Monday, December 31, 2012

Hai dan babai...

Assalamualaikum..

Bagaikan baru lagi kita menyambut tahun baru 2012. Hari ini, ianya sudah pun sampai ke penghujungnya. Esok, tahun 2013 akan menjelma. Tahun baru yang akan membuka diari kehidupan yang baru juga buat kita semua. Alhamdulillah, tahun 2012 dapat dilalui dengan baik. Pahit, manis, duka, gembira menjadi asam garam yang menjadi pelengkap kehidupan. Segala yang dilalui menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna juga cukup berharga untuk mendewasakan diri dan mematangkan fikiran. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kita seterusnya, insyaAllah.

Alhamdulillah, untuk tahun 2012 yang cukup indah. Detik-detik indah yang takkan mungkin akan berlaku tanpa izin dari Allah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Detik-detik indah pinjaman dari Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap orang ada senarai yang tersendiri. Aku juga begitu. Ingin aku coretkan di sini untuk mengimbas kembali detik-detik indah itu. Alhamdulillah.. di tahun 2012..

- Ada rezeki untuk terus bernafas.
- Ada rezeki untuk terus merasai nikmat iman.
- Ada rezeki untuk menuntut ilmu dunia dan akhirat.
- Ada rezeki untuk berkasih sayang bersama suami tercinta.
- Ada rezeki untuk menjadi ibu kepada anak-anak  tersayang.
- Ada rezeki untuk berbahagia bersama keluarga dan saudara mara.
- Ada rezeki untuk memiliki sahabat yang baik budi.
- Ada rezeki untuk melihat anakku masuk ke sekolah menengah.
- Ada rezeki untuk renovate dapur.
- Ada rezeki untuk merasa duit royalti hasil novel pertama. 
- Ada rezeki untuk anugerah ibu cemerlang Jabatan - Han upsr 5A.
- Ada rezeki untuk ke Istanbul, Turki.
Ada rezeki untuk menziarahi masjid Rasulullah saw.
- Ada rezeki untuk ke Raudhah, Masjid Nabawi.
- Ada rezeki untuk ke Tanah Haram.
- Ada rezeki untuk melihat Kaabah di depan mata.
- Ada rezeki untuk menunaikan Umrah untuk pertama kali.
- Ada rezeki untuk membawa emak bersama menunaikan umrah.
- Ada rezeki untuk sampai ke Gua Hira'.
- Ada rezeki untuk membuatkan Haji untuk arwah ayah.
- Ada rezeki untuk bercuti bersama keluarga.
- Ada rezeki untuk menyiapkan manuskrip kedua.
- Ada rezeki untuk mengeluarkan zakat.
- Ada rezeki untuk mengenang segala yang telah Allah kurniakan.

Alhamdulillah... Syukur Ya ALLAH. Kalau nak diikutkan, tak tersenarai semuanya. Tak tercoret segala cerita. Tak terluah dengan secukupnya rasa bersyukur. Semoga keimanan kita akan terus mantap hendaknya bila mengenang segala rezeki yang telah Allah berikan kepada kita. Subhanallah.. Nikmat mana lagi yang ingin kita dustakan???

Selamat Tahun Baru 2013! 
Benar-benar Cinta - Bab 11 untuk yang berminat.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah... semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita.

Friday, December 28, 2012

Takpe...

Assalamualaikum..

Lumrah manusia. Ada yang tahu untuk menjaga hati orang lain. Ada juga yang tahunya hanya menyakiti hati orang lain. Tak kiralah walau bagaimana baik pun orang lain itu melayannya. Ada yang jenis bercakap lembut. Ada yang jenis bercakap kasar. Tak kiralah walau selembut mana orang bercakap dengannya. Ada yang akan ambil kisah akan perasaan orang lain. Ada juga yang tidak kisah akan perasaan orang lain. Hmm.. bukan semua orang akan melayan kita sebaiknya. Bukan semua orang boleh menjaga hati kita sebagaimana yang kita mahu. 

Lumrah manusia juga. Adakala hati kita tersentuh. Adakala hati kita terguris. Adakala kita boleh bersabar. Adakala kita boleh terasa juga. Bila dah terasa, rasa marah senang  nak menjelma. Ada peluang memang kita mahu membalasnya. Tapi.. memaafkan adalah lebih baik. Malah ianya akan lebih melegakan hati kita sebenarnya. Mungkin, tanpa kita sedar, kita sendiri pernah melukakan perasaan orang lain. Ianya boleh jadi balasan untuk kita juga. Dari situ kita dapat pengajaran untuk lebih tahu menjaga perasaan orang lain. Besar betul kelebihan memaafkan dan bersabar ni. Ianya memang tak semudah bagai dikata. Tapi dengan sedikit usaha dan kesungguhan, pastinya kita boleh melakukannya. Takpelah kalau orang buat kita. Allah yang Maha Mengetahui itu kan ada.

Benar-benar Cinta - Bab 10 sudah dimuat naik. Sudi-sudikan dan selamat membaca.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.  

Thursday, December 27, 2012

6 Perkara Allah sembunyikan..

Assalamualaikum...
Alhamdulillah.. semalam terbaca perkongsian yang baik lagi menarik dari seorang rakan FB tentang 6 perkara Allah sembunyikan. Subhanallah.. Maha suci ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku ingin kongsikan pula di sini untuk pedoman dan peringatan buat diriku dan keluarga juga untuk rakan-rakan semua agar kita sama-sama mendapat manfaatnya, InsyaALLAH. Semoga kita dapat sama-sama mempertingkatkan amal perbuatan kita sebaiknya. 


Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan
Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.'

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kamu telahmenyembah aku dengan ibadah yangbersungguh- sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atasperintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'

Kemudian Jibrail as berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal...'

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yangtelah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .'

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

1- Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
2- Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
3- Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
4- Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
5- Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
6- Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.
Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Wednesday, December 26, 2012

Misi 9pm to 5am...

Assalamualaikum..

Malam isnin baru ni sebelum cuti krismas, ada kejadian yang tidak menyenangkan berlaku di kawasan perumahan kami. Lebih kurang pukul 9 malam jiran belakang menelefon meminta kami mengintai rumah jiran yang betul-betul berada di belakang rumah kami. Katanya ada bunyi bising di dalamnya sedangkan tuan rumah tiada di rumah pada ketika itu. (Sebab kereta tuan rumah tiada di depan rumah). Ketika kami mengintai ke rumah tersebut memang lampu di dalam rumah terang berpasang. Kipas di bilik bawah juga laju berpusing. Kiranya memang sah ada orang di dalamnya yang pastinya bukan tuan rumah. Kalau tidak diberitahu tentu saja kami menyangkakan yang memang tuan rumah dan keluarganya yang berada di dalam rumah.

Waktu itu pihak polis sudah dipanggil. Sementara menunggu polis datang, jiran-jiran sudah berjaga-jaga di hadapan rumah. Sebahagian lagi termasuk en.asben menunggu di bahagian belakang rumah. Tiada siapa yang berani masuk menerjah. Makanya terpaksalah menunggu pihak polis datang. Juga menunggu tuan rumah balik. Bila pihak polis sampaisi pencuri itu sudah hilang dari dalam rumah. Mungkin sudah lari melalui loteng rumah. Entah di mana dia menyorok pun kami tak tahu dan tak dapat dipastikan. Nampaknya pencuri tu lebih tahu selok belok kawasan rumah kami dari kami-kami semua.

Oleh kerana si pencuri itu terus tidak ditemui, terpaksalah jiran-jiran termasuk en.asben menunggu dan berjaga sehingga ke pagi. Pukul 5 pagi barulah en.asben masuk ke dalam rumah. Dalam pada pencuri tidak dapat ditemui, jiran belakangku itu sudah kehilangan tv dan set golfnya. Mungkin pencuri itu sudah masuk sebelumnya dan membawa keluar barangan tersebut dan masuk sekali lagi untuk mencuri barangan lain. Keberanian mereka cukup menakutkan. Ingatkan pencuri buat kerja di tengah malam dan buat kerja dalam keadaan gelap. Tapi rupa-rupanya janji rumah kosong, waktu bila pun mereka berani masuk. Tak payah bergelap, dalam keadaan rumah terang benderang pun dia orang berani buat kerja.

Sangat penting untuk menyimpan nombor telefon jiran-jiran yang terdekat. Makanya, jika berlaku hal-hal yang begini, kita boleh saling menghubungi dan berkongsi informasi. Alhamdulillah ada jiran-jiran yang peka dan ada sikap bersatu hati. Ianya menjadi penguat untuk menghilangkan rasa takut pada si pencuri yang tak akan selamat hidupnya nanti. Kesenangan dari harta mencuri pastinya tak berkat. Kalau terlepas di dunia pastinya dia tidak akan selamat di akhirat nanti. Semoga kita semua dan harta benda kita sentiasa dilindungi dari pencuri durjana seperti itu.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Monday, December 24, 2012

Penat.. padat.. puas..

Assalamualaikum..

PENAT..
Alhamdulillah.. hari pertunangan untuk 2 orang sepupuku telah berlangsung dengan jayanya juga dengan penuh meriah sabtu lepas. Tahniah untuk Tira & Helmi juga untuk Wawa & Aliff. Semoga segala perancangan kalian seterusnya untuk menjadi suami isteri akan mendapat keberkatan ALLAH. Seronok bila dapat terlibat sama untuk meraikan pertunangan sepupu sendiri. Berseri-seri wajah kedua-dua orang sepupuku. Seronok tengok. Tapi dalam seronok tu, penat memang cukup terasa. Lebih-lebih lagi bila majlis pertunangan kedua mereka itu berlangsung pada hari yang sama. (Tira sepupu en.asben dan Wawa sepupuku). Pagi-pagi kami ke Setapak untuk meraikan Tira yang bertunang selepas zohor. Selepas selesai majlis Tira, kami bergegas balik ke Bangi semula untuk meraikan pertunangan Wawa yang bertunang selepas maghrib. Semalam memang rasa nak landing merehatkan badan aje he..he.. Lepas sarapan lauk kenduri lebihan semalam maka bergolek-goleklah kami ramai-ramai kat rumah makcik aku sambil berborak sakan dengan adik beradik, makcik-makcik dan sepupu. Bab yang itu memang best he..he..

PADAT...
Dalam penat-penat tu terpaksa juga penuhi permintaan anak-anak untuk ke Big Bad Wolf di Mines sebab semalam adalah hari terakhirnya. Kalau bab anak dan buku, en.asben memang tak boleh nak kata tidak. So haruslah aku pun terlibat sama. Rasa nak seret badan aje pergi ke tempat yang padat dengan orang tu. Kami pergi selepas asar. Jalan masih agak sesak untuk menuju ke Mines tu. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Kesesakan tak kacau langsung mood kami. Lebih-lebih lagi bila mudah benar untuk kami dapat parking. Masuk aje dalam dewan memang terus hilang penat bila tengok buku-buku tu semua. Tengok harganya lagilah menggoda rasa nak memiliki buku-buku tu. Sangat murah okey. Rasa macam nak beli semua tajuk buku dan buka perpustakaan di rumah he..he.. Rasanya tahun ini punya Big Bad Wolf lebih bagus kerana buku-buku yang ada nampak lebih menarik. Ralit juga kami memilih dan membelek. Sambil tu tetap ralit juga memegang dan memerhatikan anak-anak sebab bila dah ramai-ramai tu memang takut bila anak-anak hilang dari pandangan mata. Pilih punya pilih  penuh padat juga sekotak. Tapi walaupun penuh sekotak kami hanya perlu membayar sebanyak RM150++ aje. Memang sangat berbaloi memborong buku di Big Bad Wolf ni.

PUAS...
Alhamdulillah.. walaupun penat, tapi hati ini rasa cukup puas. Puas bila melihat kebahagiaan Tira dan Wawa yang sudah pun menjadi tunangan orang sekarang ini. Walaupun terpaksa menempuhi kesesakan lalulintas dan orang yang padat tapi hati ini rasa puas. Puas bila dapat tambah koleksi buku di rumah. Semoga buku-buku itu akan dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan kami sekeluarga, insyaAllah. Dalam keseronokan dua perkara itu sebenarnya ada satu lagi perkara yang membuatkan hati rasa lebih puas. Alhamdulillah, tahun ini tertunai juga impian kami sekeluarga untuk membuatkan haji untuk arwah ayah. Semoga ianya diterima oleh ALLAH. Semalam aku pergi ambil sijil haji untuk arwah ayah tu. Turut diberikan sedikit cenderahati buat keluarga. Rasa sebak bila melihat nama di atas sijil itu. Haji Salim Bin Abdul Karim. Semoga arwah ayah tenang di sana dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Friday, December 21, 2012

Takziah..

Assalamualaikum..

Petang semalam aku sms bertanyakan keadaan suami jiran lamaku selepas pergi melawat suaminya di IJN sabtu lepas. Waktu itu jiranku kata, suaminya masih tidak sedar tapi sudah ada refleks bila dicuit atau dipegang. Terasa lega aku mendengarnya. Tapi tengah malam tadi dapat sms dari jiranku itu yang memberitahu suaminya sudah kembali ke rahmatullah. Inalillah.. sudah sampai janjinya untuk kembali kepada Allah pada hari jumaat yang mulia ini.

Takziah buat jiranku itu. Semoga dia dan 4 orang anak perempuannya akan dapat meneruskan kehidupan mereka dengan sebaiknya. Menghadapi sebuah kehilangan bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi bersama waktu yang berlalu insyaALLAH semuanya dapat dilalui dengan baik. Al-Fatihah buat suami jiranku. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. 

Salam hormat untuk semua. Take care.

Thursday, December 20, 2012

Meluah dan memendam...

Assalamualaikum..

Beberapa hari yang lepas aku menerima sms dari seorang teman lama. Sebenarnya kami tidaklah berapa rapat. Hanya pernah menjadi teman sekerja. Nak kata baik sangat waktu kerja dulu pun tidaklah juga. Cuma sesekali menjadi teman untuk makan-makan dan lepak-lepak. Keluar pergi outing pun rasanya tidak pernah. Tapi sehingga hari ini kami masih tidak putus hubungan. Walaupun aku mahupun dia tidak pernah add antara satu sama lain di FB. Tapi dalam setahun tu, pastinya akan ada sekali dua smsnya yang masuk tanda dia masih mengingatiku. Begitulah bagaimana kami saling mengetahui perkembangan masing-masing setiap tahun.

Setiap orang ada kisah hidupnya yang tersendiri. Ada yang lebih suka menyimpan dan memendamnya sendiri. Ada juga yang boleh meluahkannya kepada seseorang. Aku teringatkan tentang perkara itu bila teringatkan sahabatku yang seorang ini. Pada satu ketika agak kecoh juga orang membuat spekulasi mengenai sahabatku ini. Aku juga turut tertanya-tanya akan kebenaran cerita. Tapi seperti orang lain aku juga tidak pernah bertanya apa-apa kepada sahabatku itu. Makanya cerita yang diperkatakan terus diperkatakan. Ketika cerita itu masih menjadi tanda tanya, sahabatku ini datang kepadaku dan bercerita kisah sebenar. 

Khabar angin yang didengar memang ada kebenarannya. Tapi dia mahu membiarkan perkara itu reda dengan sendiri tanpa dia mahu menerangkannya kepada semua orang. Entah kenapa dia boleh memilih aku untuk bercerita perihal dirinya yang sedang diperkatakan orang ketika itu. Aku sendiri juga terus menyimpannya tanpa dapat memberikan penjelasan kepada orang lain. Bila sesuatu perkara yang peribadi tentang orang lain diberitahu kepada kita, tentu saja perkara itu perlu dijaga sebaiknya. Tentu saja perkara itu menjadi rahsia. Memegang rahsia orang lain merupakan satu amanah. Bila bercakap tentang amanah, pastinya perkara itu akan terjadi atas dasar percaya.

Sebenarnya aku sangat kagum dengan orang yang boleh meluahkan masalah dengan orang lain. Ini kerana aku termasuk dalam kategori orang yang jenis memendam. Kalau perkara yang statusnya rahsia memang aku susah untuk luahkan dan kongsikan dengan orang lain. Kadangkala bukan sekadar hal yang berstatus rahsia, untuk meluahkan apa yang aku rasa pun aku tidak mampu dan tidak berani. Entah apa yang aku takutkan, aku sendiri tidak pasti. Walaupun aku nampak seperti tidak kisah untuk berkongsi cerita-ceritaku, tapi hakikatnya masih terlalu banyak yang aku simpan sendiri. Mungkin aku tak percaya dengan orang lain. Ataupun aku tidak mempercayai penilaianku sendiri yang orang lain boleh menjaga rahsia dan luahan hatiku sebaiknya.

Hmm.. adakalanya meluah adalah lebih baik dari memendam. Tapi sampai saat ini aku masih lebih suka memendam. Nampaknya bila sudah tidak boleh meluahkan, terpaksalah aku terus memendam. Bukan setakat memendam sebuah duka, malah adakalanya memendam sebuah gembira dan bahagia juga.  Sebab takut untuk meluahkan, hal-hal yang gembira pun adakalanya aku boleh simpan sendiri he..he.. Tak kisahlah kan,  yang penting kita bahagia dengan cara kita.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Wednesday, December 19, 2012

Sumber rujukan..

Assalamualaikum..

Sejak dua menjak ini, setiap kali melihat statistik blogku, hati ini mula mempunyai perasaan seronak dan sedikit berpuas hati. Bukan pertambahan pengunjung yang menjadi penyebab utamanya. (Walaupun penyebab itu termasuk juga sedikit dalam faktor tersebut. Tipulah kalau cakap tidak kan? he..he..) Tapi faktor utama rasa seronok dan kepuasan hati itu ialah bila melihat kunjungan dari carian pengunjung yang membawa mereka ke blogku. Bila musim haji berakhir, tentulah tiba semula masa untuk menunaikan ibadah umrah. Jadinya entry-entry pengalaman umrah  yang pernah aku kongsikan beberapa bulan lepas membawa pengunjung ke blogku.

Memang menjadi niat dan harapanku agar setiap perkongsian dan catatan pengalaman juga catitat rujukan ilmu yang aku perolehi dari orang lain dapat memberikan manfaat untuk pengunjung yang datang. Walaupun tak banyak, harapnya adalah sikit-sikit yang boleh diambil. Bila aku juga mendapat banyak manfaat dari entry-entry umrah orang lain sebelum ini, makanya aku jadi teringin mahu memberikan perkara yang sama kepada orang lain pula. Tapi dalam rasa seronok ingin membantu, adakalanya terasa takut juga jika perkongsianku itu tiada nilai yang baik untuk dijadikan rujukan.

Jadinya, buat pengunjung yang tidak menemui perkara yang baik dari entry-entryku ataupun perkongsianku tidak dapat menjadi sumber rujukan yang baik lagi berguna, aku ingin terlebih dahulu memohon maaf.  Tapi jika ada yang memperolehi manfaat  dari entry-entryku, aku ingin melahirkan rasa syukurku, Alhamdulillah. Setiap yang baik itu pastinya dari ALLAH dan setiap kekurangan itu tentulah dari diriku sendiri. Kehadiran pengunjung dan rakan-rakan baru sangat aku hargai. Terima kasih ya.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Tuesday, December 18, 2012

Doa 2013...

Assalamualaikum..

Beberapa hari lagi akan menjelang tahun 2013. Walaupun 2012 belum berakhir tapi perancangan untuk 2013 sudah bermula. Macam-macam agenda untuk 2013 sudah tersusun. Untuk vacation pun dah berderet beratur mengikut bulan. Ada cadangan trip dengan grup yang itu. Ada cadangan trip dengan grup yang ini. Berselang seli dengan majlis kenduri kendara sanak saudara dan rakan-rakan. Walaupun belum terlaksana keterujaan tu dah mula dirasai. InsyaAllah, semoga setiap perancangan akan berjalan dengan lancar hendaknya. Semoga terus diberikan keberkatan umur serta umur yang panjang. Juga kesihatan yang baik juga rezeki yang murah agar segalanya dapat dilalui dengan baik nanti.

Selalu kita dengar yang kalau setakat doa saja, ianya takkan menjadi tanpa usaha. Tapi sebenarnya doa merupakan usaha kita yang pertama.  Doa juga tidak sepatutnya menjadi ikhtiar kita yang terakhir. Tapi ianya  harus ada dalam waktu permulaan, pertengahan dan di akhiran. Itu yang aku dengar dari Ustaz Pahrol di radio IKIM semalam. Semoga doa-doa kita akan diterima oleh Allah untuk menjadikan setiap perancangan kita terlaksana sebaiknya. Juga agar segala usaha kita bagi memastikan setiap perancangan itu berjaya.

Alhamdulillah.. hari ini mood dipenuhi dengan keceriaan. Terima Kasih ALLAH. Tiada apa yang akan berlaku tanpa izin dariMU.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Monday, December 17, 2012

Saturday.. Sunday..

Assalamualaikum..

Hari sabtu dan ahad baru ni penuh dengan aktiviti. Selama 2 hari badan tak terasa letih pun. Malah rasa bertenaga aje nak ke mana-mana. Juga nak buat macam-macam perkara. Tapi hari ni baru terasa pancit sikit. Faktor-faktor penuaan sudah agak jelas di situ he..he..

Malam sabtu dapat sms dari jiran sebelah rumah yang kini sudah berpindah. Sms itu memberitahu tentang keadaan suaminya yang sedang kritikal di ICU IJN. Rasa sedih dan simpati sangat bila mendengar berita itu. Pagi sabtu tu kami pergi melawat. Suami jiran aku tu diserang stroke selepas melakukan pembedahan pintasan jantung. Sampai sekarang aku teringat-ingat akan keadaannya. Sampai sekarang aku teringat akan kesedihan isterinya. Sampai sekarang aku masih terfikirkan anak-anaknya yang terpaksa tidur di bilik menunggu. Doaku semoga jiranku itu akan segera sembuh. Balik dari IJN memang terasa insaf. Terasa nak lebih jaga kesihatan dan pemakanan. Balik dari IJN terus ke PZS untuk settlekan urusan zakat pendapatan dan simpanan bagi tahun ini.

Alhamdulillah.. rasa lega bila dan selesai menunaikannya. Semoga zakat kami diterima dan rezeki kami akan terus diberkati olehNYA. Bergenang airmata ketika mengaminkan doa pegawai di PZS tu. Minggu ni memang banyak juga aku terbaca tentang status FB kawan-kawan yang meluahkan rasa kelegaan selepas  dapat menunaikan zakat pendapatan dan simpanan mereka. Alhamdulillah.. rasa seronok membacanya. Dalam membaca komen-komen tersebut ada juga aku terbaca komen yang meluahkan rasa tidak senang dengan orang yang sibuk-sibuk bercerita tentang pembayaran zakat pendapatan mereka dihujung-hujung tahun ni. Mungkin baginya bila sudah menunaikan zakat tu diam-diam sudahlah. Macamkan orang lain tidak membayarnya. Pandangan setiap orang tak sama kan. Tapi komen sebegitu membuatkan aku rasa terfikir-fikir pula bila mahu bercerita tentang perkara tersebut. Mana tahu orang mungkin tak suka dengan cara kita. Tapi setiap perkara yang kita lakukan bergantung pada niat kita kan. Jadinya walaupun tidak kongsikan di FB aku tetap mahu kongsikan di blog ini kerana pada aku perkara itu tiada salahnya. Kalau banyak perkara lain boleh dikongsi di FB dan blog, kenapa pula perkara tentang zakat tidak boleh dikongsi? Confuse tak? Aku rasa aku akan teruskan apa yang aku rasa boleh aku kongsikan. Pada aku tak salah nak bercerita perihal kebaikan sebegini. Mungkin ada yang terlupa tentangnya. Maka dari situ ia akan menjadi seperti satu peringatan. Mungkin ada yang tak pernah tahu tentang perkara tersebut. Maka dari situ mereka dapat mengetahuinya. Kalau ada yang rasa sebaliknya, minta maaf ya.

Settle dengan urusan zakat pergi merai kenduri kahwin teman lama pula di Kajang. Walaupun pada mulanya terfikir-fikir nak pergi ke tidak. Tapi bila fikirkan orang dah menjemput maka dengan berbesar hati aku ajak en.asben untuk menghadirinya. Alhamdulillah.. seronok bila dapat jumpa dengan ramai teman-teman lama di sana. Lebih seronok bila pengantin merai kedatangan kita. Tak sangka akak sudi datang ke majlis saya. Jom ambil gambar dengan kami kak. Buat pengantin, terima kasih kerana kesudian menjemput. Masih tak lupa nak jemput walaupun dah lama dah aku tinggalkan tempat lama tu. Rasa cukup terharu okey he..he..

Semalam bawa anak-anak dan anak saudara pergi mandi kolam di Country Height Club House. Seronok dan teruja bila lalu kat kawasan perumahan orang-orang kaya tu. Bagus untuk memberi kesedaran diri juga. Kalau kita ingat kita dah kaya, masih terlalu ramai yang lebih kaya. Jadi tak perlu rasa riak dan sombong tak bertempat. Waktu anak-anak berenang aku dengan adik aku sewa basikal. Kayuh keliling tempat parking he..he.. Dah lama tak mengayuh basikal rasa seronok juga. InsyaAllah, sabtu ni 2 orang sepupu akan mengikat tali pertunagan. Seorang lepas zohor. Seorang lepas maghrib. Semoga segalanya akan berjalan dengan lancar. Untuk sepupuku Tira dan Wawa yang comel lote tu, selamat  menjadi tunangan orang. Subhanallah,  tadi rasa letih. Sebaik habis menaip entry ni terus rasa segar pula. Alhamdulillah..

Bab 5 - Benar-benar Cinta sudah di update. Sudi-sudikan dan terima kasih.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Thursday, December 13, 2012

Baru nak tengok gambar, dah jumpa depan mata..

Assalamualaikum..

Subhanallah.. tiada apa yang akan berlaku tanpa keizinan dari Allah. Allahuakbar.. besar sungguh kuasa Allah itu.. Alhamdulillah... terima kasih Allah atas segala limpah kurnia yang telah diberikan.

Boleh dikatakan, hampir setiap petang bila memandu pulang dari pejabat aku mendengar siaran radio IKIM FM. Segmen petangnya sangat menarik dan banyak memberi ilmu yang sangat bermanfaat buatku yang masih sangat cetek ilmu agama dan ilmu dunia. Setiap hari akan ada segmen khas yang mengetengahkan topik yang pelbagai. Tapi ustaz jemputan selalunya adalah ustaz yang sama mengikut hari-hari tertentu. Cara penyampaian dan penerangan setiap ustaz memang menarik. Begitu juga dengan kupasan yang dibawa.

Dalam banyak-banyak ustaz, aku sangat tertarik dengan cara ustaz yang seorang ni. Penerangannya sangat jelas. Kaitan yang diketengahkan selalunya kaitan yang simple dan cukup mudah  untuk membuatkan aku faham. Cara penyampaiannya sangat tenang dan penuh santun. Tidak berlebih-lebihan dan sangat bersederhana walaupun dari sumber rujukan yang dibawa membayangkan yang beliau seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Dari cara dan gaya beliau menyampaikan ilmu memang jelas yang beliau itu sangat berilmu orangnya.

Nak kata taksub tu tidaklah. Tapi aku begitu teringin untuk tahu siapakah gerangan ustaz itu. Rasa itu semakin terasa pada minggu lepas. Bukan apa, aku mahu melihat bagaimana orangnya kerana aku rasa begitu kagum dengan ilmu yang dimiliki dan santun cara penyampaiannya. Macam bila mendengar ceramah di surau. Kadang-kala terjengah juga kepala ini untuk melihat siapa orangnya yang menyampaikan ceramah dan memberi ilmu. Ianya sekadar rasa yang begitu. Terniat juga mahu google gambarnya. Tapi tak berkesempatan dan kebanyakan masa aku sendiri terlupa tentangnya.

Ditakdirkan, ketika di Kuching sabtu lepas ada rancangan yang dikendalikan oleh ustaz tersebut di tv. Mendengar suaranya aku terus bercakap sendiri. Eh.. ini macam suara ustaz di radio IKIM tu. Melihat pada tulisan namanya memang betul, beliau adalah ustaz itu. Alhamdulillah, dapat juga aku melihat ustaz itu. Abang ipar en.asben yang juga ustaz ada juga memberi komen tentang ustaz tersebut. Katanya ustaz tersebut memang tinggi ilmunya. Sumber rujukannya luas. Kalau menyampaikan ilmu, hujahnya selalu penuh dengan hadith dan dalil-dalil. Komen abang ipar en.asben itu memang seperti apa yang aku rasa tentang ustaz yang penuh ilmu itu.

Ditakdirkan, petang semalam ada program  JAKIM yang menggunakan kemudahan di tempat kerjaku.  Makanya ramailah ustaz-ustaz dan pegawai dari JAKIM yang datang. Petang itu ketika aku memasukkan data di komputer aku mendengar orang memberi salam. Bila mengangkat muka, Subhanallah, ustaz itu yang memberi salam rupanya. Punyalah minggu lepas aku terasa macam nak google gambarnya. Baru beberapa hari lepas dapat tengok rupanya di kaca tv. Semalam pula dapat tengok ustaz tu secara live di depan mata. Siap berbalas ucapan salam dan senyuman. Bercerita pada en.asben malam tadi, en.asben kata memang ustaz tu terkenal. U tak kenal ke? Hmm.. aku memang tak kenal. Tapi sekarang dah kenal he..he..

Alhamdulillah, semalam aku berkesempatan untuk muat naik Bab 3 dan Bab 4 Benar-benar Cinta di web Ilham Karangkraf. Jika berminat untuk mengikuti sambungan kisah bolehlah klik link dibawah. Sudi-sudikan dan terima kasih.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Wednesday, December 12, 2012

Cuti-cuti Kuching..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. percutian kami sekeluarga ke Kuching sudah berakhir. Semalam dapat cover rehat dan tidur  walaupun kat sana banyak juga tidur masa dalam van dan flight he..he..  Alhamdulillah.. semuanya berjalan dengan lancar ketika di Kuching. Walaupun waktu nak balik KL flight delay tapi kami semua masih dalam mood happy. Semoga ada rezeki untuk kami pergi bercuti satu keluarga lagi macam ni. Memang havoc dan happening bila dah berkumpul ramai-ramai.

Best ke Kuching? Hmm.. pada aku okeylah. Nak kata best sangat pada aku biasa-biasa saja. Nak kata tak best, Kuching masih lagi  tempat yang seronok untuk dilawati. Tak kisahlah walau apa pun pandangan aku, yang penting anak-anak seronok. Alhamdulillah, di sana  kami berkesempatan berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak, Pasar Satok, Pasar Serikin, Taman Buaya, Kuching waterfront dan beberapa tempat lagi. Pemandu van  cum pemandu pelancong kami sangat ramah dan baik. Banyak juga informasi yang kami dapat dari mereka. Terima kasih untuk Zul dan Man.

Shopping? Aku banyak beli kek lapis sarawak yang sedap dan ikan terubuk masin yang best tu he..he.. Itu pun untuk buah tangan. Yang lain-lain banyak beli barang-barang untuk anak-anak. Aku dengan en.asben cuma beli satu barang aje untuk diri sendiri. Anak-anak pulak memang lengkap. Dari beg, kasut, selipar, baju, mainan, souvenir semua dia orang beli. Az siap beli beg dan kasut sekolah dari Kuching lagi he..he..

Makan? Makanannya memang memenuhi citarasa kami sekeluarga. Harganya juga sangat berpatutan. Tapi adalah juga yang buatkan kami tercenggang. Sebab murah sangat dan ada yang agak mahal bagi kami. Standarlah tu kat mana-mana pun kan. Kiranya makanan Sarawak memang kami cuba untuk merasainya. Mee kolok, umai, ayam pasuh, mee kampua. Memang sedap-sedap semuanya. Durian sarawak pun kami try juga he..he.. Yang best tu, homestay yang kami sewa siap ada pokok rambutan. Buahnya merah-merah dan sangat manis. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga untuk menikmatinya. 

Lagi apa ya. Hmm.. taman buayanya best. Mula-mula masuk tu rasa macam biasa aje dengan harga tiket RM16 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. Iyalah tengok buaya semua kaku aje. Tapi selepas tengok show dia orang bagi buaya makan terus aku rasa tempat tu sangat owesome. Macam tengok rancangan dokumentari secara life pula. Satu pengalaman yang sangat menarik bila dapat tengok keganasan buaya-buaya tu mengejar dan berusaha untuk mendapatkan makanan. Walaupun seram tapi tetap fun. Bukan kata anak-anak tak berkelip. Aku pun sama jugak he..he..

12.12.12 tarikh yang cantik kan hari ini.  InsyaAllah, semoga hari-hari kita akan sentiasa dipenuhi  dengan keberkatan dan keindahan walaupun tarikhnya tidak secantik tarikh hari ini.

Bab 3? Ada yang dah bertanya sambungan Bab 3 Benar-benar Cinta di Ilham Karangkraf. InsyaAllah, kalau berkesempatan petang ni aku akan muat naik.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Saturday, December 8, 2012

Bab 2 pula..

Assalamualaikum...
Alhamdulillah.. Benar-benar Cinta - Bab 2 sudah dimuat naik di laman web Ilham Karangkraf malam tadi. Berminat untuk mengetahui sambungan cerita boleh klik ke link BBC - Bab 2.
Terima kasih atas komen dan sokongan kawan-kawan. Aku menghargainya sangat-sangat. Ianya memberikan semangat dan keyakinan untuk aku terus muat naik bab-bab seterusnya.
Salam hormat untuk semua. Take care.
Hanis Azla @ Kuching meow..meow.. he..he.. 

Friday, December 7, 2012

Berbaju peplum nak ke Kuching..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Hari ni mataku yang sakit dah kembali pulih. Walaupun masih ada sedikit bengkak tapi dah banyak benar surutnya. Jadi boleh pergi ke pejabat macam biasa. Syukur.

Hari ni aku ke pejabat pakai baju peplum. Tak ingat bila aku beli baju tu. Tapi macam dah lama dah aku beli. Siap pernah pakai untuk gathering blogger lagi. Pergi ke pejabat pun dah beberapa kali juga aku pakai. Tapi sebab sekarang ni baju peplum tengah popular, jadinya ramailah yang bertanya tentang baju peplumku hari ini. Beli kat mana? Berapa harga? He..he.. Aku beli baju tu kat Voir Alamanda. Waktu pandang baju tu terus berkenan padahal cuma keluar untuk lunch dengan kawan-kawan aje. Sebab dah berkenan terus rasa nak try. Bila dah try terus rasa nak beli he..he.. Alhamdulillah masa tu ada diskaun. So lagilah rasa nak beli. RM 69.90 kut after less. Beberapa bulan selepas tu baru peplum ni popular. So tak adalah aku sibuk nak membeli baju peplum lagi sebab dah ada dah yang sehelai ni  he..he..

Semalam Ummi - Salam Borneo ada bertanya nak bercuti ke mana sebab ummi nak ikut he.he.. Jomlah Ummi sebab kami nak pergi bercuti ke tempat ummi tinggal dulu. InsyaAllah, esok kami sekeluarga akan pergi bercuti ke Kuching. Cadangan asal nak ke Phuket dan Krabi. Tapi bila bincang-bincang balik tukar plan nak ke Kuching pulak. Sebab dalam negara pun tak habis sampai lagi. So kita cuti-cuti Malaysia aje. InsyaAllah, lain tahun kalau ada rezeki kita ke negara orang pulak. First time aku nak pergi Kuching. So ada excited juga di situ. InsyaAllah kami akan pergi dengan semua ahli keluarga en.asben. Emak aku pun ikut sama. So total kami pergi 16 orang. Alhamdulillah dapat pergi bercuti ramai-ramai. Harap-harap segalanya akan berjalan dengan lancar. Semoga percutian dan setiap perjalanan kami akan dilindungi oleh Allah.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Thursday, December 6, 2012

Benar-benar cinta di Ilham Karangkraf..

Assalamualaikum..

Apa khabar semua? Aku tak berapa sihat. Sakit mata dah 3 hari. Hari ini dan semalam doktor suruh berehat di rumah sebab takut berjangkit pada orang lain. Hujung minggu ni dahlah nak pergi bercuti. Harap-harap mata yang bengkak dan kecil sebelah ni akan kembali seperti biasa secepat mungkin, insyaAllah.  Benar-benar Cinta.. Itulah tajuk manuskrip keduaku. Alhamdulillah, aku dah selamat menghantarkan manuskrip ke-2 tu kepada Editor Buku Prima hujung oktober yang lepas. Tak pastilah sama ada akan diterima dan diterbitkan atau pun tidak. Harap-harap ada rezeki untuk diterbitkan. Tolong doa-doakan sama ya. Terima Kasih. 

Beberapa hari selepas poskan manuskrip tu aku ada menghubungi editor Buku Prima untuk bertanyakan sama ada manuskrip tu sudah diterima atau belum. Alhamdulillah manuskrip tu sudah diterima. Editor juga ada memberitahu tentang laman web baru penulisan iaitu Ilham Karangkraf. Di laman web tersebut kita boleh kongsikan penulisan-penulisan novel atau cerpen dari pelbagai genre. Kalau kawan-kawan juga berminat untuk kongsikan penulisan kawan-kawan  untuk bacaan pembaca boleh kongsikan di sana. Hanya perlu daftar dan muat naik. Untuk membaca penulisan-penulisan yang menarik juga boleh ke sana. 

Semalam aku berkesempatan untuk muat naik bab 1 manuskripku.  Kalau ada kawan-kawan yang berminat untuk membacanya bolehlah klik link Benar-benar Cinta - Ilham Karangkraf. Boleh tinggalkan komen juga untuk aku memantapkan lagi mutu penulisanku.  InsyaAllah kalau ada kesempatan nanti aku akan upload bab-bab seterusnya. Menurut editor, dari situ juga mereka akan tahu demand untuk manuskrip tu. Manalah tahu dari situ ada rezeki untuk manuskrip keduaku diterbitkan. Harap-harap segala usaha akan membuahkan hasil, insyaAllah. 

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Tuesday, December 4, 2012

Kecuaian kita boleh menyusahkan orang lain..

Assalamualaikum..

Semalam aku buat web check-in untuk percutian keluarga pada hujung minggu ini. Waktu buat tu aku teringat pula tentang begku yang hilang ketika pulang dari KK bulan lepas. InsyaAllah, harap-harap perkara seperti itu tidak berulang lagi.

Selepas turun dari flight hari tu, aku memang dah bersedia dengan troli untuk mengambil bagasi. Lama juga menunggu kerana beg aku keluar di hujung-hujung. Ramai orang sudah mengambil beg-masing-masing dan aku terus menunggu sehinggalah beg aku mula kelihatan. Dari jauh aku dah nampak bagasiku kerana aku sudah letakkan penanda nama yang berwarna kuning terang di tempat pemegang beg. Kiranya dari jauh memang dah nampak. Dalam waktu aku terus memerhatikan beg itu sampai kepadaku aku nampak ada tangan yang sudah menarik begku. Aku terus jadi tergaman. Perhatianku yang sejak tadi hanya tertumpu pada beg membuatkan aku tidak perasan siapa yang telah mengambil beg aku itu. 

Aku cepat-cepat pergi ke arah di mana beg aku diambil tadi sambil memerhatikan troli-troli orang lain yang sedang ditolak keluar. Orang yang ramai dan warna beg yang kebanyakannya sama membuatkan aku tidak dapat mengenali yang mana satu begku. Sudahnya aku hanya mampu memandang orang-orang yang menolak troli tanpa dapat memastikan siapa yang sudah mengambil begku. Roda di tempat mengambil bagasi mula berhenti menandakan semua bagasi sudah habis dikeluarkan. Bertanya kepada pengawal di situ memang sah yang semua beg sudah dikeluarkan. Hanya tinggal  satu beg di atas conveyor. Dalam hati mula mengagak sendiri mungkin orang yang mengambil beg aku itu sudah tersilap mengambil beg. Tapi rungutan dari seorang makcik disitu yang mengadu  begnya hilang membuatkan aku mula terfikirkan perkara yang sama.

Tempat mengambil bagasi mula lengang. Kami berdua terus ke tempat aduan beg hilang. Setelah diperiksa rupanya beg makcik itu sudah dibawa terlebih dahulu dengan pesawat sebelumnya. Setelah mengambil begnya makcik itu pergi dengan perasaan lega. Bila sudah begitu memang sahlah yang beg aku memang tertukar dengan beg orang yang telah mengambil beg aku. Pengawal membawa beg yang tertinggal ke tempat aduan. Beg yang sama seperti warna beg aku. Yang membuatkan ianya nampak lebih sama ialah beg itu di ikat dengan tali yang berwarna kuning juga. Pegawai tempat aduan mula memeriksa nombor pendaftaran di beg sebelum menghubungi talian pemilik beg. Agak lama juga aku perlu menunggu kerana nombor itu adalah nombor orang yang membuat booking tiket. Jadinya orang itu pula perlu menghubungi pemilik beg.

Agak lama aku perlu menunggu. Masa tu aku memang rasa bengang sangat kerana sudah ada yang menungguku di luar. Ianya pasti menyusahkan orang yang sudah menungguku juga. Kesilapan orang lain membuatkan aku perlu membuang masaku. Selepas seketika barulah nyonya yang tersilap mengambil beg itu datang sambil tersenggih-senggih. I baru nak pergi makan dah kena patah balik. Sorilah tersilap ambil beg. Nampak macam sama. Aku hanya diam dan mengambil begku di tangannya dan terus menarik begku pergi setelah mengucapkan terima kasih kepada pegawai aduan. Aku malas mahu terus berlama-lama di situ kerana sudah lama sangat menunggu tadi. Aku juga malas mahu cakap banyak kerana takut terkeluar pula perkataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulutku.

Sesiapa pun boleh buat silap. Aku juga mungkin boleh membuat kesilapan yang sama. Tapi bila kita lebih teliti pastinya kita dapat mengelakkan diri dari membuat kesilapan yang serupa. Ianya menjadi pengajaran untukku yang kecuaian kecil yang kita lakukan boleh menyusahkan orang lain. Harap-harap aku dapat mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama. Walau nampak serupa kena pastikan juga. Walau nampak seperti sama kena pastikan juga. Sebab yang serupa itu mungkin tak sama. Yang sama juga mungkin bukan kita yang punya.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Monday, December 3, 2012

Perasan diva walaupun sebenarnya poyo..

Assalamualaikum..

Walaupun tajuk macam nak cerita pasal artis tapi sebenarnya cuma nak cerita pasal anak-anak aje he..he.. Cerita beberapa malam sebelum ini. Entah kenapa bila time cuti sekolah ni anak-anak lebih suka tidur di ruang tamu dari tidur di dalam bilik sendiri. Rasanya, faktor dan penyebab utamanya tentulah sebab tv tiada di dalam bilik sendiri. Lebih-lebih lagi bila sepupu-sepupunya pun memang berkumpul kat rumah time cuti-cuti ni. Jadinya setiap malam memang sanggup anak-anak bentang toto dan angkat bantal, selimut bawak turun ke bawah dan bentang depan tv.

Waktu orang lain sibuk-sibuk angkat bantal dan selimut dari atas, Az selamba aje main roller blade lagi. Waktu nak susun bantal untuk tidur atas toto Han tanyalah, BB nak tidur kat atas ke kat bawah? Dengan lagak diva Az jawab, kalau siapa nak BB tidur kat bawah pergi tolong ambilkan bantal BB kat atas. Memang taklah bila nak berlagak diva tak kena tempat kan. Semua orang terus cakap. Dah, tak payah nak poyo sangat. Pergi tidur aje kat atas he..he 

Dah makin besar dah anak bongsu aku tu. Ada aje idea dia untuk kita ambil perhatian pada dia. Semalam dia main apa entah dengan abang dia. Bising sangat. Tapi dengar suara dia aje. Dah tegur beberapa kali pun tetap bising juga. Bila en.asben jerit nama dia barulah dia diam. Lepas dah diam dan duduk elok-elok baring kat sofa aku pun saja-sajalah buat-buat tanya kat dia. Kenapa ayah jerit nama BB tadi? Dengan selambanya dia jawab. Sebenarnya ayah bukan nak jerit nama BB tadi. Tapi ayah nak jerit nama orang lain tapi tersebut nama BB.. he..he..

Macam-macam aje idea dia sekarang ni. Tapi yang pastinya memang mencuit hati kami sekeluarga. Iyalah, kat rumah dah takde budak kecik nak dilayan. Jadinya semua orang dok layan dia aje. Itu yang berlagak diva tu. Walaupun poyo aje lebih. Tapi poyo-poyo pun, dialah juga buah hati kami.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...