Salam buat semua..
Masih tak habis lagi nak bercerita tentang pengalaman umrah. Catatan yang sebenarnya untuk diri sendiri. Mengenangnya adalah sangat indah, sehingga terasa mahu membuat catatan lagi dan lagi mengenainya.
Suhu di Mekah pada waktu kami di sana (31 Mei~5 Jun) adalah sekitar 40~45 darjah celcius. Pernah juga mencapai 49 darjah celcius. Ada yang kata panas tu. Memanglah panas. Tapi yang indahnya, dapat berehat di bilik berhawa dingin yang sejuk dan selesa pun masih tetap ada rasa mahu ke Masjidil Haram juga melalui cuaca panas dengan suhu yang sebegitu. Tarikan untuk berada dekat dengan kaabah adalah lebih kuat dari memikirkan soal suhu yang panas. Panas memang terasa tapi keseronokkan untuk berada di Masjidil Haram, beribadat di dalamnya, bertawaf dikeliling kaabah atau sekadar memandang kaabah adalah lebih dirasai. Subhanallah.
Di bilik hotel, saluran tv pilihan kami ialah siaran langsung di Masjidil Haram berserta dengan bacaan ayat suci Al-quran. Indahnya melihat keadaan di sekitar kaabah, indahnya melihat orang bersolat, indahnya melihat orang bertawaf, indahnya melihat orang bersaie. Jadinya, bila sampai ke bilik untuk berehat, hati mula rasa melonjak balik untuk kembali ke masjidil haram. Hati mula cemburu melihat orang lain boleh berada di luar dengan suhu yang panas. Seronok berada di bilik yang sejuk dengan penghawa dingin tapi lebih berganda seronoknya bila berada di Masjidil Haram. Subhanallah, perasaan yang sangat indah bagiku. Tarikan yang sangat kuat untuk beribadat ketika di sana.
Alhamdulillah, kami dapat merasa hujan di sana. Petang isnin, selepas solat asar, waktu kami keluar dari Masjidil Haram, hujan turun. Kelihatannya, ramai yang menadah tangan berdoa dengan wajah yang cukup seronok. Kami juga ikut meredah hujan untuk balik ke hotel. Beberapa waktu melalui cuaca yang panas, adalah sangat nikmat bila hujan turun.