Hadiah dari Han, Is & Az..
Semalam sempena harijadiku, aku dan en.asben keluar lunch berdua. Walaupun seronok makan berdua tetapi setiap kali menyuap makanan kepala kami tetap teringat anak-anak juga. Mulut kami tetap menyebut nama anak-anak juga. He..he.. keluar dating pun anak-anak tetap tak boleh lupa. Itulah hati dan perasaan seorang mama dan ayahkan. Anak-anak tetap paling utama di hatinya.
Dik tumpang lalu sikit.. Tegur seorang pemuda kepada en.asben. En.asben masih terleka berborak denganku. Aku pula tersentak sambil memandang muka en.asben. Selepas pemuda itu sekali lagi menegur barulah en.asben berganjak dari kedudukannya sambil mengucapkan kata maaf. I ingat dia cakap dengan orang lain. Jelas en.asben. Serius aku pun menyangkakan yang sama. Iyelah, pemuda itu nampak muda lagi. Aku rasa umurnya tak lebih dari 30 tahun. Dan bila dia memanggil dik untuk en.asben yang nak masuk 40 tahun tu tentu saja kami jadi macam eh.. dia cakap dengan kami ke??? En.asben awet muda kot. Tapi memang selalunya orang tak sangka en.asben sudah ada anak tiga. Mungkin kerana wajahnya tak makan tua.
Entah kenapa sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, aku pula terjangkit sama. Sedangkan waktu aku berumur 18 tahun, ramai orang menyangkakan yang aku sudah berumur 20 tahun lebih. Bayangkan, kita baru lepas SPM orang ingat kita dah kerja. Sedih betul jadinya. Matang sangat agaknya muka aku waktu itu. Jadinya aku tak merasalah nak rasa muda sangat di zaman muda dulu. Bagi teman-teman lama ramai yang mengatakan aku masih maintain macam dulu-dulu. Sedangkan selepas ada anak tiga berat badanku melonjak naik juga. Mungkin bertubuh sederhana sejak dulu membuatkan aku nampak biasa walaupun aku tidak pernah nampak kurus.
Sekarang ini bila umur sudah mencecah 35 tahun, ramai pula yang macam tak percaya. Sedangkan aku rasa wajah aku seiring dengan usia. Maksud aku, tidaklah nampak tua. Dan nampak muda pun tidak juga. Tapi bila aku mengenali orang baru pastinya mereka tidak menduga usiaku sudah sebegitu. Bila pergi berkursus memang selalunya aku antara golongan yang tua. Dan bila aku mengelarkan diriku akak soalan pertama yang mereka tanya ialah tentang umurku. Ini kerana mereka menyangkakan aku ini sebaya dengan mereka. Aduhai. Akak dah tua dan sudah ada anak tigalah dik..
Tipulah kalau aku kata aku tak suka dengan sangkaan mereka. Tapi bila umur makin bertambah, rasa bangga itu bukanlah sesuatu yang paling utama dalam hidup. Aku harap aku dapat jadi insan yang lebih cemerlang akhlaknya sejajar dengan usiaku yang semakin meningkat. Itu yang lebih penting. Kata-kata dan pujian aku jadikan pemangkin untuk aku terus bersyukur dengan anugerahnya. Pada aku kelihatan cantik, muda dan bergaya itu sesuatu yang subjektif dipandangan mata setiap orang. Dan ianya takkan kekal lama kalau kita tidak menjaganya. Apatah lagi andai kita tidak bersyukur dengan kurniaannya. Jadinya aku terima pujian yang diberi dengan rasa senang hati tanpa ada perasaan bangga diri. Syukur Alhamdulillah.
*Ucapan Selamat Hari Jadi dari teman-teman di FB membuatkan aku terpanggil untuk menulis entry ini. Usia hanyalah angka yang pastinya akan bertambah pada setiap tahun. Harap-harap iman dan amal dapat disempurnakan sebaiknya bersama umur yang terus meningkat. Kalau kelihatan cantik itu indah, berakhlak cantik itu pastinya lebih indah lagi.
PS : Terima kasih untuk ucapan selamat dari teman-teman blogger. Appreciate it so much.