Assalamualaikum..
Semalam, aku ke bank untuk penukaran kad atm vs kad debit. Kad yang lama akan tamat tempohnya april ini. Disebabkan bulan april sudah hampir ke penghujungnya, maka gigihkanlah juga diri untuk ke bank. Sebenarnya termasuk semalam, sudah 3 kali aku ke bank untuk urusan tersebut. Kali pertama aku disuruh balik kerana orang ramai dan katanya kad tersebut masih boleh digunakan. Kali kedua, aku terpaksa balik bila waktu menunggu begitu lama dan waktu rehatku hampir tamat waktunya. Semalam, mahu tak mahu aku terpaksa menunggu juga menghabiskan waktu rehatku di sana.
Setelah 45 minit menunggu, masih ada 3 lagi nombor di hadapanku. Sepanjang waktu menunggu mataku asyik mengerling pada jam di tangan. Jadi risau andainya percubaan kali ini masih tidak berjaya. Hati dan punggung mula panas. Handphone di tangan tidak lagi menarik minatku untuk menghabiskan masa. Mulalah terasa mahu mencari-cari salah orang lain. Staff bank berborak-borak dan bergurau senda aku rasa bengang. Pelanggan lain lambat benar mahu bergerak dan mengeluarkan dokumen aku jadi tidak puas hati. Maklumlah, bila hati sudah panas sangat sukar untuk kita bersabar. Serba serbi terasa tidak kena.
Perasaan yang negatif selalu membuatkan kita sendiri rasa tidak selesa. Lebih-lebih lagi bila kita tahu yang kita tidak sepenuhnya dapat mengawal keadaan. Tapi... tentu saja kita boleh mengawal perasaan. Aku cuba memujuk diri agar terus bersabar. Rasa yang negatif perlu aku tukar kepada rasa positif. Kenapa tidak aku habiskan masaku dengan berdoa, berzikir dan berselawat? Tiba-tiba saja timbul soalan itu dalam kepala. Daripada aku asyik mengulit pergerakan jam dan mencari salah orang, lebih baiklah aku berdoa, berzikir dan berselawat agar masaku tidak menjadi sia-sia. Juga agar aku tidak terus berperasaan negatif.
Rabbi yassir wala tuassir.. Ya ALLAH.. permudahkanlah urusanku. Doaku sebelum berzikir dan berselawat. Sesudah berdoa, berzikir dan berselawat, hati mula jadi tenang. Perhatianku tidak terus tertumpu pada urusan kaunter yang bergerak perlahan. Aku boleh membelek telefon dengan rasa yang lebih selesa. Sedar-sedar, nomborku dipanggil. Tidak sedar entah sejak bila pemegang nombor giliran sebelumku menyudahkan urusannya. Terasa tidak terbeban langsung untuk menyelesaikan urusan tersebut. Sedangkan sebelum itu, pelbagai rasa yang mengganggu perasaan.
Syukur.. kisah semalam memberikan aku pengajaran. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat untuk orang lain juga. Kadang kala, apa yang berlaku pada diri kita menjadi ilmu yang berguna untuk kita memperbaiki diri. Adakalanya, perkara yang kita tahu tak akan dapat beri sebarang manfaat andai kita sendiri tidak mengamalkannya. Lebih-lebih lagi bila kita sendiri sering terlupa. Antara yang aku perolehi dalam motivasi pagi di radio IKIM pagi tadi ialah, ALLAH panjangkan umur kita adalah untuk kita memperbetulkan kesilapan diri. Semoga kita sentiasa dapat memperbaiki diri untuk memperbetulkan kesilapan diri sebelum nyawa kita diambil ILAHI.. insyaALLAH.
Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!