Nuffnang

Monday, April 29, 2019

Ujian dan solusi..

Assalamulaikum..

Bismillahirahmanirrahim.
Alif Lam Mim. Adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, "Kami beriman," sedang mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya KAMI menguji orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang yang benar. Sesungguhnya DIA mengetahui orang yang dusta. (Surah Al-Ankabut : 1 - 3)

Dalam hidup, ujian itu rencahnya. Tiada siapa yang boleh lari dari ujian. Ujian yang datangnya dari ALLAH khusus untuk setiap hambaNYA. Setiap orang diuji dengan ujian yang hanya ALLAH yang tahu kemampuan hambaNYA untuk menerima ujian tersebut. Walau rasa tak tertanggung, ALLAH juga yang memberikan kekuatanNYA. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah hakikatnya.  Sebesar mana ujian yang ditanggung oleh orang lain, bagi kita ujian kita lebih hebat. Ini kerana  kekuatan dan penerimaan setiap orang tak sama. Berat ujian orang yang dirasa dengan pandangan pastilah tidak seberat ujian yang kita sendiri perlu galas. Semoga kita semua akan selalu kuat dengan setiap ujian yang datang kerana selama bergelar manusia selagi itulah ujian itu tetap akan ada.

Ada terbaca, masalah takkan selesai selagi kita tidak menghadapinya. Jadi, mahu tak mahu, besar atau kecil sesuatu masalah itu, perlu juga dihadapi.  Itulah langkah pertama untuk menyelesaikan masalah. Sebelum itu, berdoalah agar kuat untuk kuat, agar kuat untuk sabar dan agar kuat untuk tenang. Semoga ALLAH permudahkan segalanya untuk kita.. in shaa ALLAH. Pernah terbaca juga, "Jangan menangis, kerana ianya berlaku, tapi tersenyumlah, kerana ianya sudah berlaku." Tak kira baik atau buruk perkara yang terjadi dalam hidup kita, bersyukur itu sangat perlu. Gantikan keluh kesah dengan rasa bersyukur. Gantikan rasa marah kepada usaha untuk memaafkan. Tukarkan  rasa benci dengan cuba mendoakan. Tukarkan rasa tak boleh move on dengan usaha untuk melupakan. Alihkan rasa kesal dengan memikirkan apa yang telah ALLAH aturkan adalah yang terbaik untuk kita. Sejujurnya, semua itu sangat tak mudah. Bukan perkara yang senang untuk dilaksanakan. Tapi tiada apa yang mustahil kalau kita mahu. Kan? Janji ALLAH, setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan. 

Teringat waktu menunaikan umrah dulu. Ada seorang makcik ni sangat positif memandang kepada ujian. Jika orang lain ditimpa ujian, soalan yang selalu diterima selalunya, ujian itu untuk dosa apalah agaknya? Tapi makcik itu memandang ujian dengan cakap-cakap yang baik-baik. Katanya, beruntungnya awak. Dalam ramai-ramai orang yang ada, awak diberikan ujian itu. ALLAH kenal awak. Subhanallah.. Bagusnya kalau kita boleh sentiasa positif ketika menerima ujian. Bagusnya bila kita boleh menyenangkan hati orang yang tertimpa ujian dengan kata-kata yang baik dan  menenangkan. Bagusnya bila kita boleh merasa beruntung bila diri tertimpa dengan ujian. Ya ALLAH, lapangkanlah dada kami untuk reda menerima ujian yang KAU berikan untuk kami.. Aamiin.

Kita semua tahu yang ujian itu penghapus dosa. Kita juga tahu yang setiap ujian itu punya hikmahnya. Apa yang ALLAH berikan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita. Hikmah yang sangat manis sedang menunggu kita selepas setiap ujian itu berjaya kita hadapi dengan hati yang reda. Tapi kita hambaNYA yang lemah ini, selalunya terlalu lelah untuk menerima semua itu. ALLAHU, tak kuatnya hati. Lemahnya iman. ASTAGHFIRULLAHALADZIM. Masalah akan terus jadi masalah selagi kita enggan melepaskan. Lagi kuat hati kita untuk tidak melepaskan, akan semakin berat masalah yang kita tanggung itu. Kita akan terus bertahan agar segalanya berlangsung seperti apa yang kita mahukan. Kita akan terus bertahan agar apa yang diidamkan jatuh ke ribaan kita. Sedangkan kita sendiri tiada  pengetahuan sama ada apa yang kita mahu dan tidak mahu itu adalah benar terbaik untuk kita.. ALLAHU.

Dalam hidup ini, kita akan bertemu dengan 2 orang. Yang pertama, orang yang akan membuatkan kita bersyukur. Yang kedua, orang yang akan membuatkan kita bersabar. Tidak perlu menjauhi atau terlalu menyayangi kerana pada akhirnya keduanya hanya ujian dan amanah sementara dariNYA. (Aku jumpa ayat ni di Google). Aku tak sukakan permusuhan. Tak suka nak gaduh-gaduh. Tak suka nak serabutkan hati untuk membenci dan berdendam. Walaupun kepada orang yang melukakan hati. Tidak kepada orang yang mengkhianati. Bukan juga untuk orang yang sanggup menipu untuk kepentingan dirinya sendiri. Walaupun aku bukan orang yang sangat baik, tapi aku tahu aku bukan orang yang sebegitu. Jadi dalam kebanyakan masa, aku terpaksa pilih untuk mengalah dan memaafkan. Tak mengapalah, mengalah bukan bererti kalah. Fa Sabruun Jameel. Sabar itu indah. Walaupun ianya sangat sukar, tapi itulah yang perlu dilakukan samada mahu ataupun tak mahu. Ianya bukan pilihan. Ianya satu keperluan. Semoga Allah permudahkan.. Aamiin.

Hidup jadi sangat tak tenteram bila ada rasa benci dalam hati. Perasaan jadi tak tenang. Semua itu sangat menganggu emosi. Susahnya untuk melupakan walaupun hati sudah memaafkan. Emosi merudum setiap kali terkenang. Untuk menyerang walaupun dengan kata-kata bagi meredakan rasa sakit hati, aku tak sanggup meletakkan maruah diri serendah itu. Nak mengeji dalam hati pun rasa tak tergamak. Semoga aku dan kita semua sentiasa terhindar dari perbuatan keji. Yang boleh dilakukan hanya mendoakan segala yang baik-baik kerana bila hati terdetik untuk mendoakan yang buruk-buruk  untuk orang lain, hati sendiri tidak mahu berkompromi untuk melakukannya. Astaghfirullahaladzim.. Aku tak sampai hati. Tak mahu juga menambah dosa sendiri dengan perkara yang tidak membawa kebaikan. Sekadar melepas geram, kemudian apa? Kepuasan? Puas ke bila dapat melepaskan marah dengan ingatan buruk kerana berperangai buruk? Orang lain nak berperangai buruk, biarkan. Itu pilihan mereka. Kita ambil pengajaran dan cuba perbaiki diri  kita yang tak sempurna dengan lebih baik lagi. 

Walaupun susah, tapi aku pilih untuk melepaskan. Dengan izin ALLAH, aku memperolehi sesuatu yang jauh lebih baik dari sebelumnya saat aku melepaskan. Semoga kesakitan yang aku rasa sekarang akan perlahan-lahan hilang dan terus pergi dari hati. Yang lepas tu, lepaslah. Aduhai.. kalaulah semudah itu. Traumanya tak tahu berapa lama baru boleh hilang. Hati yang terluka tak tahu berapa lama boleh sembuh. Tak mengapalah. ALLAH ada! Sebesar mana ujianku, aku ada ALLAH yang lebih besar. Alhamdulillah.. saat diri tertimpa ujian, walau diri rasa tak kuat dalam menangani emosi, ALLAH masih izinkan tubuhku kuat. Terima kasih ALLAH untuk segala kekuatan yang dipinjamkan. Dalam waktu-waktu begini, rasa  cukup bersyukur kerana ALLAH terus pinjamkan en.asben  untuk berada di sisi. Hati jadi lebih kuat dengan kasih sayangnya. Jiwa yang lemah jadi kental bila diri dilayan penuh cinta, penuh manja, penuh mesra. Luka yang pedih jadi terubat dengan layanan prihatin darinya. Mungkin, inilah hikmahnya. Kita perlu melalui sesuatu untuk memperolehi sesuatu yang lebih indah. Thank you ALLAH. Terima kasih sayang. Ana Uhibbuki Fillah. Aku mencintaimu kerana ALLAH. 

Bismillahirahmanirrahim. Fa Sabruun Jameel. 
Hasbunallah Wanikmal Wakeel.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

No comments: