Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Beberapa hari ini, malam indah diterangi Full Moon. Tak pasti ada kaitan atau tidak, tapi buat pertama kalinya juga dalam hidup aku datang bulan sepanjang 30 hari penuh. Full moon jugalah maknanya, kan? Sudah ke klinik untuk pemeriksaan. Menurut doktor tiada apa yang luar biasa dari ujian dan pemeriksaannya. Faktor umur barangkali. Semoga tiada apa-apa yang tidak kena dengan kesihatanku.. in shaa ALLAH.
Datang bulan pada kadar biasa pun selalunya emosiku tunggang langgang. Inikan pula bila datang bulan sepanjang sepenuh bulan. Maka bergandalah emosi tunggang langgangnya he..he.. Aku pula sejenis manusia yang masalah orang pun aku boleh ikut emosi. Inikah pula masalah sendiri huhu..
Tiada siapa boleh lari dari ujian ALLAH. Tiada apa yang boleh berlaku tanpa izin dari ALLAH. Bila ALLAH kata jadi, maka jadilah. Siapa kita untuk menolaknya. Sekecil perkara boleh menjadi penyebab kepada sesuatu yang besar. Segala 'ter' bisa terjadi tanpa disedari. Jika ALLAH boleh bagi ujian, ALLAH juga boleh bagi hikmah dan petunjukNYA.
Badan bergetar sepanjang hari. Tangan mengigil tak henti. Hilang selera makan. Tak mampu untuk tidur. Untuk orang seperti aku yang kaki makan dan kaki tidur, semua itu petanda yang ujian untukku kali ini sangat hebat. Antara ujian besar paling sakit dan perit untuk aku kali ini.
Benarlah setiap yang berlaku ada hikmahNYA. Janji ALLAH, setiap kesukaran disertai dengan kemudahan! Ujian yang besar disertai dengan hikmah yang cukup besar juga. Pilihan di tangan sendiri. Mahu bangkit dan perbetulkan segalanya atau terus jatuh mengenang nasib tanpa berusaha untuk memperbaikinya.
Aku pilih untuk bangkit. Aku bukan orang yang kuat. Tapi kali ini aku pilih untuk tidak mengalah. Aku perlu kuat. Tapi untuk menjadi kuat tidaklah semudah yang dikata. Pagi memasang tekad untuk kuat. Petangnya sudah cenderung untuk mengalah. Malamnya sudah bertekad untuk melupakan. Siangnya apa yang ingin dilupakan berulang-ulang dalam ingatan.
Payahnya untuk bangkit. Payahnya untuk move on. Tapi demi kelangsungan hidup, sesuatu harus dilakukan. Langkah pertama aku ambil. Tiada siapa yang dapat membantuku selain dari ALLAH. Dalam sujud, aku mohon keampunannya. Aku bertaubat kepada ALLAH atas setiap dosaku. Aku perlu perbaiki diri sebelum membetulkan perkara yang lain.
Terus bersedih takkan boleh merubah segalanya. Apa guna mengharapkan simpati kalau simpati itu sendiri tak memberikan kebaikan apa-apa kepada diri kita sendiri. Sebelum kasihankan orang lain, kita perlu kasihankan diri sendiri terlebih dahulu. Untuk bangkit aku perlukan kata-kata perangsang yang boleh buat aku jadi kuat. Banyak tips-tips berguna yang aku jumpa. Lagi tajam ayat nasihatnya, lagi kuat hati untuk menerima di akhirnya.
Jangan cuba buat kerja orang lain. Jangan cuba untuk buat kerja ALLAH! Apa yang perlu ialah buat kerjaku sendiri. Itu tips yang aku temui. Cari salah sendiri dan perbaiki. Tak perlu cari salah orang lain dan cuba untuk perbetulkan. Sebab kita tak mampu mengubah orang lain. Kita tak mampu ubah takdir ALLAH. Tapi kita boleh mengubah diri kita sendiri.
Dalam mencari tips untuk kuat dan tenang, aku jumpa ayat ALLAH yang cukup indah. Surah Al-Inshirah (Surah Alam Nashrah..) Tapi sebelum itu hati yang tak kuat tetap mahu mempertikainya. Mampukah ayat itu memberikan aku kekuatan dan ketenangan? Syukur dalam mempertikai aku juga menemui jawapan. Jika ayat ini mampu memberi kekuatan dan ketenangan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai masalah umat yang cukup besar. Takkanlah ayat itu tak mampu membantuku dengan masalah yang tidak sebesar mana untuk dibandingkan dengan masalah Rasulullah s.a.w.
Aku meyakini yang ayat ini akan dapat membantuku. Sejak pagi aku membacanya berulang-ulang. Menjelang petang, aku mula dapat ketenangan dan kekuatan. Masya ALLAH.. Agongnya ayat ALLAH. Waktu ini, aku sendiri tak pasti samada masalahku sudah selesai atau belum. Tapi apa yang pasti, aku sudah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapinya. Semoga segalanya dipermudahkan untukku.. in shaa ALLAH.
Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.
2 comments:
Semoga dipermudahkan kak FI.. Semoga kak Fi diberii kekuatan dan ketenangan... aaminnn
Aamiin.. in shaa ALLAH. Thanks Lulu <3
Post a Comment