Wednesday, October 21, 2015

Ciplak..

Assalamualaikum..

Hari ini, dah 3 hari sekolah cuti akibat jerebu. Aku pun dah 3 hari juga jadi supermom. Pagi-pagi sebelum ke pejabat dah masak siap-siap untuk breakfast dan lunch anak-anak. (Baru 3 hari masak pagi-pagi dah mengaku supermom. Orang lain hari-hari buat bento anak untuk breakfast and lunch takde pun kecoh macam aku ha..ha..). Semoga keadaan jerebu akan segera pulih hendaknya.. In sya ALLAH. Kesian pada anak-anak yang tertangguh tarikh peperiksaan sekolahnya. Kesian juga pada yang tidak sihat akibat jerebu. 

Alhamdulillah.. manuskrip ketigaku sudah berjaya diakhiri dengan perkataan tamat beberapa minggu yang lalu. Syukur pada ALLAH. Alhamdulillah.. manuskrip tersebut sudah aku kirimkan ke pihak penerbitan. Semoga ada rezeki untuk manuskrip ketigaku itu untuk dapat diterbitkan dan menjadi novel ketigaku.. In sya ALLAH. Tolong doa-doakan sama ya! Terima kasih semua. Rasa begitu lega bila  manuskrip itu berjaya disiapkan dengan sempurna dan seperti apa yang aku mahu. Untuk aku, terlalu susah sebenarnya untuk menyiapkan sesebuah manuskrip itu. Terlalu payah untuk aku menamatkannya. Yang pertama begitu, yang kedua begitu dan yang ketiga juga begitu. Kesemuanya melalui susah payah sebelum ianya dapat disiapkan untuk menjadi naskah yang baik. Walaupun aku terlalu berminat dalam bidang penulisan tapi ianya bukanlah perkara yang mudah buatku. Terasa jerih dan lelah untuk menyiapkannya. Namun kerana minat, perkataan mengalah tidak sekali-kali menjadi pilihan.

Dalam kepayahan yang perlu dilalui untuk menyiapkan sesebuah manuskrip, hati berasa tercalar bila terbaca berita ada karya yang diciplak. Walaupun bukan karyaku yang diciplak, tapi aku turut terasa pedihnya bila hal itu terjadi kepada penulis lain. Bagi seorang penulis, setiap karya itu sudah pastinya sangat istimewa buat dirinya. Hanya penulis yang tahu apa yang  dilalui untuk menyiapkan sesebuah karya itu. Sangat tidak patut bila seseorang itu mengambil jalan mudah dengan menciplak karya orang lain tanpa rasa bersalah untuk dijadikan hak sendiri. Berani sungguh kan! Untuk meniru sebaris ayat milik orang lain pun aku sudah merasakan ianya tidak patut. Inikan pula mahu meniru atau menciplak karya penulis lain bulat-bulat. Ya ALLAH.. apa yang ada di dalam fikiran penciplak itu agaknya ya? 

Dari pengalaman aku sendiri, penat tau nak memerah otak untuk menghasilkan sesebuah karya itu. Emosi pun adakalanya jadi tunggang langgang dibuatnya kerana menulis banyak bermain dengan perasaan setiap watak yang kita wujudkan dalam cerita.  Siap dengan pakej tumbuh jerawat waktu tulis bab cintan cintun sebab betul-betul nak menghayati watak. Bila datang ujian idea tepu tu, rasa macam serbi serbi jadi tak kena. Tulisan sedia ada tak mampu disambung. Idea baru tak mahu muncul.  Itu belum ditambah lagi dengan mood menulis hilang entah ke mana. Waktu tu gigih cari semangat agar mood menulis datang kembali. Kadang tu idea dan mood semua dah okey. Tapi masa pulak macam takde sebab sibuk dengan hal keluarga, rumahtangga dan kerja. Jadi bila orang lain senang-senang nak ciplak karya yang kita dah usahakan dengan segala susah payah, tentulah rasa sangat terkilan jadinya.
 
Mahu senang tanpa usaha sendiri bukanlah langkah orang yang mahu berjaya. Tapi itu tandanya seseorang itu memilih untuk gagal sebelum mula melangkah. Hormatilah karya orang lain dengan sebaiknya. Nak mengkritik mahupun memuji sesebuah karya yang dihasilkan itu, dipersilakan dengan segala hormatnya. Kritikan pastinya dapat diambil untuk memperbaiki kekurangan. Pujian pula akan dapat diambil menjadi semangat. Tapi untuk menciplak karya orang lain untuk dijadikan karya sendiri, tiada siapa yang berhak untuk melakukannya! Nak menulis, tulislah dari hati dan dari idea sendiri. Ada peluang untuk karya itu diterbitkan, ianya satu rezeki. Jika tidak, kita boleh berusaha dan mencuba lagi. Tak perlulah nak guna jalan pintas. Sebab semakin mudah kita naik, semakin mudah juga untuk kita jatuh. 

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Monday, October 19, 2015

Lauk lebihan semalam..

Assalamualaikum..

Aku jenis yang tak kisah pasal makanan. Apa yang dihidang aku boleh makan asalkan ianya bersih dan halal. Tak kisahlah makanan yang dihidang itu lauk yang baru dimasak, lauk yang dimasak semalam, lauk yang dimasak kelmarin mahupun yang dimasak beberapa hari sebelumnya. Asalkan ianya masih elok setelah disimpan dengan baik di dalam peti sejuk dan dipanaskan ketika hendak makan, aku boleh aje makan. Tapi kalau kat rumah aku, en.asben dan anak-anak memang payah sikit nak makan lauk semalam. Bukanlah tak makan langsung. Tapi susah sikit nak makan lauk semalam. Kalau makan pun muka macam terpaksa aje hu..hu..

Hari rabu yang yang lepas aku terlibat dengan perarakan Maal Hijrah di Masjid Negara. Pukul 4 pagi dah bangun. (Itu tak kira lagi terjaga sejam sekali sejak pukul 2 pagi sebab takut terlajak tidur ha..ha..). Pukul 4.45 pagi sudah berada di pejabat kerana bas bertolak ke masjid Negara pada pukul 5 pagi. Seronok dapat sama-sama menyertai perarakan tersebut. Perarakan pertama yang dapat aku sertai setelah 6 tahun berkhidmat di tempat kerja sekarang. Alhamdulillah.. satu pengalaman baru buatku. Balik dari perarakan mata bukan main mengantuk lagi. Siap tukar baju dan solat dhuha, aku terus sambung tidur. Dapatlah tidur dalam sejam setengah sebelum terjaga. Bangun-bangun aje kepala pening sebab tidur tengah hari he..he.. Nak masak pun jadi tak larat. Nak makan di luar, rasa malas pula nak keluar. Lagipun Han dah siap-siap tolong masakkan nasi. Jadi, makan di rumah ajelah.

 Peserta perarakan Maal Hijrah.. 
Seronok dapat pakai baju yang sama dengan kawan-kawan ofis.
Suka dengan kurung pahang tu. Besar dan selesa walaupun nampak gemuk.. ha..ha.. macamlah sebenarnya kurus kalau pakai baju lain ha..ha..

Tak tahu nak masak apa, aku keluarkan aje lauk semalam yang di simpan dalam peti sejuk. Lauk sambal tumis ikan bilis lebihan aku masak nasi lemak hari ahad tu. Lauk kari ikan tongkol yang emak mertua bekalkan pada malam ahad. Lauk lemak pisang dan daging masak hitam yang emak aku bagi pada hari isnin dan lauk ayam masak merah yang aku masak malam selasa. Kat rumah aku ni kalau masak sikit tak cukup. Kalau masak banyak berlebih-lebih. (Aku yang tak pandai bajet agaknya ha..ha..). Nak buang sayang. Tapi bila simpan, memang semua terkulat-kulat nak makan walaupun dah dipanaskan. Aku sorang aje yang selalu berselera aje nak makan asalkan ada lauk atas meja he..he.. langsung takde masalah. Bila dah panaskan lauk tu semua satu-satu, jadi penuh juga meja. Lauk sambal tumis ikan bilis aku tambahkan kentang. Jadilah sambal kentang. 

 Semuanya lauk lebihan semalam.. 
Lapang peti sejuk aku dengan tupperware yang bersusun selepas itu..

Bila yang dihidang semuanya lauk semalam, semua orang takdelah dapat nak pilih-pilih makan. Kalau selalu tu bila ada lauk semalam dengan lauk baru, lauk semalam memang tak bercuitlah. Tapi bila takde pilihan semua orang boleh aje makan. En.asben pun tak cakap banyak sebab dia tahu aku tak larat. Sekurang-kurangnya ada lauk panas yang dihidang di atas meja untuk hidangan kami sekeluarga. Semuanya okey cuma bila duduk aje kat kerusi makan semua dok cakap lauk semalam ke? He..he..  Tapi aku pujuk-pujuklah juga cakap sayang lauk-lauk tu kalau tak di makan. Takkan nak buang sebab ianya masih elok. Alhamdulillah.. habis juga lauk semalam yang dihidang. Syukur.. kenyang perut kami dengan lauk semalam yang sedap. Orang di tempat lain ada yang tak cukup makan. Apalah sangat kalau setakat makan lauk semalam, kan?

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Thursday, October 15, 2015

Teman..

Assalamualaikum.. 

Salam Maal Hijrah buat semua. Alhamdulillah.. dapat juga kita bertemu dengan tahun baru 1437H. Semoga tahun-tahun mendatang akan lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.. In sya ALLAH.

Alhamdulillah.. semalam satu urusan arwah adikku yang telah aku usahakan sejak dari tahun lepas telah selesai dengan sempurna. Menerima surat mengenainya membuatkan air mataku tumpah. Aku jadi cukup sebak. Ketika hayatnya, dia selalu menyenangkan kami. Setelah dia tiada, dia masih menyenangkan kami. ALLAH.. semoga arwah sentiasa dirahmati olehNYA. Macam susah sangat untuk aku  menguruskan proses tentang hal yang satu ini. Alhamdulillah.. semalam ianya telah selesai dengan sebaiknya.  Pagi-pagi ini aku menghantar mesej terima kasih kepada bekas teman sekerja adikku yang telah banyak membantu sepanjang aku menguruskan proses tersebut. Setiap kali ada dokumen yang tidak lengkap atau ada dokumen tambahan yang diperlukan, dia sendiri yang akan datang kepadaku. Dia juga begitu rajin mengambil berat bertanyakan tentang perkembangan proses itu. Kemudian dia juga yang akan membantu dalam proses follow-up. Pertolongan darinya sangat aku hargai. Walaupun tidak sebangsa, namun ingatannya untuk sungguh-sungguh membantu sangat menyentuh hati. Namun katanya pula adik aku juga telah banyak membantunya dulu.

Alhamdulillah.. arwah adikku mempunyai kawan-kawan yang sangat-sangat baik. Bulan lepas,  emak mengemas bilik arwah adikku. Bila aku datang, emak memberikan sebuah envelope besar kepadaku. (Sebab aku dah beritahu pada emak yang segala dokumen milik arwah adikku jangan dibuang sebab aku takut dokumen itu akan diperlukan satu hari nanti). Aku buka envelope tersebut dan di dalamnya ada dokumen-dokumen lama. Selainnya ada sebuah album. Album 19 tahun yang lalu. Di dalam album tersebut ada gambar arwah adikku bersama teman-temannya di branch bank pertama adik aku bekerja. Saat membelek album tersebut, air mataku mengalir. Aku jadi sangat terharu bila kesemua wajah yang aku lihat di dalam album tersebut menunjukkan muka mereka ketika arwah adik aku koma di Wad ICU, Hospital Ampang Puteri dulu. Sebahagian dari mereka juga hadir  pada hari pengkebumian arwah.

Teman baik arwah juga cukup baik dengan kami sekeluarga. Teman-teman sekolah arwah yang lain juga begitu. Sehingga kini ramai pula yang menjalin hubungan baik denganku. Selalu juga bertanya khabar dan bertegur siapa. ALLAH.. rasa sangat berbesar hati. Waktu di hospital dulu, wajah mereka kembali aku temui. Pada hari pengkebumian, ramai teman-teman sekolahnya yang aku tidak kenali turut hadir. Yang aku kenal ramai juga yang datang. Setelah adik aku pergi, masih ramai juga yang datang menziarah di rumah. Adik aku seorang yang pendiam dan suka buat hal sendiri. Yang aku tahu dia cuma rapat dengan sesetengah orang. Tak sangka yang rupanya dia mempunyai teman yang cukup ramai dan mereka semua baik-baik belaka. Bagi aku, teman-teman adikku sangat baik terhadap arwah. Kata  mereka pula, arwah adikku adalah seorang teman yang sangat baik kepada mereka. 

Begitulah kan, teman itu bukanlah orang yang sentiasa ada bersama dengan kita. Adakalanya, seorang teman hanya wujud di saat kita dan dia sama-sama memerlukan atas kepentingan masing-masing. Ada teman, bila kita di timpa musibah, mereka akan ada bersama kita. Ada teman, hadirnya hanya untuk membantu kita. Ada teman, walau tanpa khabar berita, bagi mereka kita tetap sahabat terbaik mereka. Siapa pun mereka, sebagai teman berikan saja yang terbaik, sebaik dan semampu yang boleh. Kita tak tahu siapa yang akan membantu kita suatu hari nanti. Kita juga tidak tahu siapa yang akan berada bersama kita di saat terakhir kita nanti dan setelah kita tiada.  Kita juga tidak tahu siapa kita di hati mereka. Yang perlu kita lakukan adalah cuba menjadi teman yang terbaik buat mereka tanpa mengharapkan apa-apa. Ini kerana di akhirnya, keikhlasan yang kita berikan dalam persahabatan akan dibalas dengan keikhlasan juga. 

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Tuesday, October 13, 2015

Kau tu besar!

Assalamualaikum..

Sedih dengan kemalangan yang menimpa 3 sekeluarga di lebuhraya Tanjung Malim baru-baru ini. Inalillah.. Takziah buat ahli keluarga mangsa. Mengikut berita yang aku baca, papan tanda tersebut tumbang setelah  dilanggar oleh lori kontena yang terbabas. Perkara nak berlaku bukannya boleh dielak. Tapi ianya pasti boleh dicegah. Bukan mahu jadi nasi tambah. Bukan juga mahu pukul rata. Tapi aku bercakap dari apa yang aku lihat dan terjadi  di depan mata. Aku maklum, bukan semuanya begitu. Masih ramai pemandu lori kontena yang bersopan di jalan raya. Tapi segelintirnya yang memandu dengan teruk boleh membahayakan nyawa orang lain. Sebenarnya aku dah pilih untuk lupakan saja tentang hal itu. Kalau boleh tak mahu untuk membicarakannya. Sebab bila teringat balik aku jadi seram. Tapi pagi tadi kejadian yang sama berulang lagi di hadapan mata. Maka aku jadi terasa untuk  bercakap tentangnya. 

Kenderaan mereka  besar. Jadi risiko untuk mereka jadi kecil jika berlakunya kemalangan. Tapi risiko untuk kenderaan dan pengguna jalan raya lain adalah sangat besar. Namun kelihatannya mereka langsung tidak peduli. Cara pemanduan sangat tak berhemah. Bawak lori kontena feeling bawak ferrari. Sebab tahu mereka besar jadi dengan hebatnya rasa macam raksaksa di jalan raya. Kenderaan lain perlu ke tepi.  Jalan raya bagaikan mereka yang punya. Minggu lepas saja, dua kali aku terkena. Mengenangnya kembali membuatkan perutku berasa ngilu. Ngeri!! Sangat ngeri bila aku yang memandu kenderaan kecil disergah oleh lori kontena  besar yang dipandu laju. Giler tak ngeri bila tayarnya saja sudah sama tinggi dengan kereta kecilku.  Bila lori itu menghimpit, tayarnya sudah berada betul-betul di sebelah muka. Aku tahu, bila memandu perlu jauhkan kenderaan kita dari  lori kontena dan lori-lori besar ni untuk keselamatan. Tapi bila kita yang dihimpit oleh mereka, bagaimana kita nak jauhkan diri dari mereka?

Pagi tadi ketika keluar dari simpang sekolah anakku, sebuah lori kontena meluncur laju. Lebih laju dari kereta-kereta dan kenderaan kecil yang lain. Iya, jalan itu adalah jalan lebuhraya. Tapi.. perlukah untuk lori sebesar itu dipandu dengan terlalu laju? Lebih-lebih lagi bila dalam jarak 500 meter di hadapan, lori  kontena tersebut sudah mahu memasuki simpang. Mungkin pemandu lori kontena tersebut mengejar trip. Atau mungkin ada urgent shipment yang mahu di hantar. Sebelum ini, 15 tahun aku berkerja dalam bidang eksport barangan ke luar negara. Setiap hari di dalam invoice memang tercatit, full container loading 1x20' container. FCL cargo 1x40' container. Setiap hari shipment melibatkan lebih dari berbelas buah kontena. Aku faham rutin kerja mereka. Tapi, adakah urgent shipment itu lebih penting dari nyawa dan keselamatan orang lain di jalan raya? 

Minggu lepas waktu balik kerja aku memandu di lorongku. Dah siap-siap ambil lorong untuk masuk simpang di hadapan. Tapi ada kontena yang dipandu laju tiba-tiba saja mahu masuk simpang. Dah tahu nak masuk simpang, beradalah di lorong yang sepatutnya. Bukannya pintas jalan orang. Tapi jalan tu bagaikan mereka yang punya dan orang lain yang naik kenderaan yang kecil ini perlu beri laluan serta merta kepada mereka. Boleh bayangkan tak? Laluan itu dari lebuhraya bersimpang. Semua kereta sedang bergerak laju. Jalan itu pula sedikit menurun bukit dan ada selekoh. Kalau ikut keselamatan, boleh ke kalau kita brek mengejut di kawasan begitu tanpa membahayakan diri kita dan orang lain. Dah tentulah tak, betul tak? Tapi lori kontena besar itu tetap mahu pancung jalan kita di situ tanpa mempedulilkan keselamatan orang lain. Ya ALLAH.. bahaya sangat. Bukan taknak mengalah. Tapi takde ruang untuk beralah. Dahlah tak boleh nak berhenti mengejut. Kalau berpindah ke lane sebelah akan terlepas simpang yang sepatutnya mahu aku lalui. Tapi lori kontena dah menghimpit juga dengan tayar besar mereka. Aku terpaksa ke lane sebelah dan brek mengejut untuk lepaskan badan lori kontena yang pancung jalan. Lepas tu macam kita yang bersalah, mereka pula membunyikan hon kuat mereka sebagai tanda protes untuk menakut-nakutkan kita pula. Perlakuan yang sangat kurang ajar!

Jumaat lepas sewaktu rehat tengah hari aku balik ke rumah. Jalan di lane biasa. Tak potong jalan orang lain. Di simpang lampu isyarat overhead barisannya sangat panjang. Aku masih berada di lane yang sama. Bila barisan panjang, seperti biasa banyaklah kenderaan  yang mahu potong queue. Waktu itu ada lebih kurang lima buah kenderaan yang cuba potong line. Fine! korang aje yang nak cepatkan. Silalah potong jalan. Aku halalkan. Tapi nak potong jalan orang pun biarlah berhemah sikit. Bergilirlah!!!! Takkan lima-lima buah kereta nak sekali pancung jalan orang lain. Alhamdulillah.. 2,3 biji kereta yang pertama masih ada adabnya. Mereka bergilir, bagi laluan sebelum ambil giliran. Tapi 2 biji yang terakhir nampak tergesa. Takpe. Silalah. Aku pun malas nak rebut. Dalam keadaan dah bagi jalan untuk dua biji kenderaan macam tu, aku terus rapatkan keretaku. Aku kena fikirkan juga kenderaan  dibelakang yang tentunya tak puas hati bila aku terus bagi jalan pada kenderaan yang potong laluan.

Pada waktu itu, sebuah prime mover (kepala lori kontena tanpa badannya) tiba-tiba saja mahu menyelit. Ya ALLAH.. Jalan aku kut.  Tunggulah aku lepas dulu baru nak pancung jalan. Orang belakang aku pun nak jalan juga. Dah bagi lepas 5 kenderaan dah pun. Tunggulah sekejap. Ingat dia nak tunggu? Tak.. ya. Aku tak rasa dia tak nampak kereta aku. Sebab dah terang-terang dia nak potong queue.  Dengan selamba dia terus menghimpit. Bukan nak laluan selepas kereta aku. Tapi nak laluan sebelum kereta aku yang dah rapat dengan kereta depan. Rasa nak menangis bila kontena yang besar itu  menghimpit aku dengan lori besar dia. Sampaikan aku terpaksa tarik stereng ke lane sebelah tanpa sempat aku tengok lane sebelah tu kosong atau tak? Ya ALLAH.. mujur kereta di lane sebelah sempat memperlahankan kereta dia dan tekan hon. Aku rasa dia bukan hon aku. Tapi dia hon kepala kontena yang kurang ajar itu. 

Lepas bersyukur kerana aku tak apa-apa, aku terus mengangkat tangan berdoa sebab aku rasa sangat-sangat teraniaya. Semoga makbul doa orang yang teraniaya di hari jumaat yang mulia. Tak.. aku tak mendoakan yang buruk kepada pemandu lori kontena yang biadap itu. Apa yang dia lakukan aku serahkan kepada Yang Maha Kuasa. ALLAH itu ada. Aku tak mahu buang masa mendoakan yang buruk-buruk berlaku kepada orang lain.  Aku kesian pada keluarganya. Aku tak sanggup. Kalau dia tak peduli tentang nasib orang lain, itu hal dia. Tapi aku mendoakan yang baik-baik untuk diriku dan keluargaku. Padaku, itu adalah lebih baik.

Eh.. Kau tu besar! Tolong berhemahlah untuk keselamatan bersama.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, October 12, 2015

Kotak Tudung...

Assalamualaikum..

Semalam, lepas solat subuh takde rasa nak sambung tidur seperti hari-hari minggu yang lain. Sebabnya dalam kepala dah terangka rancangan nak buat apa. Minggu sebelumnya aku ada beli bekas berkotak di DIY. Masa beli tak terfikir pun nak isi apa. Tapi beli jugak sebab rasa macam bekas tu berguna (dasar perempuan suka membeli he..he..). Harganya pun tak mahal. Cuma dalam  11 ringgit lebih aje. Lagilah rasa ada keperluan nak beli.  Macam... Eh.. kena beli ni! ha..ha.. Bawak balik rumah masih tak tahu nak isi apa dalam bekas tu. Untuk mengelakkan en.asben bising sebab aku asyik membeli benda yang tak perlu jadi aku berikan aje bekas tu pada en.asben. Cakap kat en.asben suruh isi apa-apa aje barangan dia kat dalam tu. Tapi lepas seminggu en.asben tak isi apa-apa pun kat dalam tu. Bila dah macam tu mulalah timbul idea dalam kepala apa yang aku nak isikan dalam bekas tu.

Selendang yang selama ni aku sangkut dalam almari dan ada sikit di belakang pintu aku turunkan dari gantungan. Laci tudung sedia ada yang dah santak isinya aku keluarkan semua isinya. Pilih tudung jenis selendang dan lipat semuanya dalam satu saiz. Kemudian aku isikan ke dalam bekas DIY tu. Hasilnya sangat memuaskan hati. Selendang-selandang aku dah tersusun kemas di dalamnya. Nak ambil pun senang. Senang juga nak pilih selendang untuk matchkan dengan baju. Paling penting bila dah bersusun cantik macam tu, ianya mengingatkan aku untuk tidak menambah lagi koleksi yang ada sebab yang ada sekarang ni pun banyak yang tak berpakai.   

Alhamdulillah.. suka.. suka!!
Tersusun dan senang nak ambil..  Aku dah asingkan selendang yang plain dan yang bercorak.. Berguna juga kotak dari DIY ni.. Takdelah sia-sia aje aku beria nak beli he..he.. 


Kotak simpan selendang.. 
Bila dah tersusun, senang nak ambil dan nampak semua warna dan corak selendang yang ada, pagi ni dapatlah aku pakai selendang yang dah beberapa tahun tak pernah pakai sebab tak teringat pun ada selendang kaler tu huhu.. 


Bila semua selendang dah ada tempat baru, laci tudung sedia yang sebelum ni penuh padat dah jadi sedikit lapang.. Selain senang nak ambil dan cari tudung, susunan macam ni nampak lebih kemas.. Aku perasan bila susun style macam ni lebih menjimatkan ruang..  Paling best bila ada ruang kosong pula yang boleh aku tempatkan kemeja-kemeja aku.. Stokin dan serkup kepala juga dah tak bercampur aduk lagi.. Lebih senang nak cari..
Alhamdulillah.. hati senang dan mata pun jadi sedap memandang.



Salam hormat untuk semua.. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Friday, October 9, 2015

Nasi Dagang cara mudah..

Assalamualaikum..

Salam Jumaat yang mulia untuk semua. Hari ini keadaan cuaca di tempatku sangat baik. Pukul 6.50 pagi, keadaan di luar sudah terang dan cerah. Awan yang cantik sudah kembali kelihatan. Matahari pagi juga kelihatan sangat indah pagi ini. Syukur.. Cuaca yang baik dan jerebu yang semakin berkurang   membuatkan hati menjadi ceria. Terima kasih ALLAH..

Alhamdulillah.. semalam untuk pertama kalinya aku masak nasi dagang. Pertama kali buat tentulah ada rasa seronok bila ianya menjadi seperti yang diharapkan. Waktu hari raya yang lepas aku ada mengirim beras nasi dagang dari seorang teman yang pulang berhari raya di kampungnya di Terengganu. Sekarang ni dah bulan Oktober. Punyalah lama dok simpan beras tu he..he.. Mengelakkan beras tu berkutu, aku pun pasang impian dari minggu lepas nak masak juga nasi dagang dalam minggu ni. Taknak tangguh-tangguh lagi. Sebelum-sebelum ni tak berapa ada hati nak cuba memasak nasi dagang sebab anak-anak tak berapa suka dan tak pandai nak makan nasi dagang. Tapi sejak setahun ni anak-anak nampaknya dah pandai makan dan menyukainya. Jadi bila anak-anak dah suka, mamanya pun mulalah berkeinginan untuk menyajikan nasi dagang buat keluarga tercinta.

Semalam sibuklah mengodek resepi di internet. Aku kalau cari resepi suka cari yang mudah-mudah aje. Yang susah-susah memang tak berapa rajin nak cuba. Dah dapat resepi dengan cara yang paling mudah, aku tanyakan juga cara dan resepi dari temanku yang pandai masak nasi dagang. Kedua-dua info yang aku dapat aku gabungkan. Kemudian aku ambil cara paling mudah dan masak  ikut cara aku pula he..he.. Rupanya memang tak susah pun nak masak nasi dagang ni. Lebih-lebih lagi bila semua bahan yang diperlukan memang ada di rumah. Dalam pukul 2 aku telefon Han yang dah balik dari sekolah untuk tolong rendamkan beras nasi dagang terlebih dahulu. Minta dia tolong keluarkan ikan tongkol dari peti ais juga. Bila semuanya dah siap-siap macam tu, balik kerja lebih senanglah kerjaku. 

Balik kerja, lepas exercise kejap.. Wah exercise you!!! Ya..  sekarang ni aku memang cuba nak displinkan diri untuk buat senaman kalau boleh setiap hari dalam 15 ~ 20 minit. Biar badan berpeluh sikit. Aku jenis orang yang susah sangat nak berpeluh. Jadi kalau tak bersenam tu memang lagi susahlah peluh tu nak keluar.  Tahun depan umur dah nak masuk 40 tahun. Jadi kena lebih jaga kesihatan. Kalau tak boleh nak kurus seperti dulu, at least tubuh masih boleh sihat dan cergas seperti dulu pun dah cukup bersyukur. Alamak! cerita nasi dagang dah terpesong ke cerita lain pulak ha..ha.. Sori eh. Iklan kejap.. Okey.. back to cerita nasi dagang.

Dah settle dengan senaman untuk kesihatan aku pun turun ke bawah dengan peluh sihat dan badan cergas he..he.. Lepas basuh beras yang sudah direndam dalam 3 jam, aku hiris sebiji bawang merah, seulas bawang putih dan seinci halia. Masukkan dalam beras sekali dengan setengah sudu kecil halba. Kemudian masukkan santan. Sukat santan kurangkan sikit dari sukatan air untuk masak nasi biasa. Nisbahnya 4:2. Beras 4 cawan, santan 2 cawan. (Aku guna santan peket tu sepeket aje). Masukkan juga sedikit garam dan serbuk perasa. Lepas tu terus on periuk nasi elektrik. Dah, tinggal. (Aku malas nak masak nasi tu guna kaedah kukus).

Lepas dah settle bab nasi aku basuh ikan pulak. (Aku gunakan seekor ikan tongkol saiz sederhana. Cukuplah untuk sekali makan kami sekeluarga). Kemudian rebus ikan yang dah bersih bersama garam dan beberapa keping asam keping. Sambil merebus ikan aku tumiskan karinya. Hiris sebiji bawang besar, seulas bawang putih dan seinci halia. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang dah dihiris. Bila dah garing masukkan rempah kari. Sebab takde rempah kari nasi dagang aku gabungkan aje rempah kari ikan dengan rempah kari daging yang ada kat rumah. Aku guna sepeket kecil rempah kari ikan dan dua sudu besar rempah kari daging. Masak rempah sampai pecah minyak. Masukkan sekali garam, gula dan serbuk perasa.  Bila rempah dah masak betul aku masukkan air rebusan ikan. Masukkan beberapa biji cili padi. Bila dah mengelegak masukkan ikan dan santan. (Aku gunakan sepeket santan peket juga). Agak-agak rasa dah umpphh.. boleh tutup api.

Semalam aku puasa. Jadi tak boleh nak merasa. Jadi aku panggil Fareez untuk tolong rasakan kuah kari tu. Fareez ni memang hantu kari. Jadi untuk rasa aje aku bagi dia semangkuk kecil kuah kari tu he..he.. Baru puas dia merasa dan senang dia nak bagi komen. Dia cakap kari tu dah sedap. Betul ni? Aku acah dia sebab takut nanti orang lain makan rasa tak sedap pulak. Dahlah aku main pandai-pandai aje gabungkan rempah kari tu he..he.. Fareez confirm cakap sedap. Dia cakap sama macam kari yang nenek masak. Wah! Okey mama percaya ha..ha.. Bukak periuk nasi untuk kacau nasi nampak nasi masak elok. Tak lembik dan tak jelatah. Cun. Terus buat acar jelatah pulak. Guna sebiji carrot, sebiji timun dan sebiji bawang. Takde cili merah kat rumah jadi aku tak letak cili. Dah potong semua, gaulkan dengan sedikit garam, gula dan cuka. Done! Senangnya nak masak nasi dagang. Masak hari-hari pun I rela he..he..

 Nasi dagang saya untuk pertama kalinya.. Ehem.. 

Alhamdulillah.. percubaan pertama yang menjadi. Berselera anak-anak makan. Is makan sampai 3 kali tambah. Bila tegur cakap banyaknya dia makan, dia cakap dia makan bertambah sebab dia puasa semalam.  En. asben pulak, balik kerja dia makan sikit sebelum pergi kelas aikido. Balik kelas aikido repeat makan lagi dan siap bertambah. So, aku boleh pukul rata kira sedaplah tu ha..ha.. Terus semangat nak buat nasi dagang lagi di lain kali.. insyaALLAH.  Kat atas tu aku saja tulis detail tang resepi dan cara masak biar nanti kalau nak buat lagi senang aku nak refer balik. Tak payah nak cari-cari resepi lagi. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Thursday, October 8, 2015

Kembali bertemu..

Assalamualaikum.. 

Alhamdulillah..  Hari ahad lepas aku dan en.asben sempat menghadiri undangan perkahwinan anak bekas bos lama aku. Bos pertama aku 21 tahun yang lepas. Pengalaman pertama aku ditemuduga di Hitachi juga dengannya. Hampir 10 tahun juga aku bekerja di bawahnya. Mula-mula aku masuk kerja, nama department kami Trading. Kemudian bertukar kepada Logistics. Lepas tu tukar kepada Sales and Marketing.  Lepas tu bergabung pula dengan unit lain dan namanya bertukar lagi.  Banyak sungguh pengalaman aku berkerja di bawah bos yang satu ini. Paling aku ingat tentang bos aku ini ialah dialah satu-satunya bos yang aku kenal selalu backing staff dia no matter what. Dia akan protect staff dia dengan cukup baik. (Salah satu sifat baik yang perlu ada pada semua ketua). Tapi lepas tu kalau memang kami yang salah kaw-kaw jugalah kami kena he..he.. 

Tahniah untuk En.Din dan isterinya yang kami panggil dengan nama Kak Long kerana menerima menantu pertama. Majlis dibuat di padang di hadapan rumah mereka. Tak payah tengok map pun aku ingat jalannya sebab dulu-dulu kami pernah pergi ke rumahnya. Ramai sungguh tetamu yang datang memeriahkan majlis. Biasalah, kenduri kahwin pertama dalam keluarga memang selalunya begitu. Semua jemputan yang dijemput akan cuba menghadirkan diri dengan sebaiknya. Begitulah juga dengan kami. Tambah-tambah lagi pengantin perempuannya (Najla) juga cukup rapat dengan aku dan en.asben waktu dia  kecil-kecil dulu. Kalau keluar outing memang duduk berkepit aje dengan en.asben sebab en.asben memang rajin melayan budak-budak.  Masa dia kecik-kecik aje kami selalu jumpa. Lepas tu adalah lebih 10 tahun juga dah tak jumpa. 

Ada sekali tu dalam tahun lepas kut.  Kat dalam train ada orang panggil-panggil en.asben, uncle! uncle! En.asben pun tercari-cari siapalah yang panggil dia. Sekali tengok, Najla. Kenal lagi dia dengan en.asben. Dah besar dah dia he..he.. Tahun ni dah kahwin dah pun. So, itu yang nak pergi sangat ke majlisnya tu. Selain daripada mahu memenuhi jemputan dari tuan rumah, sebab lainnya adalah nak jumpa teman-teman ofis lama yang dah lama sangat tak jumpa. Kami dulu dalam department cukup rapat antara satu sama lain. Yang lelaki, yang perempuan semuanya rapat sebab selalu keluar outing bersama. Dengan pasangan masing-masing pun dah kenal rapat juga. Dari sebelum kahwin sampailah dah beranak pinak. Jadi bila ada peluang nak jumpa memang semuanya rasa excited. 

Syukur.. dalam majlis tu dapatlah kami kembali bertemu. Dapatlah juga bertanya khabar perkembangan terkini masing-masing. Ramai juga teman-teman dan familiar faces  yang dapat kami jumpa. Sempatlah bersidang kejap kat bawah pokok sebelah khemah sebelum masing-masing balik. Dah alang-alang bersidang, bergambarlah dulu buat kenangan. Lepas ni entah di kenduri kahwin anak siapa pulaklah kami dapat berjumpa lagi. Doaku semoga ukhwah yang baik dengan orang-orang yang baik-baik ini akan berkekalan hendaknya.. In sya ALLAH.

Jadilah.. ada sekeping aje gambar dalam phoneku.. 
Gambar yang lain di kamera orang lain..

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Friday, October 2, 2015

Biar dia jatuh tergolek tersemban depan mata..

Assalamualaikum..

Salam Jumaat yang mulia untuk semua.. Jom banyakkan menyebut nama ALLAH dan berselawat.

Adakalanya.. bila diri selalu terkena atau dah banyak kali dikenakan, sesekali ada juga rasa nak membalasnya. Mana boleh tahan kalau asyik-asyik kita saja yang jadi mangsa keadaan. Bila rasa tak sabar, hati meronta-ronta mahu membalas balik perbuatan orang lain kepada kita. Nak lupakan saja perbuatannya, sorry! Tapi.. apalah gunanya menurut kata hati bila memaafkan itu lebih mulia. Tapi.. memaafkan bukan perkara yang mudah bila  yang terkena dan dikenakan adalah kita dan lagi-lagi kita. Iya, betul. Tapi.. Memaafkan itu TETAP adalah yang lebih baik!

Aku tersenyum ketika membaca kata-kata seseorang yang aku tak ingat di mana. Katanya, jangan terlalu mengharap orang yang mengenakan kita akan jatuh tergolek tersembam depan kita. Sebab hal itu sangat-sangat jarang boleh berlaku. (Ha..ha.. bila hati sakit hal itulah yang selalu kita doakan untuk terjadi. Betul tak??? he..he..). Yang selalu dapat kita saksikan ialah orang itu akan boleh berjalan catwalk depan kita dengan megahnya hu..hu.. (Lagi rasa sakit hati kut ha..ha..). Semua itu adalah kata kiasan yang membawa maksud, tak perlulah mendoakan hal yang tidak baik berlaku kepada orang lain untuk kepentingan kepuasan hati kita. Ianya takkan berlaku kalau niat kita sendiri nak mengelakkannya kaw-kaw. Jadi jangan terlalu berharap.

Bila orang yang buat kita tu tak jatuh tersungkur tersembam depan kita, kita jadi tak puas hati juga. Rasa 'sakit pulak hati kita' bila kita terus asyik terkena dan dia boleh terus vouge. (Ini adalah kata kiasan juga ya!). Sesekali hati masih ada rasa nak balas balik perbuatannya kalau ada peluang. Biasalah kalau dah namanya manusia. Walaupun sudah memaafkan, tapi kita akan terus ingat hal buruk yang orang buat kat kita. Selalunya bila kita dah boleh memaafkan, pada waktu itulah peluang untuk membalas balik perbuatan orang lain itu terhadap kita terbuka di depan mata. Pada waktu itu adakah kita akan menggunakan peluang yang ada dan mengambil kesempatan yang datang?

Kalau tanya aku? Aku ada 2 jawapan. Kalau tanya aku di waktu peluang itu belum datang, aku akan jawab, mungkin! Tapi kalau tanya aku bila waktu peluang itu terbentang di depan mata, mulut dan hati aku akan sama-sama berkata, tidak! Aku tahu. Aku tak akan tergamak untuk melakukannya terhadap orang lain. Aku tak sampai hati. Walau berapa teruk pun aku dikenakan dan terkena, aku tetap tak sampai hati nak lakukan hal yang sama kepada orang lain. Walaupun aku  pernah mendoakan dia jatuh tergolek di hadapanku, tapi kalau dia betul-betul jatuh pun, rasanya aku juga yang akan membantunya bangun nanti. Tak perlu orang lain tolong.

Baik sangat! Hmmm.. itulah yang aku sendiri selalu rasa. Macam baik sangat! Asyik nak beralah pada orang yang dah selalu memperlakukan kita macam apa. Tapi entahlah?? Bukan nak kata baik sangat. (Mana ada baiknya kalau hati pernah ada rasa nak balas balik perbuatannya. Pernah juga mendoakan agar orang itu mendapat balasan yang setimpal. Kan???). Tapi.. itulah yang aku selalu rasa. Peluang yang terbuka untuk membalas balik perbuatan buruk orang lain tidak akan aku ambil. (At least buat setakat ini, begitulah aku). Yang pastinya, aku yakin  balasan baik yang akan diterima di sana nanti adalah lebih manis dan indah lagi.. In sya ALLAH. Itulah yang selalu menahan hati ini dari membalas perbuatan buruk orang lain walaupun peluang itu ada.

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi amanillah!

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...