Thursday, November 12, 2015

Jam tangan Dunhill..

Assalamualaikum..

Sejak dulu aku memang pakai jam tangan kiri. Sejak dulu sejak bila he..he..? Aku tak ingat waktu kecil-kecil dulu aku pakai jam ke tidak. Yang aku ingat jam yang aku ada waktu berumur 10 tahun. Seingatku itulah  jam pertamaku. Lama juga aku pakai jam tu dan aku sayang sangat pada jam tu. Aku ingat lagi, betapa seronoknya rasa hati bila makcik aku suruh pilih jam untuk dibelikan. Waktu tu arwah ayah dah meninggal. Jadi memang jarang-jarang dapat keluar. Bila dapat keluar dan dapat tawaran untuk dibelikan jam tentulah aku berasa seronok sangat.

Sampai sekarang aku teringat lagi macam mana rambangnya mata aku untuk membuat pilihan. Beli pun bukanlah beli kat kedai jam. Tapi beli di gerai jam kat Petaling Street aje. Memang berlambak-lambaklah orang jual jam. Lagi rambanglah mata aku dibuatnya. Apa yang lebih menyukarkan aku untuk membuat pilihan ialah, aku tahu peluang seperti itu tak akan selalu dapat aku perolehi. Jadi aku perlu memilih jam yang aku betul-betul suka. Sebab aku tahu yang jam itu akan aku pakai lama. Walaupun jam itu cuma jam yang berharga sepuluh ringgit dan kualitinya tidaklah sebaik mana.

Seingatku memang lama benar dan susah sangat untuk aku buat pilihan. Dah ada yang berkenan di hati, tapi masih berharapkan untuk berjumpa dengan pilihan yang lebih baik. Jadi aku pun terus memilih dan memilih lagi. Kat Petaling Street  waktu tu, kau jalanlah ke sepuluh gerai jam pun. Jam yang dijual memang jam yang sama. Patern dan jenama yang sama akan dapat dijumpai di setiap gerai. Tapi untuk sedapkan hati bagi mendapatkan pilihan yang terbaik, aku tetap berjalan ke gerai-gerai yang lain juga sebelum dapat menetapkan pilihan dan membuat pembelian dengan ehsan makcikku. 

Akhirnya jam berjenama Dunhill menjadi pilihanku. Jam itu mukanya berwarna hitam. Separuh dari muka hitam itu berbintik merah seperti warna kotak dunhill. Nampak cantik sangat jam itu di mataku. Kenapa aku pilih jam yang bernama rokok sedangkan ada aje jam tiruan lain yang berjenama jam sebenar ialah kerana arwah ayah aku dulu hisap rokok dunhill. Jadi, kononnya jam itu akan mengingatkan aku pada arwah ayahku. Gitulah sebabnya mengapa jam tersebut menjadi pilihanku. Jam yang menjadi pilihanku sejak di gerai pertama tapi aku membelinya di gerai yang entah ke berapa. 

Berbeza betul dengan anak-anak aku sekarang yang nasib mereka lebih baik dariku. Kalau kata nak beli jam, ayahnya dah siap-siap tetapkan jenama jam untuk anak-anaknya. Pastinya ayah mahukan jam yang berkualiti untuk anaknya. Bila dah berkualiti, harganya dah tentu-tentu cecah ratus. Tapi untuk jam yang harganya beratus pun,  tak sampai lima minit memilih anak-anak dah dapat pilih jam yang berkenan di hati tanpa perlu fikirkan walau berapa pun harganya. Mungkin tak terfikir pun untuk pakai jam itu untuk tempoh yang lama. Usia mereka sama sepertiku waktu memiliki jam pertama. Bezanya, jam mereka berjenama dan harganya bukanlah sepuluh ringgit.

Nasib setiap orang tak sama, kan?  Peluang yang diterima mungkin sama, tapi dalam cara yang berbeza. Tak perlu bezakan nasib kita dengan nasib orang lain. Nasib orang mungkin menurut kita nampak lebih baik dari kita. Tapi nilainya hanya orang yang menerimanya saja yang tahu. Kita mungkin dapat sesuatu yang di mata orang lain hanyalah sesuatu yang biasa-biasa saja. Tapi buat kita yang menerimanya, ianya sebenarnya sesuatu yang cukup berharga. Begitulah halnya dengan jam tangan pertamaku. Ianya hanya jam murah yang tidak langsung punya jenama. Tapi ianya pernah menjadi jam kesayanganku dan pernah menjadi hal yang sangat berharga untukku.. Alhamdulillah..

Salam hormat untuk semua. Insya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi amanillah. 

4 comments:

Eye_nee said...

Jika nak bandingkan keberuntungan anak2 kita dan kita zaman kanak2 dulu mmg sgt berbeza kan sis....dibelikan jam yg berharga 10 ringgit itu bagaikan satu pemberian yg sgt istimewa...dijaga sebaik mungkin...akk ingat lg bila mak belikan jamtangan kali pertama waktu akk form 1...digital clock...pergi sekolah hari hujan..tak sedar jam basah...masuk class tgk jam dah rosak...timing dah lari...punya sedih menagis dlm class..sbb mak yg belikan dan itulah jam yg pertama ada...

Izwa Kamaruddin said...

ermm..bercakap psl jam adalah sgt mendukacitakan..huhuuu..sebab bln 6 harijadi syahmi belikan dia jam yg elok sikit harga beratus jugak tetapi dicuri budak lain semasa transit..yg tinggal jam rm10 tapi tu je yg bertahan lama.

Soleh Google ☁️ 👓 📙 said...

Menarik tulisan artikel ini.

Hanis Azla said...

As-Salam..

Alhamdulillah.. Terima kasih.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...