Wednesday, March 31, 2021

Alhamdulillah.. 45 tahun..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. 27 Mac tiba lagi. Tarikh ulang tahun kelahiranku. Syukur masih  diizinkan ALLAH untuk bernafas lagi. Syukur masih direzekikan dengan nikmat kesihatan yang baik juga nikmat dikelilingi oleh orang-orang yang sangat baik. Doaku semoga kesemua insan-insan kesayanganku juga insan-insan yang berada di sekelilingku sentiasa dilimpahi dengan segala kebaikan dunia akhirat. Juga direzekikan kita semua untuk menjadi ahli Syurga Firdaus dan dapat masuk ke dalam Syurga Firdaus bersama seluruh ahli keluarga dan orang-orang yang kita sayang.. Aamiin Ya Mujib. Terima kasih atas ucapan dan doa-doa yang diberikan. Semoga ALLAH makbulkan segala doa yang baik-baik itu dan kembalikan juga segala yang terbaik untuk yang mendoakan.. in shaa ALLAH.

Setiap hari layanannya sudah sangat istimewa. Di usia ini dan masih dilayan bagaikan puteri, itu juga satu rezeki. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dariMU. HambaMU bersyukur. Memasuki tarikh 27 Mac 2021, selepas tengah malam ucapan selamat dibisikkan di telinga. Bangun pada waktu tahajud ucapan salam seperti kebiasaan diberi bersama ucapan selamat hari jadi lagi. Selesai urusan di bilik air waktu keluar terpandangkan sebuah kotak di sisinya. Entah bila dia merancang dan membelinya? Tahu-tahu kotak itu sudah berada di sisinya menjadi hadiah buatku. 

ALLAHU.. seronoknya rasa hati bila terpandangkan tulisan yang tertulis di kotak. Tanpa membukanya, isinya sudah dapat aku teka dengan tepat. Alhamdulillah.. Terima kasih sayang. Lambang cinta sejati, katanya. Jika selalu, setiap kali waktu tahajud melihat sejadah yang sedia dibentangkan olehnya untukku, sudah cukup membuatkan diri rasa dihargai dan disayangi. Menerima hadiah telekung pada waktu yang sama tentunya membuatkan aku rasa tambah berbesar hati. Syukur Ya ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa rezekikan segala yang baik-baik untukmu sayang. Terus saja telekung yang cantik itu aku gunakan pada waktu itu. Semoga pahala untukmu sentiasa mengalir laju sayangku.

Bangun pagi sudah diingatkan, hari ni mama rehat aje. Tak perlu masak apa-apa. Dalam senyuman panjang, aku mengangguk suka. Selepas bersiap kami keluar membeli sarapan untuk anak-anak. Sebekas nasi lemak bersama sambal paru dan rendang kerang kami makan berkongsi berdua. Tengah hari kami keluar lagi bersama emak dan anak-anak juga anak-anak buahku. Mahu meraikan emak di hari ulang tahun emak melahirkan aku. Waktu makan, Han buat surprise. Orderkan kek untukku siap dengan nyanyian selamat hari jadi dari staf restoran. ALLAHU.. di usia begini, terasa segan juga. Namun ianya tetap membuatkan aku rasa berbesar hati. Tqsm sayang mama.

Selepas maghrib ada agenda lagi. Kita keluar makan berdua aje, katanya. Wow!! Bukan tak pernah keluar makan berdua. Tapi selama ini tak pernah keluar makan berdua pada hari jadi. Kalau namanya makan untuk celebrate hari jadi memang satu rumah akan turut serta hehe.. So belum apa-apa dah rasa istimewa. Tak jauh mana pun tempatnya dari rumah. Jadi sebelum sampai mulalah aku berteka-teka. Tekaan ketiga baru tepat. Kami sampai awal 15 minit dari waktu yang dia booking. Boleh aje nak terus masuk dalam restoran, tapi sebab masih awal aku minta izin untuk baca quran dulu sementara menunggu. Terus saja dia offkan radio dan memberikan izinnya. Alhamdulillah.. selesai membaca surah Al-Waqiah dan surah Al-Mulk jam sudah menunjukkan pukul 8.15 malam. Tepat pada waktunya. Its our dinner time!

Tak boleh berhenti tersenyum melihat indahnya deko meja untuk candle light dinner kami. Sebelum duduk, lilin-lilin dipasang. Kata pekerja restoran, puan sangat beruntung sebab inilah pertama kali lelaki yang booking untuk buat arrangement macam ni kat restoran ni. Puan patut berbangga kerana puan sangat bertuah. ALLAHU.. Tiada apa yang berlaku tanpa izin ALLAH. Thank you ALLAH. Thank you so much sayang. Sekali sekala dia tunjuk sayang, dari pagi sampai ke malam penuh dengan kejutan. Dalam diam dia merancang untuk meraikanku. Semoga ALLAH kurniakan segala kebaikan dunia akhirat juga direzekikan dengan segala yang indah-indah buatmu sayang.

Sejak setahun ini, jika ditanya aku nak apa, jawapan aku hanya satu dan tak pernah berubah. Mama nak lobster haha.. Sebenarnya tak retilah nak minta apa-apa. Apa yang ada, semuanya sudah cukup untukku. Syukur Alhamdulilah.. Memenuhi permintaanku, yang asyik cakap nak lobster, maka lobsterlah yang menjadi hidangan untukku pada malam itu. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Semoga rezeki suamiku terus berkat dan melimpah ruah serta direzekikan suamiku untuk menjadi ahli syurgaMU.  Syukur atas setiap rezeki yang dikurniakan kepadaku. Ya ALLAH.. terus rezekikan aku untuk menjadi hambaMU yang selalu bersyukur. Rezekikan aku untuk menjadi hambaMU yang selalu bersabar saat ujian dan dugaan menimpaku. Rezekikan aku untuk selalu berzikir padaMU. Ya ALLAH.. Lapangkanlah dadaku untuk menerima takdirku penuh redha. Jauhi kami semua dari menjadi hambaMU yang melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam urusan kami. Bantu kami selalu Ya ALLAH.. Aamiin Ya Mujib. 


Alhamdulillah.. Officially 45.💝 Tak tahu berapa lama lagi masa yang tinggal. Sebelum waktu itu tiba, aku ingin menikmati segala pinjaman dariNYA dengan sebaiknya. Untuk bahagia aku perlu berdamai dengan takdir. Untuk tenang aku hanya perlu selalu memberi kemaafan. Untuk tidak berhasad dengki aku mesti lebih banyak mendoakan kebaikan untuk orang lain. Nak jaga hati kena selalu bersangka baik. Selebihnya kena selalu ingat yang tiada apa yang berlaku sia-sia. Semua yang hadir dalam hidup pastinya punya makna. Syukur selalu, sabar selalu. Tak mudah buat bukan bermakna tak mampu buat. Kita jalan terus dan nikmati hidup dengan sebaiknya. Jaga iman, jaga solat, jaga ibadat dan jaga hubungan dengan sebaiknya.

Alhamdulillah.. Direzekikan dengan kesihatan yang baik, emak yang baik, ayah yang baik, suami yang baik, anak-anak yang baik, adik beradik yang baik, ahli keluarga yang baik, keluarga mertua yang baik, saudara mara yang baik, kawan-kawan yang baik, jiran-jiran yang baik, bos yang baik serta orang sekeliling yang baik. Yang baik bukan bermakna terbaik dalam serba serbi. Tiada manusia yang sempurna. Aku juga tak sempurna, bukan juga yang terbaik. Seadanya.. Alhamdulillah.. ALLAH Maha Baik. Dan nikmat ALLAH yang mana mahu kau dustakan? Allahu.. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah atas setiap rezekiMU. Terus rezekikan aku dengan rasa meminjam bukan rasa memiliki.

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Raikan dan permudahkan..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. Hi Everyone. Tiba-tiba pulak greeting in english kan. Minggu lepas ada buat sesi rakaman sikit un...