Monday, May 17, 2021

Hari Raya PKP 3.0 2021

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.. Hari ni dah 5 Syawal 1442. Tabarakkalahuminnawaminkum. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. Maaf zahir dan batin. Raya tahun ni memang kami sekeluarga berada 100 peratus di rumah. Dah kata tak boleh ziarah raya, kita ikutlah. Bukan untuk orang lain. Untuk keselamatan diri kita dan keluarga juga.  Rumah mertua pun kami tak pergi. Syukur malam raya kami dapat jumpa. Sedih en.asben. Mak mertua lagilah sedih. Anak-anak duduk semua dekat-dekat. Tapi hari raya tetap tak boleh nak beraya bersama. Sebak memanglah sebak. Tapi kita akur pada perintah yang dikeluarkan. Untuk yang berani langgar perintah tu, aku tak mahu nak komen.  Doaku, semoga kita dan keluarga serta orang-orang di sekeliling kita sentiasa dilindungi ALLAH daripada wabak dan penyakit. Semoga wabak covid-19 akan segera berakhir. Ya ALLAH.. Jauhi kami dari musibah dan kemurkaanMU. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. 3 hari sebelum raya ambil Is dan Fareez di Matrik. Meriahlah rumah waktu berbuka dan bersahur sebab emak dan anak-anak buah pun dah aku ambil siap-siap datang Bangi. Sehari sebelum raya aktiviti masak juadah raya. Itulah juga juadah untuk kami berbuka sebab menu sedap buat apa nak tunggu. Emak masak rendang ayam dan kuah kacang. Aku masak daging dendeng dan buat kek marble 3 biji. Kami rebus ketupat segera dan ketupat palas frozen. Pakcik aku bagi lemang. Kami masak nasi juga. Alhamdulillah.. petang tu semua juadah dah siap sedia. Tapi menjelang petang badan rasa sangat letih. Tekak rasa haus sangat. Dugaan berpuasa di hari terakhir agaknya. Dah siap semua Han dan Is pergi menghantar juadah raya ke rumah nenek, rumah kakak ipar, rumah pakcik dan rumah makcikku. Dapat pulak balasan juadah raya. Bertambah lagilah menu berbuka puasa untuk kami sekeluarga. ALLAHU.. rezeki. Malam raya dan pada hari raya memang hari berehat bersama keluarga dengan makanan penuh meja. Alhamdulillah. Sempatlah kami ziarah mertua sekejap di malam raya.

Pagi raya, selepas solat subuh memang aku dah tak sambung tidur. Seronoknya dapat dengan lagi takbir raya. Terus sidai kain dan  siap sapu porch sekali. Selepas tu panaskan lauk dan kemas meja makan.  Anak-anak memang sambung tidur semula lepas solat. Pukul 7 kejutkan semua orang untuk bangun dan bersiap. Buka pintu buka sliding door semua. Baru feel raya bila rumah terbuka. Selalu tak beriya nak beraya di rumah sebab bila dah selesai urusan wajib di pagi raya dah sibuk-sibuk nak keluar beraya. Tahun ni memang sangat berlainan. Kami betul-betul beraya hanya di rumah. Pukul 8, selepas semua orang dah bersiap dengan baju raya, kami makan bersama-sama. Ambil sunat untuk makan dulu sebelum solat sunat aidilfitri. Lepas makan kami solat sunat hari raya berjemaah. Selesai solat kami bersalam raya serta bermaaf-maafan dan bagi anak-anak duit raya. Selepas itu, acara yang biasa di hari raya walau di mana jua kita beraya adalah aktiviti bergambar raya. Waktu bergambar Firhan call. Tak cukup korum tahun ni sebab Firhan beraya dengan papa dia. Takpelah.. In shaa Allah.. ada rezeki nanti kita beraya sama-sama ya adik. Sambil-sambil tu kami layan juga lagu-lagu raya di youtube untuk ambil mood hari raya. Dengar lagu-lagu nasyid juga. Banyaknya lagu nasyid yang best-best sekarang ni. Liriknya sangat menyentuh jiwa. Aku suka. 

Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga. Maaf zahir dan batin.

Alhamdulillah.. Meriah cara kami. 
Di usia begini, terasa mahu menikmati setiap apa yang ALLAH rezekikan dengan sebaiknya. Tiada apa yang kekal. Segala nikmat yang ALLAH pinjamkan mahu diraikan dan dihargai sebaiknya dengan penuh rasa kesyukuran. 

Alhamdullillah.. Terima kasih ALLAH atas rezekiMU untuk kami dapat menikmati ramadan dan hari raya pada tahun ini. Semoga ALLAH izinkan kami untuk menikmatinya lagi di tahun-tahun yang akan datang. Aamiin Ya Mujib. 

Selesai bergambar raya kami buat video call. Call mertua, adik beradik, makcik pakcik dan sepupu-sepupu. Family en.asben siap buat google meet. Meriah juga hari raya secara dalam talian. Ramai yang dapat kita jumpa di pagi raya dengan cara yang begitu. Alhamdulillah.. Jarak yang jauh tak pernah memisahkan hubungan. Syukur. Walaupun dalam talian tetaplah riuh macam biasa. Tetap penuh dengan acara menyakat dan usik mengusik.

Alhamdulillah.. tahun ni kuih raya kami melimpah ruah. Aku sampai kena letak dalam satu bakul besar dan susun berlapis biar anak-anak dapat makan semua kuih raya tanpa perlu buka tutup almari. Sebab tahu takde tetamu, aku tak transfer pun kuih raya ke balang kuih. Tahun ni aku order kuih raya super sedap dari anak buah. Order juga sikit dari kawan-kawan yang buka order kuih raya. Gegirl dapat 5 balang kuih dari sekolah untuk program anak yatim. Kakak ipar pun bagi kami kuih raya. Kawan dan jiran pun bagi. Total semua kuih raya kat rumah tahun ni dalam 20 jenis termasuk kerepek. Alhamdulillah.. rezeki anak-anak. Risau juga kalau-kalau tak habis kuih raya tu bila takde tetamu yang datang. Tapi kami sendiri pun dah ramai. Hari raya pertama aje dah dua, tiga balang kuih raya settle hehe.. Bagus. Takde pembaziran di situ seperti tahun-tahun sebelum ni. Ni dah raya kelima semakin menyusut balang kuih yang berisi. Yang masih berisi pun dah tinggal sikit isinya. Makanlah nak. Setahun sekali aje kita beria nak makan kuih raya.  

Selesai acara wajib di hari raya kami duduk berkumpul kat ruang tamu. Anak-anak ada yang ulang makan lagi. Jiran kiri kanan hantar juadah raya. Kita pun balas balik juadah raya dan sedikit kuih muih dan kek. Tak dapat kunjung mengunjung, kita bertukar-tukar juadah raya ajelah. Pukul 11 lebih masing-masing dah mula buat aktiviti sendiri. Ada yang dah naik bilik dan tukar baju. Pukul 12 aku pun tukar baju sekali hehe.. Perut dah kenyang,  bangun pun awal, mata pun apa lagi, mengantuk tak ingatlah. Landing kat sofa tahu-tahu dah tertidur.  Sedar-sedar dah masuk zohor. Petang sampai malam kami ulang acara makan-makan lagi. Semua makanan sedap. Kuih raya sedap pun banyak. Kita nikmatilah rezeki ALLAH dengan sebaiknya.

Dah mula buat puasa 6 di bulan syawal? Kalau belum jom sama-sama kita buat. Jangan lepaskan peluang untuk berpuasa 6 hari di bulan syawal ya. Rasullullah S.A.W  bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Hadis Riwayat Muslim). Semoga ada kesempatan untuk kita semua melaksanakannya. 

Sekian dulu buat waktu ini. Sampai jumpa lagi.

Salam hormat buat semua. In shaa ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

Hari Raya PKP 3.0 2021

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Alhamdulillah.. Hari ni dah 5 Syawal 1442. Tabarakkalahuminnawaminkum. Selamat Hari Raya Aidilfit...