Friday, August 29, 2014

Emak..

Assalamualaikum..

21 Ogos yang lalu merupakan hari ulang tahun kelahiran emak. Tahun ini sudah 63 tahun usia emak. Semoga emak terus mendapat keberkatan umur, kesihatan yang baik, kemurahan rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Emak sebak saat aku mengucapkan selamat ulang tahun kepadanya. Ini kerana tahun ini ucapan itu tidak lagi diterima dari anak keduanya. Awal tahun ini emak mendapat khabar gembira bila mendapat peluang untuk menerima panggilan untuk menunaikan fardhu haji. Alhamdulillah.. diusia begini, mendapat peluang untuk mencukupkan rukun islam yang lima itu pastinya amat disyukuri. InsyaALLAH, pada hari khamis minggu hadapan emak akan bertolak pergi. Semoga segalanya dipermudahkan buat emak. Semoga emak sentiasa diberikan kesihatan dan kudrat yang baik.  Semoga emak selamat pergi dan selamat pulang juga selamat dalam setiap perjalanan. Paling utama semoga emak memperolehi haji yang mabrur.. insyaALLAH.

Garang. Itulah emak. Tapi garang-garang emak, dialah juga kakak, ibu dan nenek yang menjaga kami sehabis baik. Ditakdirkan, sepanjang hidup emak, emak terpilih untuk menjaga anak-anak yatim. Waktu kecil, emak perlu menjaga adik-adiknya selepas arwah ayahnya meninggal dunia dan bila ibunya perlu berkerja. Waktu muda, emak perlu sendirian menjaga kami adik beradik yang menjadi anak yatim selepas arwah ayah meninggal dunia ketika kami masih kecil. Kini di usia tua, emak menjaga pula cucu-cucunya selepas arwah adikku dijemput Ilahi. Bukan mudah untuk menjaga anak-anak yatim. Kesabaran perlu tinggi. Mungkin sebab itu emak terpaksa  menjadi lebih garang dari orang lain untuk tujuan mendidik. Garang emak garang yang bertempat. Dalam garang, kasih sayangnya masih kuat. Dalam garang, keprihatinannya kepada kami sangat tinggi. Dalam garang doanya sentiasa ada buat kami. Dalam garang, kelembutannya masih ada. Walau terpamer dalam cara yang sedikit berbeza namun ianya masih cukup istimewa. Terima kasih emak. Walaupun emak garang, kami semua sangat-sangat sayangkan emak. Kami tahu emak juga sangat sayangkan kami.

Mengaji. Itulah juga emak. Aku ingat lagi sewaktu arwah ayah meninggal dunia, ayat pertama yang emak katakan kepadaku ialah, Ayah dah takde. itulah.. emak kan dah suruh mengaji Al-quran biar pandai. Boleh bacakan Al-quran untuk ayah.. Tentulah bagi emak, jika kami sudah pandai dan lancar membaca Al-quran pada waktu itu, dapatlah kami kirimkan ayat-ayat suci buat arwah ayah. Waktu zaman aku sekolah memang setiap malam jumaat emak akan mengajak kami adik beradik sedekahkan bacaan surah yaasin bersama-sama buat arwah ayah. Emak juga akan selalu mengingatkan kami untuk sedekahkan bacaan Al-fatihah untuk arwah ayah. Rutin itu berterusan pula kini kepada cucu-cucunya. Setiap hari emak akan ingatkan untuk sedekahkan bacaan Al-fatihah buat arwah mummy. Selepas solat maghrib, minta  mereka untuk sedekahkah bacaan surah yaasin juga kepada arwah mummy.

Emak memang tak berapa pandai bab agama. Tapi emak selalu bersungguh untuk mendalami ilmu agama. Emak bersungguh untuk memperbaiki diri. Emak juga mahu anak-anak dan cucu-cucunya menjadi orang yang lebih pandai agama. Sejak kecil emak sudah tekankan kepada kami betapa pentingnya Al-quran. Walau merangkak emak tetap selalu mahu mengaji setiap hari. Dulu emak tidak pandai mengaji. Belajar mengaji hanya sewaktu kecil. Bila sibuk menguruskan adik-adiknya, emak tidak sempat untuk mengaji. Malah, sekolah pun perlu berhenti setakat darjah 6. Namun kesungguhan emak untuk mengaji Al-quran terserlah bila emak tak segan menggunakan muqqadam kami untuk kembali belajar mengaji. Sehinggalah bacaannya jadi lancar kini. Begitu juga dengan belajar membaca jawi. Beria-ia emak meminta tunjuk ajar dari kami untuk mengajarnya membaca jawi dengan menggunakan buku-buku sekolah kami dulu. Kini emak sudah boleh membaca jawi dengan baik. 

Penekanan emak untuk kami adik beradik juga cucu-cucunya pula ialah supaya kami dapat berguru mengaji Al-quran agar bacaan kami betul dan lancar sebab emak sendiri tidak dapat mengajar kami dengan sendiri. Disebabkan itu, mencari guru mengaji untuk kami selalu menjadi keutamaan buat emak. Bila kami adik beradik dan cucu-cucunya khatam Al-quran, emak pastinya menjadi orang yang sangat gembira. Siap buat pulut kuning untuk meraikannya. Waktu zaman aku anak dara, sudah berkerja dan sedang bercinta dengan en.asben emak kembali memanggil guru mengaji untuk datang mengajar kami sekeluarga mengaji di rumah.  Punyalah emak mahu kami dapat terus mengaji Al-quran dengan baik. Gaji yang sedikit sanggup emak ketepikan sebahagiannya untuk kami sekeluarga dapat terus belajar mengaji dengan guru yang baik. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan kasih sayang yang besar buat semua guru-guru kita.. insyaALLAH.

Ini baru sebahagian kecil tentang emak. Banyak lagi keistimewaan dan kisah tentang emak. Aku mungkin mampu menulis kesemua cerita dan kisah tentang emak. Namun apa yang pasti, jasa dan pengorbanan emak tak akan mampu aku balas. Hanya ALLAH yang dapat membalas kesemuanya. Semoga aku mampu menjadi ibu sebaik emak. Tanpa suami di sisi, emak berjaya menjaga dan mendidik kami adik beradik dengan baik.  Walau tak berharta dan berduit, emak mengagahkan tulang empat keratnya untuk membesarkan kami dengan sempurna. Ya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayangMU sentiasa ada buat emak. Juga buat arwah ayah dan kedua ibu dan ayah mertuaku. Rezekikanlah mereka untuk menjadi penghuni syurgaMU. Sediakanlah tempat istimewa buat mereka di syurgaMU. Masukkanlah emak, arwah ayah dan kedua mertuaku ke dalam syurgaMU tanpa hisab. Amin.. amin ya rabbalalamin.

Emak.. I love you. Aku memang anak ayah. Dengan ayah, aku tak segan nak peluk dan cium pipi ayah. Tapi dengan emak aku rasa tak selesa nak buat begitu. Mungkin kerana emak garang. Kalau nak peluk dan cium pun cuma waktu-waktu yang besar seperti hari raya dan hari pernikahanku. Selain dari itu hanya tangannya yang aku dapat kucup. Dulu waktu tinggal sekali aku memang selalu ada keinginan untuk peluk dan cium pipi emak. Tapi aku malu. (Perkara yang jarang buat kan, tentulah rasa canggung). Setahun yang lepas bila arwah adikku sakit, emak tinggal bersamanya. Waktu itu barulah aku dapat mencium pipi emak setiap kali aku pergi melawat. Ya ALLAH.. setiap saat itu sangat aku syukuri. Betapa indahnya perasaan bila wajah itu dapat ku kucup tanpa rasa segan lagi. Peluang yang ada untuk aku dapat berbakti kepada emak akan aku gunakan sebaiknya kerana aku juga mahu menjadi penghuni syurga ALLAH.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!
 
Emak dan anak, menantu dan cucu-cucunya. Gambar keluarga takde. Hanya gambar ini yang complete semua.

6 comments:

Kakzakie Purvit said...

Terharu... begitulah mak Hanis berjuang utk merealisasikan sebuah keluarga yg baik dari keciknya sehingga kini.

Kiranya semalamlah mak bertolak ke sana ye Hanis. Moga mak diberi kesihatan terbaik utk menjalankan ibadah di tanah suci.. amin.

Eye_nee said...

Lihat La dia kan sis...Betapa seorg perempuan yg bersifat lembut seperti ibu kamu zahirnya kamu lihat dia seorg yg garang kan...mampu membesarkan kamu adik beradik ...mampu pula menjaga adik2nya satu waktu dahulu...
Kuat dan tabahnya dia...Alhamdulillah Allah jemput dia menjadi tetamuNYA tahun ini....semoga dipermudahkan segala urusannya disana nanti..

Acik Erna said...

assalamualaikum hanis..sama la ngan acik..arwah mak pun garang..sampai nak peluk cium dia pun tak berani..tapi selepas arwah ayah meninggal..acik dah tak segan..setiap kali balik mesti pelu cium..sebab acik pun serupa hanis..anak ayah.
semoga mak hanis selamat pergi dan balik dan mendapat haji yang mabrur

Angah said...

selamat ulangtahun untuk emak hais...semoga makcik sihat-sihat selalu

ummiross said...

Terharu sangat baca entry hanis ni, besarnya pengorbanan seorang 'emak' kan. Ummi pun masa muda2 dulu, malu nak peluk mak, macam Hanis juga, ada keinginan tapi tak berani,sekarang dah tua-tua ni tak malu lagi dah.
Semogaemak Hanis selamat pergi dan selamat kembali, semoga mendapat haji yang mabrur.

Unknown said...

teringat mak saya..mak saya pun tak pandai bab2 agama tapi dia sentiasa belajar..sampai sekarang tak jemu2 ajak kami semua sama2 belajar dengan dia..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...