Semakin usia meningkat, semakin banyak yang mahu diperbetulkan dalam kehidupan. Amalan yang kurang mahu diganda kuantitinya serta dipertingkatkan kualitinya. Hubungan dan juga bakti kepada emak, arwah ayah dan kedua mertua mahu ditambah baik. Didikan yang lebih sesuai dengan usia dan perkembangan anak-anak mahu diperbaiki. Hubungan sesama manusia tak kira kaum keluarga, saudara mara, rakan taulan dan jiran tentangga serta insan lain di sekeliling mahu dijaga dan dieratkan lagi. Paling penting, hati mahu dijaga dengan sebaik-baiknya. Tak mahu lagi ada selaput hitam dan kalau boleh mahu keseluruhannya putih melepak selepak lepaknya.
Soal wang ringgit dan harta, apa yang ada, adalah. Ada rezeki untuk jadi simpanan aku simpan. Harta yang boleh dikumpul untuk bekal anak-anak cuba juga aku kumpul sikit-sikit. Jika hati ada keinginan untuk menikmati perkara keperluan dan bukan keperluan, aku cuba penuhi impian itu agar tiada ralat di hati. Kiranya.. dalam usia begini, mana yang perlu aku beratkan tidak boleh lagi aku ambil ringan. Yang penting-penting tak boleh lagi aku tolak tepi. Selain dari itu, aku mahu menjalani kehidupan dengan cukup simple. Tak mahu terlalu stress untuk menghadapi perkara yang aku tahu boleh dan akan berlaku di luar kawalanku.
Tidak susah sebenarnya untuk mengatur kehidupan sendiri mengikut cara yang kita mahu. Tapi dalam pada mahu mengatur yang terbaik dalam kehidupan, aku akui yang soal mendidik hati adalah cukup payah untuk dilakukan. Dalam cuba bersangka baik, masih juga ada sangka buruk yang menempel di hati. Dalam cuba berbuat baik, adakalanya rasa tidak ikhlas masih mahu menghimpit hati. ALLAH.. Bagaimana aku bisa jadi yang terbaik jika syak wasangka dan tidak ikhlas masih melata dalam hati? Manusia tetap manusia. Aku juga manusia. Melihat orang lebih, hati mula mahu berkata-kata. Ya ALLAH.. tak seronoknya ada rasa yang begitu. Tapi acap kali, rasa itulah yang datang dulu dalam hati.
Kata orang, untuk jadi baik memanglah tak mudah. Jadi selain tekad yang teguh, usaha dan doa juga perlu bersungguh. Doaku, semoga aku tidak berasa iri dengan kelebihan orang lain hanya disebabkan kekuranganku. Semoga aku tidak memandang rendah kekurangan orang lain hanya kerana kelebihanku yang sedikit pinjaman dari ALLAH. Selain itu, aku cuba mendidik hati dengan cuba memikirkan perkara positif tentang orang lain. Perkara yang aku tahu berlaku kerana amalan orang lain yang lebih baik dariku. Hal itu cuba aku programkan dalam fikiranku.
Melihat orang lebih, aku detikkan dalam hati yang dia mendapat lebih kerana sedekahnya lebih ikhlas dariku. Melihat orang yang selalu direzekikan dengan kejayaan, aku detikkan dalam hati yang layanannya kepada orang tuanya sudah pastilah lebih baik dariku. Melihat orang yang berkulit cantik, aku bisikkan dalam diri yang dia menjaga auratnya lebih baik dariku. MasyaALLAH.. fikiran-fikiran positif itu sangat membantu aku untuk mendidik hati. Malah semakin membuatkan aku mahu lebih ikhlas dan bersungguh dalam memperbaiki diri yang masih terlalu banyak kurang dan khilafnya.
MasyaALLAH.. Indahnya perasaan bila hati tidak lagi memikirkan hal yang buruk-buruk tentang orang lain. Paling best bila kita fikir yang baik-baik tentang orang lain, perkara yang baik-baik juga akan berlaku kepada kita tanpa disangka. Pemikiran yang sebegitu dapat mengelakkan kita dari hasad dengki yang sangat tidak perlu dalam hati. Terima kasih ALLAH untuk rasa yang baik-baik ini. Syukur ALHAMDULILLAH. Jom terus positif jom. Semoga kita semua direzekikan untuk berbahagia di dunia dan di akhirat.. InsyaALLAH.
Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.
3 comments:
terima kasih kak...sebab entry ni sekaligus mendidik hati dan jiwa saya juga kak..
Itulah kebenarannya kan sis..betapa kita kuat mencuba utk menjadikan hati yg merah itu tidak hitam dek irihati atau memikirkan dan pransangkakan yg buruk terhadap org lain seringkali juga kita tewas.... kesedaran sebelum melaratnya perasaan itu yg paling penting...Istighfar dan kembali kita bersyukur kerana nikmat rezeki itu amat berbeza Allah berikan utk setiap insan kan...Bukan ukuran lebih atau kurang sesuatu rezeki itu menjadi pengukur kebahagiaan kehidupan kita kan...bagaimana kita kongsikan setiap rezeki yg kita dpat bersama insan yg kita sayangi itu yg lebih bermakna....
Tersentuh baca entri ni... positif dan cuba menjadi yg lebih baik...
Post a Comment