Malam tadi aku keluar bersama anak-anak ke Uniform Galery untuk membeli uniform pengakap Is. Aku perasan ada kereta besar di sebelah. Sewaktu mahu keluar dari parking aku berpandangan dengan pemilik kereta di sebelah. Kami berbalas senyuman. Orangnya muda dan cantik. Berpenampilan cukup molek dengan badan yang menarik. Dengan kereta besar tentunya dia orang yang berduit. Di dalam kedai aku terpandangkannya lagi. Kebetulan pula kami memasuki kedai yang sama. Sama-sama mahu membeli uniform. Tudung Ariani yang dipakai membuatkan aku dapat mengecamnya. Penuh padat orang di dalam kedai itu malam tadi. Semuanya mencari pakaian unit beruniform kerana hari rabu adalah hari yang diwajibkan untuk pelajar memakai pakaian persatuan dan unit beruniform di sekolah.
Waktu leka beratur untuk membuat bayaran dan sibuk-sibuk melayan Is dan Az kami saling terlanggar pula. Pada ketika itu dia mahu keluar dari kedai. Kata maafku dijawab dengan baik. Kami berbalas senyuman lagi. Entah mengapa sampai hari ni aku teringatkannya. Aku terfikir sendiri, mengapa agaknya ya? Sebab dia cantik? Aku rasa tidak juga kerana bukan aku tak pernah tengok orang cantik. Sebab dia kaya? Tidak juga, kerana bukan tak pernah tengok orang berkereta besar. Tapi aku teringatkannya kerana senyuman manisnya. Kerana budi bahasanya. Itu yang membuatkan dia istimewa di mataku. Orang kaya dan cantik, itu biasa bagiku. Tapi orang cantik dan cantik senyumannya juga orang kaya yang kaya berbudi bahasa itu yang menjadikan ianya luar biasa. Bukan tak pernah jumpa. Cuma jarang nak jumpa.
Aku suka tengok orang yang ada beg atau kasut berjenama. Aku suka lihat orang yang ada kereta menjalar atau rumah besar. Bila tak mampu nak ada, tumpang tengok pun dah suka. Tapi kalau orang itu pemurah dengan senyuman dan berbudi bahasa, itu memang aku lebih suka untuk perhati. Ini kerana perkara itu mampu aku adakan. Boleh aku ikuti. Aku suka dan seronok untuk menjadi sepertinya yang boleh menyenangkan hati orang lain. Berhadapan dengan ramai orang membuatkan aku dapat lihat banyak perkara dengan sikap orang. Memang bagus kalau menghormati orang kerana orang itu siapa. Tapi lebih bagus lagi kalau menghormati orang walaupun orang itu bukan siapa-siapa. Orang yang bukan siapa-siapa sepertiku ini tentunya sangat berbesar hati jika menerimanya.