Minggu lepas, Han ada memberitahuku yang di sekolahnya akan diadakan acara pengucapan awam. Beberapa hari selepas itu dia memberitahuku yang dia mahu memilih untuk bercakap mengenai penyakit SLE. Katanya sejak akhir-akhir ini dia selalu mendengar aku bercerita kepada orang lain tentang penyakit tersebut. Bila sudah hari-hari mendengarnya, Han jadi semakin faham tentang penyakit tersebut dan boleh bercakap mengenainya tanpa memerlukan teks. Jadinya dia terpanggil untuk memilih topik itu sebagai tajuk ucapannya. Ini kerana baginya masih ramai yang seperti tidak maklum tentang penyakit itu. Sebenarnya aku juga baru mengetahui tentang penyakit tersebut pada tahun lepas selepas suami teman sepejabatku meninggal dunia akibat penyakit itu. Tapi waktu itu aku sekadar tahu secara serba sedikit saja. Bila adikku disahkan dengan penyakit SLE awal tahun ini, barulah pengetahuanku tentang penyakit itu tambah mendalam lagi. Ianya aku perolehi dari penerangan doktor dan juga melalui pembacaan. Bila Han memilih untuk bercakap tentang penyakit itu, aku juga jadi terpanggil untuk bercerita mengenainya di sini.
SLE (Systemic lupus erythematosus) atau lebih dikenali sebagai lupus adalah sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan sistem imunisasi tubuh menyerang tisu-tisu sihat dalam tubuh. Sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi. Akibat sistem imun rendah, pesakit mudah terdedah kepada jangkitan kuman serta masalah kesihatan yang lain. Penyakit ini sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita yang berusia antara 15 hingga 45 tahun. Penyakit ini tidak mempunyai simptom spesifik dan petandanya berubah-ubah mengikut individu. Ada yang menderita demam yang berlanjutan, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat ataupun mengalami kemurungan. Dunia perubatan turut menganggap lupus sebagai penyakit seribu wajah. Penyakit ini tiada ubat. Ubat yang diberi (steroid) adalah untuk mengawal penyakit itu saja. Itulah serba sedikit yang boleh aku ceritakan mengenai SLE.
Macam adik aku, sejak dulu dia memang kerap demam. Bila terkena batuk dan selsema, ianya akan berlarutan dalam tempoh yang agak lama. Sendi-sendinya juga selalu sakit. Pada mulanya dia menyangkakan yang ianya gaot kerana asid uric dalam darahnya memang tinggi. Pada hujung november tahun lepas dia ke klinik kerana batuk yang berpanjangan. Waktu pemeriksaan tekanan darah, bacaannya naik terlalu tinggi. Dalam 180 macam tu. Oleh sebab itu dia ditahan di wad kerana darah tinggi. Selepas mengambil ubat dan berehat beberapa hari di wad darahnya kembali normal. Tapi selepas keluar dari wad, darahnya sering saja naik sekitar 170-180. Selepas sebulan, dia kembali ke hospital untuk rawatan susulan. Pada ketika itu doktor mula mengesan sesuatu yang tidak kena bila ubat darah tinggi yang diberi seperti tidak dapat mengawal tekanan darahnya. Bacaan tekanan darahnya mencecah sehingga 199.
Oleh sebab itu doktor membuat urine test pula. Melalui ujian itu doktor mendapati banyak protein dalam air kencingnya. Adik aku kemudiannya dirujuk ke doktor pakar buah pinggang. Beberapa ujian lain termasuk biopsi buah pinggang telah dibuat sebelum adik aku di sahkan mengidap penyakit SLE. Sejak dimasukkan ke wad pada 4 Januari 2013, sudah beberapa kali adik aku keluar masuk hospital. Sehingga hari ini adikku masih lagi diberi cuti sakit kerana keadaan kesihatannya masih belum benar-benar stabil. Steroid yang diambil untuk mengawal penyakit mula memberikan kesan padanya. Badannya mula naik bila selera makan jadi meningkat. Kaki jadi selalu bengkak kerana buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik. Setiap minggu dia perlu memenuhi rutin berjumpa dengan doktor pakar kerana doktor mahu memantau keadaannya. Dia juga perlu lebih menjaga kesihatannya untuk mengelak dari jangkitan penyakit.
Alhamdulillah.. dalam keadaan begini, kaum keluarga semuanya bersatu hati memberikan sokongan. Emak sentiasa ada untuk memberikan semangatnya. Aku dan adik bongsuku memang memberi perhatian yang lebih kepada dia dan anak-anaknya. Makcik, pakcik, sepupu, saudara mara juga kawan-kawan sentiasa sama-sama memberi sokongan yang kuat. Ramai yang sudi mengambil tahu dan bertanya khabar. Kawan-kawan yang membaca kisah adikku di blog juga ada yang menelefon bertanyakan kesihatannya. Thanks untuk Liza dan Ain yang menelefonku semalam. Rasa cukup terharu bila kalian sudi mengambil berat. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik juga kesembuhan buat adikku. Semoga Allah membalas kebaikan semua yang begitu baik budi menyokong dan mendoakan kesihatan adikku.
Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Have a nice day.