tanya kisah tu macam mana memang takkan dijawab juga. Cakaplah sorang-sorang. Dia buat dek aje. Bila macam tu aku pun sentap. Padahal dah faham sangat. Tapi biasalah orang perempuan. Suka sensitif tak bertempat. Suka nak merajuk pada yang sayang. Mulalah keluar ayat. Fine. (Ayat sentaplah tu kan he..he..) Ingat dia nak layan. Memang taklah kan. Dia toleh kejap, lepas tu toleh balik pada skrin tv.

Lepas dah habis movie barulah dia back to normal. Tapi aku pula dah tak normal he..he.. Dia tanya aku diam. Dia peluk aku buat dek. Dia buat lawak aku tak gelak. Majuklah konon. Aku naik atas dia naik atas. Bila dah naik atas aku malas nak turun. Dari atas minta tolong anak ambilkan air. Abang tolong mama, tuangkan air teh yang mama buat tu dalam mug. Lepas tu abang letak ais. Mama nak teh o ais. Nanti tolong bawakan naik atas ye.. Is jawab, Okey mama. Aku dengar Is naik tangga. Aku nampak Is bawak teh o ais untuk aku.

Tapi sebelum sempat Is bagi kat aku dia dah ambil mug tu dari tangan anak dia. Sua kat aku dan kata. Nah ma, air yang you nak. I yang buatkan untuk you.. Aduhai.. punyalah nak pujuk. Terus hilang majuk aku. Terus keluar ketawa besar aku. Anak-anak dah tergelak-gelak kat situ. Kalau time dia nak pujuk. Memang sampai aku betul-betul terpujuk barulah dia puas hati. Kalau time dia tak nak pujuk tu, merajuklah sorang-sorang di situ. Ha..ha..   

Ragam rumahtangga memang macam-macam kan. Ada manis,  ada pahit. Ada ceria, ada duka. Yang duka dan pahit kita lupakan dan cuba perbaiki diri. Kita kenang cerita yang baik-baik. Yang seronok-seronok. Yang menceriakan. Agar kita boleh mengecap bahagia hingga ke akhirnya. Dengan doa dan harapan agar perhubungan kita mendapat keberkatan dariNYA. Harap-harap cerita-cerita manis begini dapat memperbaiki perhubungan kita dengan insan tersayang. Aku bercerita di sini untuk mengenangnya juga. Agar dapat terus berbahagia dan berkasih sayang dengan orang yang aku cinta dengan izin dariNYA juga.

Thursday, May 3, 2012

Lup & Rot...

Minggu lepas balik kerja emak cakap, tak tengok ke beg sekolah  anak kau along? Stokin sekolah yang dia dah pakai dia selit dalam beg dia sampai 3 pasang.. he..he.. aku memang sekali sekala aje check beg sekolah anak. Tapi emak aku selalu.

Petang tu waktu Az balik sekolah, aku tanyalah pada dia, kenapa stokin yang dah pakai tak keluarkan dari dalam beg? Tak masukkan dalam bakul kotor? Dia jawab, Baby lup lah mama... (Lup yang pendekkan dari lupa).

Aku yang nak marah mulalah nak tergelak. Tapi aku cuba juga nak bercakap serius dengan dia. Jangan nak lup aje. Mama rot nanti baru tahu.. Az pandang aku pelik. Rot tu apa ma? Tanyanya. Rot tu rotan.. jawabku. Oh.. rotan katanya. Az ingat dia aje boleh pendekkan perkataan. Mama pun boleh juga tau.. he..he..

Wednesday, May 2, 2012

Bulan Mei, kita bercerita tentang rindu..

Sejak awal tahun aku mula tertunggu-tunggu ketibaan bulan Mei. Alhamdulillah, hari ni sudah 2 hari kita masuk ke bulan Mei. InsyaAllah, kalau ada rezeki dan dipanjangkan umur, 20 hari lagi aku, en.asben, emak, emak mertua dan ayah mertua akan menunaikan umrah dan ziarah. InsyaAllah kami akan menziarahi Istanbul terlebih dahulu sebelum ke Madinah dan Mekah.

Masih teringat lagi senyumanku waktu dikhabarkan peluang untuk menunaikan ibadah umrah ini. Masih terasa betapa besarnya hatiku menerima perkhabaran itu. Ianya sangat indah. Terima kasih Ya ALLAH. Terasa aku berbuat terlalu sedikit. Tapi ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih memberiku terlalu banyak. Syukur Alhamdulillah dengan segala nikmat dan pemberianNYA.

Semoga perancangan kami di berkati olah ALLAH. Semoga segalanya dipermudahkan hendaknya. Semoga kami diberikan kesihatan yang baik. Dalam pada itu aku mula merindui anak-anakku yang akan ditinggalkan untuk 16 hari nanti. Tapi rasa rinduku untuk melihat Kaabah buat pertama kalinya terasa lebih lagi. Aku sudah mula termimpi-mimpi akan keindahannya. Bercerita mengenainya saja sudah membuatkan aku rasa sebak. Semoga semuanya berjalan dengan lancar nanti. Semoga anak-anakku sentiasa dilindungi olehNYA.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...