Assalamualaikum..
Salam Maal Hijrah buat semua. Alhamdulillah.. dapat juga kita bertemu dengan tahun baru 1437H. Semoga tahun-tahun mendatang akan lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.. In sya ALLAH.
Alhamdulillah.. semalam satu urusan arwah adikku yang telah aku usahakan sejak dari tahun lepas telah selesai dengan sempurna. Menerima surat mengenainya membuatkan air mataku tumpah. Aku jadi cukup sebak. Ketika hayatnya, dia selalu menyenangkan kami. Setelah dia tiada, dia masih menyenangkan kami. ALLAH.. semoga arwah sentiasa dirahmati olehNYA. Macam susah sangat untuk aku menguruskan proses tentang hal yang satu ini. Alhamdulillah.. semalam ianya telah selesai dengan sebaiknya. Pagi-pagi ini aku menghantar mesej terima kasih kepada bekas teman sekerja adikku yang telah banyak membantu sepanjang aku menguruskan proses tersebut. Setiap kali ada dokumen yang tidak lengkap atau ada dokumen tambahan yang diperlukan, dia sendiri yang akan datang kepadaku. Dia juga begitu rajin mengambil berat bertanyakan tentang perkembangan proses itu. Kemudian dia juga yang akan membantu dalam proses follow-up. Pertolongan darinya sangat aku hargai. Walaupun tidak sebangsa, namun ingatannya untuk sungguh-sungguh membantu sangat menyentuh hati. Namun katanya pula adik aku juga telah banyak membantunya dulu.
Alhamdulillah.. arwah adikku mempunyai kawan-kawan yang sangat-sangat baik. Bulan lepas, emak mengemas bilik arwah adikku. Bila aku datang, emak memberikan sebuah envelope besar kepadaku. (Sebab aku dah beritahu pada emak yang segala dokumen milik arwah adikku jangan dibuang sebab aku takut dokumen itu akan diperlukan satu hari nanti). Aku buka envelope tersebut dan di dalamnya ada dokumen-dokumen lama. Selainnya ada sebuah album. Album 19 tahun yang lalu. Di dalam album tersebut ada gambar arwah adikku bersama teman-temannya di branch bank pertama adik aku bekerja. Saat membelek album tersebut, air mataku mengalir. Aku jadi sangat terharu bila kesemua wajah yang aku lihat di dalam album tersebut menunjukkan muka mereka ketika arwah adik aku koma di Wad ICU, Hospital Ampang Puteri dulu. Sebahagian dari mereka juga hadir pada hari pengkebumian arwah.
Teman baik arwah juga cukup baik dengan kami sekeluarga. Teman-teman sekolah arwah yang lain juga begitu. Sehingga kini ramai pula yang menjalin hubungan baik denganku. Selalu juga bertanya khabar dan bertegur siapa. ALLAH.. rasa sangat berbesar hati. Waktu di hospital dulu, wajah mereka kembali aku temui. Pada hari pengkebumian, ramai teman-teman sekolahnya yang aku tidak kenali turut hadir. Yang aku kenal ramai juga yang datang. Setelah adik aku pergi, masih ramai juga yang datang menziarah di rumah. Adik aku seorang yang pendiam dan suka buat hal sendiri. Yang aku tahu dia cuma rapat dengan sesetengah orang. Tak sangka yang rupanya dia mempunyai teman yang cukup ramai dan mereka semua baik-baik belaka. Bagi aku, teman-teman adikku sangat baik terhadap arwah. Kata mereka pula, arwah adikku adalah seorang teman yang sangat baik kepada mereka.
Begitulah kan, teman itu bukanlah orang yang sentiasa ada bersama dengan kita. Adakalanya, seorang teman hanya wujud di saat kita dan dia sama-sama memerlukan atas kepentingan masing-masing. Ada teman, bila kita di timpa musibah, mereka akan ada bersama kita. Ada teman, hadirnya hanya untuk membantu kita. Ada teman, walau tanpa khabar berita, bagi mereka kita tetap sahabat terbaik mereka. Siapa pun mereka, sebagai teman berikan saja yang terbaik, sebaik dan semampu yang boleh. Kita tak tahu siapa yang akan membantu kita suatu hari nanti. Kita juga tidak tahu siapa yang akan berada bersama kita di saat terakhir kita nanti dan setelah kita tiada. Kita juga tidak tahu siapa kita di hati mereka. Yang perlu kita lakukan adalah cuba menjadi teman yang terbaik buat mereka tanpa mengharapkan apa-apa. Ini kerana di akhirnya, keikhlasan yang kita berikan dalam persahabatan akan dibalas dengan keikhlasan juga.
Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.
2 comments:
Allahuakbar kak...saya yang baca turut sama rasa sebak nyer..
AlFatihah....sedihnya bila kita kehilangan orang tersayang.,lagi-lagi adik sendiri.Moga HAzla dan family tabah menghadapinya.
Post a Comment