Nuffnang

Tuesday, June 30, 2020

Baik..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Allahu.. Lamanya tak menulis di sini. Raya sakan atau PKP sakan, tak tahulah  hehe.. Alhamdulillah.. sekarang ni dah mula kerja macam biasa. Hampir 3 minggu dah masuk ofis. Alhamdulillah.. kehidupan juga berjalan dengan penuh lancar dengan izin ALLAH. Ada kurang di sini sana kita perbaikilah dan perbetulkan. Yang penting perbetulkan diri sendiri tanpa perlu menunding jari menyalahkan orang lain. Hidup ini kan tak lari dari ujian. Bahagia itu kita yang cipta. Bagaimana nak bahagia? Serahkan semuanya kepada ALLAH. Tugas kita banyakkan berbuat baik kerana ALLAH. In shaa ALLAH.. Bahagia akan menyusul kerana setiap kebaikan balasannya kebaikan juga. Siapa yang tak bahagia bila memperolehi kebaikan? Betul tak?

Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). Surah Ar-Rahman Ayat 60.

Banyak sangat ganjaran tentang kebaikan yang kita dapat temukan dalam Al-Quran. Salah satunya dalam ayat 60 Surah Ar-Rahman. Pernah aku tertanya-tanya sendiri. Kenapa ayat dalam Al-Quran itu berulang-ulang? Berulang-ulang kali membaca Al-Quran aku masih belum temui jawapannya. Sehinggalah aku mula sedar. Manusia itu, ada bermacam-macam jenis dan bermacam-macam juga pemahamannya. Ada yang baca sekali, dah faham dan dapat mengamalkannya. Ada yang perlu membacanya berulang-ulang kali baru faham dan baru dapat mengamalkannya. ALLAHUAKBAR. ALLAH itu MAHA TAHU. Semua yang ALLAH cipta itu penuh hikmah. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR..

Pernah ada ketika, aku terfikir. Kenapa aku boleh berbuat baik? Boleh berbuat baik dengan orang yang baik, itu biasa. Boleh berbuat baik dengan orang yang bersikap tidak baik itu, hmmmm.. ianya memang luar biasa. Kenapa aku boleh bercakap baik dengan mereka? Kenapa aku masih mahu menjaga hati mereka? Tanpa sedar, semuanya bukan kerana aku baik. Tapi kerana ALLAH mahu aku berlaku baik. Kalau sekadar untuk dapat pujian manusia, bagi aku itu semua sangat tidak berbaloi. Lama mana orang asyik nak memuji kebaikan kita? Lama mana orang akan mengingati kebaikan kita? Tiada jawapan yang pasti. Apa yang pasti, Janji ALLAH itu pasti. Setiap kebaikan balasannya kebaikan pula!

Sebelum PKP kami balik kampung. Ada kenduri dan niat paling utama untuk melawat makcikku yang dipotong kakinya kerana kencing manis. Pakcikku juga tidak sesihat dulu akibat stroke. Semoga ALLAH merezekikan kesihatan yang baik juga kesabaran yang tinggi buat pakcik makcikku sekeluarga. Selagi tak bawa emak melawat adik dan adik iparnya, hati aku rasa tak tenteram. Ingat nak menginap di hotel. Tapi kami tukar kepada balik hari saja sebab hotel-hotel yang aku nak booking penuh. Maklumlah waktu itu dah masuk cuti sekolah. Jadi aku minta izin dari En.Asben untuk diberikan duit yang sepatutnya kami gunakan untuk booking hotel kepada makcik dan pakcikku saja.

Walaupun aku ada pendapatan sendiri, tapi setiap apa yang ingin aku belanjakan memang aku selalu minta izin dari En.Asben terlebih dahulu. Dah terbiasa begitu dan aku selesa begitu. Waktu aku kecil dulu, pakcik itulah yang banyak membantuku. Setiap tahun, sebelum buka sekolah dia akan belikan aku dan adikku alat-alat tulis. Rasanya setiap tahun begitu. Baik sangat pakcikku. Kisah itu aku ceritakan kepada en.asben. Aku katakan padanya, jika ada peluang aku mahu lakukan kebaikan untuk pakcikku pula. Nak membantu, apa sangatlah yang boleh aku lakukan sekadar dapat melawat sekali sekala. Dapat menghulur sedikit pun dah terasa indah rasa hati. Aku tahu, bukan wang ringgit yang pakcikku harapkan. Mereka sendiri ada duit. Tapi peluang memberi itu  punya makna tersendiri. 

Dua minggu lepas, anak sulung pakcikku itu menelefonku. Meminta kami serta emak dan pakcik makcikku mewakilkan bapak dan emaknya untuk urusan meminang untuknya bertunang. Kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan. Tiada masalah untuk membantu. Tambah lagi untuk keluarga pakcikku yang jasanya tidak akan pernah aku lupa. Hujung minggu lepas kami ke Pagoh untuk urusan tersebut. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan. Majlis pertunangan sepupuku di musim PKPP ini berjalan dengan lancar. Syukur. Kami sekeluarga disambut dengan baik oleh keluarga tunang sepupuku. ALLAHU.. Besar rasa hati dapat layanan yang baik. Makanan yang dihidang sedap-sedap semuanya. Alhamdulillah.. perut kenyang, hati senang. 

Alhamdulillah.. Selamat bertunang Along dan Saida. 
Cantik manis tunang Along. Welcome to our family Saida. Musim PKP ni majlis bukan boleh ramai-ramai. Rombongan kami pun cuma 10 orang. Kalau selalu tu tak 10 kereta tak sah hehe..

Acara perbincangan. Adik ipar aku sepagai jurucakap bagi pihak kami. 

Kami dan ahli keluarga baru. 
Semoga berkekalan hingga ke jinjang pelamin dan ALLAH izinkan till Jannah. Aamiin Ya Mujib. 

Selesai majlis pertunangan kami singgah di rumah arwah pakcik aku di Pagoh. Dekat sangat pun rumahnya dengan rumah tunang sepupuku tadi. Meriah juga sambutan dari makcikku dan anak-anaknya. TQSM Aunty Ya and family. Perut dah kenyang dengan bihun bariani, popia dan laksa penang yang semuanya super sedap. Sebelum balik kami dibekalkan dengan buah rambutan dan buah manggis dari pokok mereka pula. ALLAHU.. Semoga terus berkat rezeki makcikku sekeluarga. 

Singgah menghantar makcikku di Ayer Keroh, kemeriahan silaturahim bersambung lagi. Acara makan-makan tak terputus juga. Alhamdulillah.. Syukur ya ALLAH. Asam pedas tetel dan kambing bakar yang dijamu membuatkan kami tak makan malam dah malam tu hehe.. Kenyang sangat perut. Esoknya makcikku yang di Pagoh ada kirimkan lagi buah tangannya untuk kami melalui adikku yang stay lebih lama di rumahnya. ALLAHU.. apa yang diberi sudah banyak, ditambah lagi pemberiannya. Semoga segala kebaikan ALLAH ganti dengan kebaikan yang lebih baik lagi.. Aamiin Ya Mujib. 

Semalam, seorang pegawai yang dah bersara di musim PKP singgah sekejap di pejabat. Sebelum PKP pun cuma dapat kenal beberapa bulan. Jadi tak serapat mana. Tapi semalam ada sebekas kek yang diberikan untukku juga. ALLAHU.. Rasa berbesar hati menerimanya. Rasa berbesar hati dengan ingatan darinya.  Terima kasih ALLAH kerana rezekikan orang yang baik-baik di sekelilingku. Aku kongsikan di sini agar aku tidak lupa untuk membuat kebaikan yang sama kepada orang lain pula. Agar aku dapat istiqamah melakukan kebaikan hanya kerana ALLAH. 

Sejak dua minggu ini dinding di tangga rumah ada titisan air. Tak banyak tapi bila dah tak berhenti menitis basahlah juga tangga. Tak tahu puncanya dari mana. Puas kami buat post mortem sendiri. Tapi gagal menemui puncanya. Dalam masa yang sama ada projek lain pula di rumah. Projek yang menjadi idaman hati aku dan en.asben untuk anak-anak kami. Jadi kami tak boleh nak panggil   kontraktor lain untuk check masalah air di dinding tersebut. Tak mahulah ramai orang datang rumah dalam satu-satu masa di musim PKP ni. Jadi terpaksalah bersabar dahulu. Jadi untuk dua minggu ini aku reda ajelah. Setiap hari tukar kain untuk menahan air dari tangga basah. 

Semalam, selepas solat isyak waktu nak tukar kain yang menahan air, kain tu  dah kering. Pegang dinding pun dah kering juga. ALLAHU.. Syukur. Terima kasih ALLAH. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Hal yang kecil juga boleh buat hati rasa sangat bahagia. Setiap perkara juga ada peredarannya. Sabar dan cuba cari penyelesaiannya dengan jalan sabar juga. Cukup sampai sini dulu. Aku doakan semoga segala kebaikan ALLAH rezekikan buat kalian sekeluarga. 

Jom terus berbuat kebaikan hanya kerana ALLAH. In shaa ALLAH.. Tak rugi berbuat baik. ALLAH dah janji. Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). ALLAHU.. Betapa beruntungnya orang yang membuat kebaikan hanya kerana ALLAH.  

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

Monday, June 1, 2020

Raya PKP Aidilfitri 2020..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Selamat Hari Raya. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Alhamdulillah.. Hari ni dah 10 Syawal. Tahniah untuk yang dah selesaikan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Yang masih belum selesai atau yang masih belum mula, semoga kita sama-sama direzekikan untuk melaksanakannya dan semoga ALLAH terima semua amalan kita.. in shaa ALLAH. Baru terbaca tadi, yang kita semua adalah dituntut untuk berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Jadi bila ada yang berkongsi tentang perkara kebaikan marilah kita raikan. Bukan bersangka buruk tentang mereka. Mungkin yang dikongsi itu adalah hidayah untuk kita turut melakukan kebaikan yang sama.. In shaa ALLAH. Hidayah dan petunjuk datang dalam macam-macam cara kan?

Alhamdulillah.. Buat pertama kalinya kami beraya di rumah sendiri untuk Aidilfitri kali ini. Suasana baru yang kemeriahannya masih sama. Tahun ni kami masak rendang ayam, rendang daging, kuah kacang, sayur lodeh dan rebus ketupat nasi dan ketupat palas. Tahun ni juga ada rezeki buat kuih raya sendiri untuk pertama kalinya. Buat biskut Milo, biskut kelapa, tempeyek dan kuih goyang/ros. Hmm.. takdelah penuh meja. Tapi jadilah.. At least something untuk dikenang di musim raya PKP ni. Alhamdulillah.

Biskut Milo mama yang second batch. Buat lagi sebab batch pertama bekas terakhir dah tinggal suku isinya. Buat terus 2 adunan untuk batch ni sebab nak bagi MIL dan SIL. Hehe.. Selalu boleh bagi alasan tak sempat nak buat kuih raya. Dah cuti PKP ni kita usahakanlah sesuatu yang baru. Kalau tak malu kat orang  malu juga kat diri sendiri. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan oleh ALLAH yang Maha Baik dan Maha Penyayang. 

Sepanjang PKP penggunaan oven di rumah melebihi kapasiti biasa. Setelah berkhidmat dengan jayanya selama 20 tahun suhu bahagian atas dah tak lagi panas. Jadi kalau buat kek atasnya tak garing. Buat roti warnanya tak cantik sebab takde pembakaran dari atas. Han buat biskut pun pucat warnanya. Alhamdulillah.. Rezeki Ramadan dapatlah mama oven baru. Thank you ayah. Oven lama kita tak buang. Fungsinya sekarang hanya untuk panaskan lauk dan buat bakar-bakar ayam. Mama taknak oven baru berbau hehe.. Alhamdulillah.. banyak berjasa oven lama sepanjang ramadan untuk panaskan makanan waktu sahur. Oven baru pun dah mula berjasa juga.. Alhamdulillah.

Dapat oven baru mama terus pasang azam. Kalau ada rezeki nak buat kek untuk raya tahun ni. Nak buat kek marble. Hajatnya nak buat untuk anak-anak makan di hari raya. Sebab anak-anak memang suka kek tu. Untuk bagi Mil, Sil, pakcik makcik dan untuk jiran-jiran juga. Alhamdulillah.. Sehari sebelum raya dapat buat 5 biji kek. Petang raya tambah buat 2 biji kek lagi sebab tak cukup. Dapat baking 7  biji kek memang jadi sejarahlah untuk mama. Kembang-kembang hidung rasa hehe.. Alhamdulillah.. dapat berkongsi rezeki dengan orang lain juga. Syukur. Seronok sangat rasa. Alhamdulillah.. Segalanya dengan izin ALLAH.

Pagi raya selepas solat subuh mama ayah memang dah tak sambung tidur. Ayah memang teruja sebab pagi tu kami nak ziarah dan berhari raya di rumah mertua. Dah lebih 2 bulan tak jumpa mestilah rindu. Walaupun dekat tapi kami tetap tak jumpa. Dah suruh stay at home jadi kita ikutlah arahan dengan sebaik-baiknya. Kita jaga kita dan kita jaga orang yang kita sayang dengan sebaiknya. Pukul 7.30 dah suruh anak-anak bersiap. Lepas siap makan juadah raya kami tunaikan Solat Sunat Aidilfitri di rumah. Kalut-kalut lupa nak ambil gambar menu raya. Takpelah.. gambar makanan memang sentiasa berada di ingatan hehe..


Alhamdulillah.. first time dapat bergambar dengan semua jemaah Solat Sunat Aidilfitri. Sehari sebelum raya mama dah minta anak-anak iron baju raya. Firhan yang dah tinggal dengan papa dia sekarang memang sepanjang PKP ada kat rumah kami. Gegirl dengan Hafiy beraya dengan papa. Jadi takdelah baju rayanya. Dia pinjam baju raya abangnya yang lama. Cari-cari tak jumpa pulak seluar baju melayu kelabu tu. Takpelah.. pakai dengan seluar hitam ajelah. Bila Firhan pakai macam tu, dah semua orang nak pakai dengan seluar hitam jugak. Ayah pun join sekali. So nampak seragamlah semua. Selalu kami takde warna tema baju raya. Cuma tahun lepas en.asben nak kami pakai baju raya warna pastel. Jadi dua tahunlah dapat pakai baju raya tema pastel pilihan en.asben sebab kami pakai baju raya tahun lepas. Alhamdulillah.. 

Alhamdulillah.. Indahnya Syawal. Semoga kita semua direzekikan untuk bertemu lagi dengan Ramadan di tahun-tahun akan datang.. In shaa ALLAH.


Selesai solat, dah bersiap semua kita bergambar raya dulu sambil tunggu nenek bersiap. Selalu bergambar raya di rumah orang sebab balik kampung etc. Tahun ni barulah dapat bergambar raya di rumah sendiri.


Tiada apa milik kita, kan? Semuanya pinjaman.
Semoga ALLAH terus pinjamkan kebahagiaan dan kemeriahan ini untuk kami.. Aamiin Ya Mujib.


Dah settle semua urusan di rumah kami terus ke rumah mertua di Kajang. Alhamdulillah.. seronok dapat kembali berjumpa dan berkumpul dengan emak ayah dan keluarga mertua yang dirindui. Semoga wabak ini akan cepat berakhir.. Aamiin Ya Mujib


Raya PKP. 
Kita simpan sebagai kenangan. Semoga wabak Covid 19 menjauhi kami dan kita semua sejauh-jauhnya. Bantu kami yang ALLAH. Selamatkan kami Ya ALLAH.


Selamat Hari Raya ikhlas dari kami sekeluarga. Mohon maaf zahir dan batin.


Kami bersama kesemua keluarga mertua. Alhamdulillah.. Kami tak merentas negeri. Kami tak lebih 20 orang. Kami tak bermalam. SOP PKP kami patuhi.
Semoga ALLAH lindungi kami dan kita semua dari wabak dan penyakit.

Selesai beraya di rumah mertua, tengah hari tu kami ke rumah makcikku di Bangi yang beraya berseorangan. Sepanjangan PKP asyik cakap nak datang rumah. Tapi takut nak keluar rumah. Ada pelepasan, dapatlah kami berjumpa di hari raya. Adik aku dan keluarga pun ada sekali. Ada pakcik dan keluarganya juga. Alhamdulillah.. kami tetap tak lebih dari 20 orang. Selesai beraya dengan makcikku kami singgah beraya di rumah pakcikku pula. Selepas itu kami terus pulang ke rumah. Petang tu lepak kat rumah aje. Adik aku pun lepak kat rumah sampai malam. Seronoklah kami melaya si comel Luna. Malam tu pakcik aku dan keluarga pula datang beraya ke rumah kami. Cukuplah kuota beraya kami untuk tahun ini. Sederhana namun tetap gembira. Alhamdulillah.. Dapat juga berkumpul bersama keluarga terdekat. Syukur sangat. 


Aku, adik dan emak. Alhamdulillah.. tahun lepas dapat gambar raya bersama. Tahun ni pun ada rezeki lagi bergambar raya bersama. Semoga ALLAH terus izinkan.. In shaa ALLAH.

Alhamdulillah.. cukuplah sikit cerita raya kami untuk tahun 2020 ini sebagai kenangan. Alhamdulillah.. ada rezeki untuk simpan cerita raya kami dalam blog ini. Terima kasih ALLAH untuk segala nikmatMU. Rezekikan kami untuk menjadi hambaMU yang selalu bersyukur. Aamiin Ya Mujib.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, May 20, 2020

Gunting Rambut, Moreh, Resepi Cekodok Bilis dan Kuih Raya PKP..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam 27 Ramadan. Salam PKP ke 5. Salam sejahtera dan salam hormat buat semua. Semoga semuanya dianugerahkan dengan kesihatan yang baik, dianugerahkan dengan keluarga yang bahagia juga dianugerahkan dengan rezeki yang berkat dan melimpah ruah.. Aamiin Ya Mujib.

Ramadan seperti terlalu cepat berlalu. Tapi.. Masa memang akan terus berjalan dan tak akan pernah menunggu kita, kan? Itulah lumrahnya. Semoga baki masa yang ALLAH pinjamkan untuk kita dapat kita isi dengan perkara-perkara kebaikan juga perkara-perkara yang membawa kebahagiaan buat kita dunia akhirat. Semoga kita dapat menjadi hambaNYA yang bertakwa dengan mendirikan solat dan bersabar. 

Alhamdulillah.. Sepanjang PKP dan seterusnya sepanjang Ramadan tahun ini, ada rezeki yang ALLAH pinjamkan untuk membaca Al-Quran berserta tafsirnya. ALLAHU.. Benarlah Al-Quran itu petunjuk. Al-Quran itu panduan. Segala persoalan kehidupan dunia akhirat ada jawapan di dalamnya. ALLAHU.. Terasa kerdil sangat diri bila membaca setiap makna ayat. ALLAHUAKBAR. Semoga kita semua dan seluruh anak cucu keturunan kita dapat mencintai Al-Quran.. In shaa ALLAH.

Dah lebih dua bulan tak ke kedai gunting rambut, rambut en.asben dan anak-anak bujang dah mula panjang. Bila dah panjang mulalah nampak tak berapa kemas. Masuk 2 bulan, en.asben order pemotong rambut online. Alhamdulillah.. rambut anak-anak bujang dan selamat dipotong sesama mereka sendiri dengan sedikit bantuan mama yang kerisauan takut rambut anak gonjeng hehe.. Itupun mama ambil part sikit-sikit aje. Rambut anak muda sekarang kan ada stylenya. Jadi biar dia orang buat sesama sendirilah sebab dia orang lagi tahu.

Alhamdulillah.. walaupun tak sempurna potongannya tapi kemaslah juga rambut masing-masing. Ada sedikit tobek tu kena terimalah dengan hati terbuka sebab masing-masing yang memotong rambut tu semuanya beginner kan. Tapi sebab duduk rumah aje semua pun macam takde hal sangat. Janji rambut tak lagi serabut. Yang selamat rambut Az sorang. Tengok rambut abang-abang tak secantik potongan di kedai terus dia mengelak untuk rambutnya dipotong sampai sekarang hehe.. So masih panjanglah rambut anak bujang bongsu mama tu.  

Rambut ayah, mama tak berani nak potong. Sebab kenal suami sendiri macam mana kan hehe.. tapi tetap rasa geram nak potong bila rambutnya dan mula nampak tak kemas. Dalam tak berani tu tetap ada hati juga nak guntingkan rambut en.asben tu. Sajalah dok offer-offer. Sekali last week en.asben minta potongkan rambut dia terus rasa ketar tangan haha.. Iyalah nak raya dah kut. Dah mula kena masuk ofis juga sekali sekala. Nanti kalau tak elok macam mana????

Alhamdulillah.. dalam takut-takut nak potong rambut en.asben, mama dapat keberanian dan keyakinan bila en.asben kata, takpe ma. Potong aje, janji pendek. Dengan lafaz Bismillah, berbekalkan pengalaman potong rambut anak bujang dua tiga hari sebelum haha.. dan semestinya dengan fokus, hasilnya en asben kata, rugi ajelah bertahun-tahun I potong rambut kat kedai kalau you pun boleh potongkan rambut I macam kat kedai. Hikmah PKP. Baru tahu isteri ada skill untuk potong rambut suami sendiri rupanya. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH atas segala keizinan dari MU. Semalam minta en.asben tolong potongkan rambut mama pulak. Saja nak tukar style. Alhamdulillah.. Mama love this new look. Tq sayang.

Kalau selalu bulan ramadan berat badan dapatlah turun sekilo dua. Tapi tahun ni berat tak turun pun. Alhamdulillah.. syukur berat masih maintain. Selalu aku tak pandai nak makan moreh. Balik surau atau masjid aje terus fikir nak tidur. Tapi bila dah solat terawikh dan witir kat rumah, selesai solat suka aje nak mengunyah join orang lain. Bila macam tu setiap hari mesti kena ada juadah untuk moreh. Bila ada keperluan mulalah datang kerajinan.

Alhamdulillah.. setiap hari mesti ada kuih manis dan kuih pedas. Buah melaka dengan murtabak maggi. Popia dengan puding caramel. Karipap dengan kek. Cucur bilis dengan cucur jagung manis. Murtabak kulit popia dengan bubur. Cekodok udang dengan cekodok pisang. Macam semalam, sardin role dengan bread butter pudding.  Hikmah PKP juga. Ada masa nak masak sendiri untuk keluarga. ALLAHU.. New normal.

Oh.. cucur bilis atau cekodok ikan bilis memang favourite aku. Anak-anak pun memang suka. Setakat ni memang cekodok emak dan MIL the best in the world. Air tangan ibu kut. Puaslah aku belajar cara buat dan minta resepi. Tapi tak jadi juga macam cekodok emak dan MIL walaupun dah ikut resepi dan cara mereka. Sampailah akhirnya aku jumpa cara buat cekodok dengan resepi yang kena dengan tekak dan teksturnya sama macam cekodok emak dan MIL.

Resepinya ialah, sepeket tepung cucur adabi campur tepung gandum (letak tepung gandum sama nisbahnya dengan tepung cucur adabi tu). Tambah bawang hiris, ikan bilis dan air. Jangan cair sangat dan jangan pekat sangat adunan tepung tu. Then sudukan dalam minyak panas. Hasilnya.. Sikit lagi nak sama dengan cekodok air tangan emak dan MIL. Tapi tetap cekodok emak dan MIL is the best in the world. Alhamdulillah.. En.asben dan anak-anak suka. Emak pun suka. Aku lagilah suka. Kuah cili cicah cekodok MIL pun sedap. Dulu buat cekodok makan cicah cili sos botol aje. Pernahlah tiga empat kali buat cili sos resepi MIL bila en.asben request. Bila dah selalu guna resepi sos MIL rasa tak sedap dah cicah cili sos botol. Jadi setiap kali buat cekodok buat sekali sos cili resepi MIL. Cili merah, garam, gula. Aku tambah cuka atau asam limau sikit. Blend guna air suam. Kadang kalau tercair aku tambah cili sos botol sikit. Done! Makan popia cicah sos itu juga. Nyummmss.

So untuk orang yang suka cekodok tapi buat asyik tak menetapi citarasa boleh cuba resepi ni. Kalau tak campur dengan tepung gandum aku tak suka tekstur cekodok yang macam tu. Bila dah campur dengan tepung gandum baru ngam kena dengan selera. Makcik aku yang teror buat cekodok pun puji cekodok aku. Sedap, lembut dan garing katanya. Dia tanya resepi aku malu nak cerita hahaha.. Iyalah ada bahan bantuan kut. Tapi sekarang aku share ajelah kat sini. Apa salahnya kalau kita buat sesuatu dengan bantuan pun. Asalkan hasilnya bagus dan ada kebaikan untuk kita. 

Oh.. Tahun ni buat pertama kalinya mama buat kuih raya. Biskut milo aje pun. Kita buatlah apa yang anak-anak suka. Bila buat batch pertama, balang terakhir dah tinggal suku isinya mama rasa seronoklah nak buat kuih raya lagi hehe.. Alhamdulillah.. ada rezeki buat second batch pulak. Buat terus dua adunan. Buat untuk kami sekeluarga dan kalau ada rezeki nak bagi Mil dan kakak ipar juga. Dah duduk rumah sepanjang ramadan ni, adalah juga hasilnya walaupun sejenis ajepun kuih rayanya hehe..Buat juga biskut kelapa untuk emak. Jadilah buat kudap-kudap di hari raya nanti. 

Cadang hari ni kalau jadi nak buat tempeyek dengan emak. Semoga dipermudahkan.. in shaa ALLAH. Have to stop now. Semoga segala yang baik-baik ALLAH rezekikan untuk kita semua. Alhamdulillah.. hari ni ada rezeki aku buat sesuatu yang aku dah lama ada niat nak buat. Hari ni baru dapat terlaksana. Terima kasih ALLAH. Semuanya dengan izinMU. Tiada daya dan kekuatan tanpa izin ALLAH. Doaku.. semoga kita semua selamat dunia akhirat. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Friday, May 8, 2020

Rezeki PKP dan Ramadan Tahun 2020..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam 15 Ramadan. Salam PKP hari yang ke??? Hmmm.. Dah 50 berapa hari dah ya? Minta maaf. Lost count huhu.. Apa-apa pun didoakan agar semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera, aman bahagia serta dipermudahkan segala urusan bersama keluarga tersayang..  in shaa ALLAH.. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. Allah rezekikan kita lagi untuk bertemu dengan 15 Ramadan tahun 2020 ini. Allahu.. terasa cepat benar masa berlalu. Sedar tak sedar dah separuh bulan kita berpuasa. Hampir dua bulan kita bersama-sama menjalani Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai juga yang telah kembali ke negeri abadi. Innalillahiwaiinailaihirojiun. Mati itu pasti! Kita juga sedang menunggu hari. Semoga kita semua direzekikan dengan kematian yang husnul khotimah. Direzekikan untuk masuk syurga bersama semua ahli keluarga dan orang-orang yang kita sayang.. Aamiin Ya Mujib.

Oh ya.. di kesempatan ini aku ingin meminta maaf dengan setulus hati kepada semua. Aku tahu aku banyak berbuat silap. Aku banyak berbuat salah. Dalam sedar atau tidak, pastinya banyak kekhilafan dan kekurangan diriku sepanjang aku berurusan dengan orang-orang di sekelilingku. ALLAHU.. Maafkan aku! Maafkan aku andai aku selalu bermegah. Maafkan aku andai aku selalu berlebih-lebihan dalam urusanku. Maafkan aku andai aku melampaui batas. Ya ALLAH.. Ampunkan dosaku, terimalah taubatku.

Ramadan kali ini walaupun berlainan dari biasa, namun suasananya tetap sangat indah. ALLAHU.. ALLAH pastinya Maha Indah. Tahun ini, rasanya kami sekeluarga lebih menyambut Ramadan. Mungkin kerana tahu Aidilfitri tahun ini tak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jadi tumpuan lebih kepada Ramadan (walaupun sepatutnya setiap tahun pun sepatutnya begitu). Disebabkan itu aku mahu menyimpan memori Ramadan tahun 2020 ini di sini untuk kenangan kami sekeluarga. Juga untuk aku sentiasa rasa bersyukur atas segala nikmat dan pinjaman dari ALLAH.

Dua hari sebelum Ramadan, aku dan en.asben dah siapkan tempat untuk kami sekeluarga solat terawikh berjemaah. Sebab tahun ini tak dapat berjemaah di surau atau masjid. Tahu juga yang tiada tetamu yang akan datang ke rumah sepanjang PKP dan raya tahun ini. Di ruang tamu, karpet kami rapatkan. Meja dan kerusi kami alihkan ke tepi agar ada ruangan yang lebih selesa untuk kami sekeluarga dapat solat berjemaah. Terima kasih buat teman-teman yang berkongsi persiapan untuk ruangan solat bagi menyambut Ramadan. ALLAHU.. Keterujaan orang lain membuatkan aku ikut teruja. 

ALLAHU.. Kita akan dapat kebaikan dari setiap perkongsian orang lain jika kita berfikiran positif.. In shaa ALLAH. Semoga kita semua direzekikan untuk selalu bersangka baik dan dijauhkan dari prasangka buruk. Aamiin Ya Mujib. Alhamdulillah.. sepanjang PKP kami dapat solat berjemaah di rumah. Tapi setiap kali sebelum dan selepas solat, kedudukan kerusi dan meja perlu dialihkan terlebih dulu. Bila dah sediakan ruangan khas, semua orang rasa lebih selesa. Tak payah nak alih-alihkan kerusi meja lagi. Syukur.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Paling bersyukur, setakat 15 Ramadan tahun ini, kami dapat berjemaah satu keluarga untuk  setiap waktu solat juga solat terawikh dan witir. ALLAHU.. bagiku ianya rezeki PKP dan rezeki Ramadan terbaik untuk kami sekeluarga tahun ini. Syukur Alhamdulillah. Tiada daya dan kekuatan tanpa izin dari ALLAH. Terima kasih ALLAH. Semoga kita semua dapat istiqamah melakukan amal ibadat kita hanya kerana ALLAH. Syukur juga atas setiap rezeki yang ALLAH pinjamkan. ALLAHU.. ALLAHUAKBAR.. YA RAHMAN.. YA RAHIM..

Alhamdulillah.. Juadah Ramadan juga dapat disediakan sendiri sepanjang Ramadan tahun ini. Kalau selalu rajin membeli, tahun ini lebih banyak dapat memasak sendiri. Kuih muih pun boleh ada kuih manis dan pedas setiap hari. Setiap hari rasa cukup seronok dapat sediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga tercinta. ALLAHU.. rezeki Ramadan dan PKP juga tu. Alhamdulillah.. Syukur padaMU Ya ALLAH. Semoga kita semua dapat sama-sama ambil peluang untuk berdoa waktu sebelum berbuka dan ketika waktu sahur. Semoga Allah makbulkan.. In shaa Allah.

Aku ni.. bila tak menulis, langsung tak menulis. Kalau dah menulis pulak susah nak berhenti. En.asben nak buat kerja tu. WFH kan. Ni pinjam sekejap work station. Thank you sayang! Nampaknya kena stop dulu di sini. In shaa ALLAH.. ada rezeki, panjang umur kita jumpa lagi. Selamat berpuasa semua. Semoga  kita semua dianugerahkan untuk bertemu dengan Malam Lailatulqatar untuk Ramadan tahun ini.. Aamiin Ya Mujib. Stay safe and stay at home sedaya mungkin okey. Jom jaga solat, cintai AL-Quran, berselawat dan berzikir. Semoga dalam keredaan ALLAH dan semoga ALLAH terima semua amalan kita.. in shaa ALLAH. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, April 20, 2020

Salam PKP & Ramadan Kareem..

Bismillahirahmanirrahim...

Assalamualaikum..

Salam PKP hari ke 34 untuk semua. Allahu.. Sedar tak sedar dah PKP peringkat ketiga dah sekarang. Alhamdulillah.. Sepanjang tempoh PKP ini aku hanya stay at home. Cuma ketua keluarga (en.asben) yang keluar untuk membeli barangan keperluan. Itupun sepanjang 34 hari ni baru 5 kali aje en.asben keluar. Yang lain kami order delivery saja. 

Alhamdulillah.. Walaupun dah 34 hari hanya stay at home, aku tak rasa boring langsung duduk di rumah. Nak bosan apa kalau suami, anak-anak dan emak sentiasa berada di depan mata. Nak bosan apa bila dapat duduk di rumah yang menjadi syurga buatku di dunia yang sementara ini. Alhamdulillah.. Syukur atas segala pinjamanMU Ya ALLAH. Banyak yang Allah dah beri jadi aku perlu belajar untuk lebih bersyukur dari hanya mahu berkeluh kesah. Aku pulak memang homely person. Jadi stay at home memang jiwa aku. Tapi masih tetap nak kerja juga walaupun duduk rumah sangat aku suka. Belum ada rasa nak jadi suri rumah sepenuh masa. 

Alhamdulillah.. Sepanjang PKP ni En. Asben work from home. Syukur.. Ada work station yang selesa di rumah  walaupun line internet adakala tak beri kerjasama untuk urusan kerja. Banyak-banyak bersabar ya sayang.  Kalau hari kerja memang en.asben bangun awal macam biasa. Jadi aku pun terikut sama bangun awal, mandi dan bersiap. Suami ada di rumah, isteri kenalah sentiasa bersiap. Walaupun cuma nak duduk rumah dan buat kerja rumah sepanjang hari tetap kena cantik-cantik dan wangi sentiasa. Ada banyak masa di rumah, rumah pun dapat sentiasa terjaga kemas dan bersih. Bila bilik sendiri, bilik air,  bilik anak-anak, ruang tamu, dapur dan porch sentiasa bersih dan kemas, muka memang selalu senyumlah jawabnya. Dah sepanjang masa berada di rumah, takkan nak guna alasan takde masa nak bersihkan rumah kan. 

Anak-anak pun sepanjang PKP ni kalau weekdays memang ada online class. Anak-anak aku pun memang homely person. Kalau nak ajak keluar memang susah sangat. Jadi peluang stay at home sepanjang PKP ni memang jadi idaman hati sangat. Tiada yang mengeluh or even mengadu bosan. Yang penting ada makanan dan boleh buat hal sendiri takde siapa yang merunggut. Aku tengok anak-anak semua rileks dan enjoy aje sepanjang PKP.  Alhamdulillah.. Syukur. Oh.. Harijadi di musim PKP pun tetap meriah rupanya. Bangun pagi menyambut usiaku yang ke-44 ada kek yang anak-anak buat sendiri tersedia di meja makan. Allahu.. Tqsm anak-anak mama. Semoga Allah sentiasa merahmati anak-anakku, suamiku dan kedua ibu bapaku di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. Bila semua ada di rumah dapatlah solat jemaah satu keluarga sama-sama. Bila berjemaah semua dapat solat di awal waktu. Syukur. Kesempatan yang ada kita gunakanlah sebaiknya. Kalau hubungan kekeluargaan mahu kita jaga, hubungan dengan Sang Pencipta yang Maha Agung lebihlah lagi perlu dijaga. Kalau sebelum ni selalu lalai dan leka, saat musibah  melanda ini sama-samalah kita memperbaiki diri dan meningkatkan amalan. Semoga Allah menerima segala amalan dan mengampuni segala dosa-dosa kita. Aamiin Ya Mujib. 

Sarapan setiap hari memang wajib. Paling lewat by 9am tu memang atas meja makan dah siap ada sarapan. Lunch pun masak, then buat menu tea time and dinner.  Alhamdulillah.. Skill memasak pun makin improve waktu PKP ni. Home made donut, popia, karipap, cakoi, churos, roti, kek, caramel yang sebelum ni tak pernah buat pun mama dah boleh buat dengan jaya dan bergaya hehe.. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah atas izinNYA. Allahu.. Seronok dapat memasak untuk insan-insan kesayangan. Paling best semuanya puji sedap dan makanan semuanya habis. Syukur, dalam waktu PKP ni masih cukup makan. Ada masa, membeli juga makanan luar untuk support peniaga or kawan-kawan yang berniaga. Kita pun dapat pelepasan memasak untuk satu dua meals hehe.. Jadi sama-sama dapat untung.

Alhamdulillah.. Walaupun duduk rumah tak habis dengan aktiviti makan, makan dan makan, berat masih maintain 59-60kg. Syukur sangat. Alhamdulillah.. masih dapat teruskan berpuasa isnin khamis. Kalau makan terlebih aku buat juga IF. Kerja rumah memang aku pulun buat semuanya sendiri. Sidai kain, angkat kain, sapu rumah, spa di dapur hehehe memasak dan buat kerja dapurlah tu. Memang itulah exercise yang paling senang untuk aku dan aku sangat happy dan enjoy melakukannya  pada setiap hari. Suka juga ulang alik turun naik tangga banyak kali. Kadang turun sengaja tinggalkan hp kat atas. Nanti boleh naik ambil. Dah siap masak suka juga nak naik atas jemput en.asben turun makan. Sengaja ambil peluang biar banyak pergerakan. Itu juga satu senaman. Alhamdulillah.. Syukur atas izin dari Allah.

Tak tahu berapa lama lagi PKP ini akan berjalan. Sementara waktu itu stay at home and stay safe semua. Ambil peluang yang ada untuk perbaiki diri dan tambah baik kualiti amalan dan ibadat kita. Terima kasih buat semua frontliners dan para pemimpin. Semoga Allah lindungi dan rahmati kalian dan keluarga  pada setiap masa. Semoga segala yang baik-baik Allah rezekikan untuk kita semua. Semoga kita semua dilindungi dari wabak covic 19. Dilindungi dari segala wabak dan penyakit. Semoga wabak corona virus ini akan segera pergi meninggalkan kita. Ya Allah.. Selamatkan kami dari kemurkaanMU. Selamatkan kami dari musibahMU. 

Ramadan Kareem. 

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Friday, February 28, 2020

February boy..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia. Jom banyakkan berselawat.

Specialnya bulan Februari tahun 2020 ini sebab ada 29 hari. Ingatkan hari ni last, rupanya esok masih Februari. Jadi mama ambil kesempatan nak menulis tentang anak bongsu mama yang lahir pada bulan Februari. Alhamdulillah.. tahun ni dah 16 tahun dah usia Az. Dah 16 tahun juga kali terakhir mama merasa pengalaman bersalin. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH atas segala rezeki dan pinjamanMU untukku. Syukur Ya ALLAH. Doa mama semoga Bb membesar dengan sihat, berbahagia dan cemerlang dunia akhirat. Jaga solat, jaga akhlak dan jangan tinggalkan AL-Quran ya sayang.

Malam birthday mama ayah belikan kek. Puas tanya nak kek apa. Sudahnya mama ayah belikan aje kek yang sedap untuk dia kat kedai Cheese U. Sempatlah mama ayah dating minum kat kedai tu sambil beli kek tu hehe.. Nak ajak keluar makan celebrate birthday dia pun susah sangat anak mama yang seorang ni. Tanya nak makan kat mana pun jawapan dia cuma entah. Sekali dah dalam kereta baru dia bersuara nak makan kat K-Fry. So jomlah kita. Alhamdulillah.. masa menunggu tak lama. Masa menunggu tu Han pergi cari barang dia. Az temankan. So lepas dah buat order mama terus arrange untuk minta orang K-Fry celebrate birthday Az sekali. Masa bingsu sampai, pekerja K-Fry pun nyanyi-nyanyilah lagu birthday. Tapi muka anak bertuah mama tu macam takde apa-apa pun. Langsung tak surprise hahaha.. Muka excited pun takde. 

Aduhai.. Rileks sangat kamu ni anak. Sangat pendiam dan suka buat hal sendiri aje. Tapi kalau suruh buat apa-apa pun dia buat aje tanpa banyak soal. Rajin practice main keyboard sampai cikgunya pun selalu puji. Alhamdulillah.. Exam keyboard hari tu dapat distinction. Tapi punyalah slow dia buat volume keyboard tu time practice taknak mama ayah dengar hahaha.. Kalau ambil dia kat sekolah kena on time. Tak boleh lambat. Kalau lambat nanti dia moody. Setiap anak ada perangai masing-masing kan. Setiap satunya punya keistimewaan yang sangat dekat di hati mama ayah. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Semoga anak-anak kita semua menjadi anak soleh solehah yang cemerlang dunia akhirat.. Sentiasa diredhai ALLAH dan dirahmati dengan limpahan rahmat dan kaasih sayang ALLAH. Aamiin Ya Mujib.

Mama ayah dengan anak bongsu kesayangan. 
Sampai sekarang mama memang suka nak peluk dan cium bongsu mama ni.
Pasrah aje dia. Suka nak usik-usik dia walaupun dia selalu tak layan hahaha.. 
tapi nanti dia senyumlah sikit bila tak tahan nak gelak dengan lawak mama.  

My AzLa and IsLa. 
Alhamdulillah.. dah besar-besar dah bujang mama. Terima kasih ALLAH.
Kata kawan blogger, Diana.. Rasa macam dah tua bila tengok anak-anak ni dah besar sangat. Sebab dulu selalu update cerita dia orang masa kecil-kecil.
Alhamdulillah.. Ada rezeki mama simpan cerita anak-anak di blog ini. 
Tiada daya dan kekuatan tanpa izin dari ALLAH. Thank you ALLAH.

Hari ahad, emak aku ada buat kenduri kecil di rumah. Orang taman dan orang surau nak buat majlis bacaan yaasin. Jadi emak offer diri sebagai tuan rumah. Alhamdulillah.. tercapai niat emak nak buat bacaan yaasin di rumah arwah adik aku. Semoga ada saham yang sampai buat arwah tuan-tuan rumah (arwah adik dan arwah suaminya) di sana. Aamin Ya ALLAH. Nenek masak nasi lemak dan lontong. Mama seperti biasa jadi penolong ajelah hehe.. Dah selesai tolong emak dan rumah pun dah siap berkemas, petang tu mama ayah hantar Is balik Kolej Matrik. Selepas tu kami ke rumah mertua pula. Mil nak celebrate birthday Az. Allahu.. besarnya rasa hati. Terima kasih banyak emak, ayah, maklong dan ibu. Selalu meraikan kami. Doaku semoga semuanya terus dilimpahi dengan kebahagiaan yang berpanjangan di dunia dan di akhirat.  

Alhamdulillah.. Dapat makan kek lagi.
Sedap sangat cheesecake yang emak buat. Petang tu emak masak lontong juga. Terima kasih emak. Semoga emak dan ayah terus direzekikan dengan umur yang berkat dan kesihatan yang baik.

Dah tak ramai dah sekarang ni. Semua dah besar-besar. Belajar jauh.
Susah nak kumpul ramai-ramai hujung minggu macam dulu.

Alhamdulillah.. Happy tummy, happy us. 
Terima kasih ALLAH atas rezekiMU. 

Sekian dulu. Salam hormat untuk smeua. In shaa ALLAH semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah. 

Wednesday, February 26, 2020

Wedding Yan & Fathia..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. pada tarikh 15.02.2020, sepupuku  Fazuwan telah selamat menamatkan zaman bujangnya. Tahniah buat Yan dan Fathia. Majlis diadakan di Dewan Institut Latihan Islam Malaysia, Port Dickson. Pengantin perempuannya orang PD. Majlis sebelah lelaki pun buat sekali di sana. Jadi kami semua berkumpul di PD. Hari sabtu tu, selepas solat subuh kami sekeluarga terus bersiap. Dalam pukul 7 lebih dah bergerak ke PD. Singgah minum pagi di RnR Mambau. Pukul 9 pagi kami selamat sampai di tempat majlis berlangsung. Alhamdulillah.. ramai ahli keluarga yang lain dah berada di sana. Seronok dapat berjumpa dan berkumpul. Sebelum majlis akad nikah bermula, sempatlah kami beramah mesra.

Bersama sepupuku Yan (panggilan manja keluarga).
Masa aku kahwin dengan en.asben, Yan kecil lagi. Jadi dari kecil memang Yan ni rapat dengan kami. Aku takde adik beradik lelaki. Jadi Yan dan adik beradik lelakinya lain memang rapat dengan aku dan adik-adikku. Dengan kakak-kakaknya lagilah kami rapat. Alhamdulillah.. Yan dah dapat kerja yang baik dan dah jadi suami orang dah sekarang. Semoga Yan terus cemerlang dunia akhirat.

Pengantin 22 tahun hehe..
 Usia perkahwinan yang 22 tahun tu. Bukan umur pasangan pengantin lama ni. 
Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH untuk pinjaman yang indah ini. 
Rezekikan aku Ya ALLAH dengan rasa meminjam bukan rasa memiliki. 
Semoga ALLAH rezekikan kebahagiaan yang berpanjangan buat rumahtangga kami berdua till Jannah.. In shaa ALLAH. Aamiin Ya Mujib.
I love you so much sayang Lillahitaala. 

Selamat Pengantin baru  buat Yan dan Fathia.
Till Jannah.. in shaa ALLAH.

Seragam yang bermacam ragam.
Baju sama ni makcik aku sponser. Alhamdulillah.. Semoga terus melimpah ruah rezeki emak pengantin. TQSM Cik Yang. Ada yang komen, senanglah bila dalam family takde diva. Boleh pakai baju sama. Alhamdullillah.. Walau tak sekepala kami okey aje.  Diva tu ada di mana-mana hehehe.. Tapi makcik aku guna kuasa veto. Beli aje takde tanya-tanya nak ke tidak. Take it or leave it konsepnya. Kalau besar pandai-pandailah alter. Kalau kecil, tak payah pakai. Senang. Diva sila duduk tepi hahaha.. Nak puaskan hati semua orang bukan senang. Cuma dalam apa-apa perkara kenalah beradab. Hargai pemberian orang dengan sebaiknya. Sesekali berkompromi untuk gembirakan hati orang lain apa salahnya, kan.

Kami dengan Pn. Sri Normala Shamsudin. Tetamu keluarga pengantin perempuan. Allahu.. Cantik, manis, ayu, sopan, ramah. Awet muda lagi. 
Allahu.. Suka sangat tengok. Orang cantik dengan budi pekerti yang sangat cantik. Idola sangat dengan orang yang macam ni.

Mama, ayah, kakak and gegirl.
Team rumah biru hahaha..
Alhamdulillah.. Makanan semua sedap. Bermacam jenis dan sentiasa di top up.

Sebahagian dari keluarga sebelah ibu pengantin lelaki. Kamilah tu.

Family sebelah ayah pengantin lelaki.
Pakcik aku orang Portugis Melaka. Banyak yang kahwin campur.
Jadi majmuklah family ni. 

Family makcik aku.
Semoga ALLAH merahmati mereka sekeluarga dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNYA.

Alhamdulillah.. Tahniah Yan dan Fathia.

Alhamdulillah.. siap juga entry ni. Syukur. Mood menulis, sila datang kembali. Be nice to me, please. I miss you so much huhu..

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah. 

Wednesday, February 5, 2020

Manusia.. Bisa benar, bisa salah..

Bismillahirahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Kelmarin terbaca sepotong ayat ini :

Malaikat tak pernah salah.
Syaitan tak pernah benar.
Manusia.. Bisa benar, bisa salah.
Maka kita dianjurkan saling mengingatkan.
Bukan saling menyalahkan.

ALLAHU.. Semoga aku tidak tergolong dalam golongan yang merasa diri lebih baik dari yang lain. Yang hanya nampak salah orang lain tanpa menyedari salah sendiri. Nauzubillahiminzalik. Aku menulis lebih untuk mengingatkan diri sendiri yang terlalu jauh dari sempurna. Bukan mahu membetulkan orang lain. Tapi lebih mahu membetulkan diri sendiri. Jika tulisan mahupun kata-kataku dapat memberi ingatan buat orang lain, semoga yang baik dapat dijadikan tauladan dan yang tidak baik dapat dijadikan sempadan. Yang baik pastinya dari ALLAH. Segala yang tidak baik tentunya dari kekurangan diriku sendiri. Aku bukan orang baik. Cuma saja ALLAH menutup aib-aibku.

Siakap, senohong, gelama, ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Sejak kecil, pantun nasihat ini begitu dekat dengan hatiku. Bagaimana aku mengelak diri dari berbohong kerana aku takut andai aku menjadi pencuri. Anak kecil, begitulah fikirannya bila dimomokkan. Alhamdulillah.. momokkan yang sebegitu menjadikan aku seorang yang takut untuk menipu. Aku tak mahu jadi pencuri. Aku tak mahu menyakiti sesiapa dengan sikap dan sifat burukku. Syukur.. ALLAH sentiasa melindungi. Semoga ALLAH terus lindungi aku dan keluarga dari sifat-sifat yang tidak baik. Bantu kami Ya ALLAH.

One lie leads to another and another..
Satu penipuan akan membawa kepada penipuan yang lain.. 

ALLAHU.. Petunjuk dari ALLAH datang dalam pelbagai cara. Dari petunjukNYA aku mengetahui satu berita yang cukup mengejutkan juga sangat tidak aku sangka. Semuanya bermula dari satu penipuan. Benarlah.. satu penipuan akan membawa kepada penipuan yang lain. Pantun nasihat itu juga bukan sekadar momokkan. Ianya menjadi pengajaran yang cukup besar untukku. Benarlah, musibah yang membuatmu kembali kepada ALLAH adalah lebih baik dari nikmat yang membuatmu lupa kepada ALLAH. Alhamdulillah.. Syukur atas setiap takdir yang telah ALLAH aturkan. Pastinya ada hikmah atas apa yang berlaku. Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan ALLAH. Terima kasih ALLAH.

Ya ALLAH.. jika sesuatu itu baik dan memberi manfaat buat kami,  maka kau dekatkanlah. Jika sesuatu itu tidak baik untuk kami, maka kau jauhkanlah ia dari kami sejauh-jauhnya. Aku tak sedih ditipu. Aku cuma sedih kerana aku tak mampu mempercayai lagi orang yang pernah menipuku. Semoga aku direzekikan untuk selalu bersangka baik. Hanya ALLAH yang tahu apa yang aku rasa. Aku serahkan semuanya pada ALLAH. Alhamdulillah.. Terima kasih awak. Jazakallahukhairan. Semoga kebahagiaan dan keselamatan yang berpanjangan sentiasa direzekikan buat awak dan keluarga. In shaa ALLAH.. Doa saya yang baik-baik sentiasa ada buat awak dan saya maafkan awak kerana ALLAH.

Jom.. banyakkan istighfar dan banyakkan selawat. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah. 

Monday, February 3, 2020

Yang manis untuk dikenang..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Syukur atas setiap sesuatu yang ALLAH kurniakan kepadaku. Lately.. bila terjaga dari tidur, dah beberapa kali aku kena panic attack. Panic untuk mengucapkan Alhamdulillah. Allahu.. Tak tahu kenapa, aku rasa seperti syukurku tak cukup. Aku takut aku tak direzekikan untuk mengucap Alhamdulillah. Aku takut aku lupa untuk mengucapkan syukurku kepada ALLAH. ALLAHU.. terlalu banyak yang ALLAH beri. PetunjukNYA, RezekiNYA, NikmatNYA, HikmahNYA, RahmatNYA.. ALLAHU.

Semoga aku direzekikan untuk menjadi orang yang selalu bersyukur dan selalu bersabar saat musibah dan ujian menimpaku. Semoga direzekikan aku untuk menjadi seorang pemaaf yang dapat memberi kemaafan dengan tulus ikhlas seperti mana aku mahu ALLAH ampunkan setiap dosaku dan menerima semua taubatku. Ya ALLAH.. Tariklah sesuatu yang tidak ENGKAU sukai dari hatiku dan gantikanlah segala sesuatu yang ENGKAU sukai dalam hatiku.. Aamiin Ya Mujib.

Sekejap aje dah masuk bulan Februari 2020. Cepatnya masa berlalu. Selalu rasa terusik dengan ayat yang selalu Ustaz Zul Ramli M Razali sebutkan tentang masa dalam usrah nurani di IKIM FM. "Masa yang pantas itu begitu mengajaibkan. Tetapi kelalaian manusia pada masa yang pantas itu lebih mengajaibkan." ALLAHU.. Bantu kami Ya ALLAH.. Yang selalu lalai dan leka. Jauhi kami dari kejahatan manusia dan kejahatan bisikan syaitan yang direjam.

02022020. Cantik tarikh semalam. Semalam kami ke majlis perkahwinan sepupu en.asben di Sumira Place, Titiwangsa, KL. Alhamdulillah.. majlis yang simple tapi cukup meriah. Nampak sederhana namun tetap kelihatan indah. Sebelum akad nikah, tok kadi memberikan sedikit tazkirah tentang perkahwinan. Tanggungjawab isteri, tanggungjawab suami. Serba sedikit tentang ilmu rumahtangga. Walaupun tahun ini perkahwinanku bakal memasuki usia 22 tahun, namun setiap ilmu tetap punya nilai yang cukup berharga. 

Paling berharga bila di saat itu, en.asben yang duduk di majlis yang sama, di baris belakangku menghantarkan pesanan ringkasnya. Luv u ma. ALLAHU.. Besar rasa hati menerimanya.  I love you too Fillah sayang. Alhamdulillah. Terima kasih ALLAH untuk nikmat berkasih sayang yang KAU anugerahkan buat kami. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dari ALLAH. Dan nikmat ALLAH yang mana mahu kau dustakan? Semoga syukurku selalu bertambah. Semoga aku sentiasa menyayangi segala yang ALLAH pinjamkan untukku hanya kerana ALLAH. (Maaf jika aku keterlaluan dalam bercerita). Yang manis kita simpan untuk jadi kenangan. Yang pahit kita lupakan agar hidup kita tenang. 


Kami di majlis perkahwinan sepupu en.asben 02022020.
Congratulations Faizal and Jaslina. Till Jannah.. In shaa ALLAH.

Kami bersama kakak pengantin.

Kami bersama ibu pengantin lelaki. Adik perempuan ayah mertua.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.