Assalamualaikum...
Aduhai.. apa dah jadi dengan aku ni? seminggu satu entry. Bukannya takde cerita nak bercerita. Ada banyak yang ingin aku ceritakan. Cumanya, aku tak punya cukup masa untuk mencoretkannya di sini. Konkononnya sibuk bebenar.
Sebenarnya sekarang, aku sedang gigih.. ya GIGIH untuk menyiapkan manuskrip kedua yang tak siap-siap lagi tu. (Siap bold dan caps lock lagi untuk tunjukkan kesungguhan he..he..). Sampaikan pergi beraya pun lappy sentiasa ada dalam beg. Nak berjalan raya pun aku sempat lagi menaip dalam kereta. Dari bulan mei kata nak siapkan. Sampaikan dah bulan september, tak siap-siap juga lagi he..he.. Semangat memang tak pernah padam. Bab idea, Alhamdulillah.. masih sentiasa ada walaupun kejap terang, kejap kabur. Cuma mood dan kerajinan yang selalu tak konsisten. Itulah punca sebenarnya. Tapi.. dengan penuh keazaman, aku bertekad untuk siapkan juga dalam bulan ni. Paling lewat bulan depan (eh..eh.. nak drag lagi tu he..he..).
Sebenarnya, bukanlah banyak lagi nak dihabiskan. Cuma dalam 30 ~ 40 muka surat saja lagi. Semoga segalanya dipermudahkan. Tolong doa-doakan ya. Terharu sangat bila tengok dalam carian di stats blogku. Ada juga carian mengenai novel terbaru Hanis Azla. Tunggu ya. InsyaAllah, akan disiapkan secepat dan sebaik mungkin. Tapi.. samaada akan dapat diterbitkan atau tidak tu tak tahulah lagi. Terpulang pada rezeki. Harap-harap ada rezeki lagi bersama Buku Prima, Karangkraf.
Oh ya.. hari ni aku teringin nak kongsikan sedikit penulisan dari sebahagian bab 24 manuskripku. Bagi peminat novel, bolehlah baca-baca sikit-sikit. Boleh tinggalkan komen juga. Dapat juga aku perbaiki mana yang kurang nanti. Terima kasih..
Mel juga berwajah sayu saat untuk melepaskan aku pergi. Tidak sudah dia mengingatkan agar aku menjaga diri. Keprihatinannya sangat aku hargai. Pastinya aku akan teringatkannya nanti. Tidak sangka, dalam beberapa hari saja, kami sudah jadi begitu rapat dan serasi. Terlalu banyak budinya untukku sewaktu berada beberapa hari di sini. Sehinggakan percutiannya dipenuhi dengan agenda melayani dan menemaniku saja. Semakin hampir waktu untuk berpisah, semakin Mel mengelak dari memandangku. Aku mula dapat mengesan perubahan itu.
“Mel sedih ya sebab Zaira nak balik?” Tegurku.
“Takkanlah tidak. Tapi, mana Zaira tahu?” Balasnya.
“Iyalah, Mel asyik taknak pandang Zaira aje. Selalu tu sikit-sikit pandang. Asyik-asyik jeling.” Ujarku meluahkan apa yang aku rasa sambil tersenyum tawar. Sengaja aku mengulang tentang hal ‘pandang’ dan ‘jeling’ itu untuk mengusiknya.
Mel tersenyum kecil mendengarnya. Tanpa menafikan kata-kataku Mel menunduk saja.
“Tengoklah tu, taknak pandang Zaira lagi. Pandanglah sini.” Bidasku sambil memaksanya memandangku.
Bila bersamanya, aku rasa sangat selesa untuk menjadi diriku yang sebenar. Mel mengeleng sambil memandang ke arah lain.
“Kenapa?” Soalku.
“Taknaklah.” Balasnya masih tidak mahu memandangku sambil mengeleng.
“Kenapa?” Aku terus memaksa dia memberitahu sebabnya.
“Abang takut abang akan lebih jatuh cinta kalau abang terus pandang wajah Zaira.” Balasnya perlahan.
Terdiam aku mendengarnya. Jatuh cinta denganku? Sedikit berubah wajahku menerimanya. Reaksiku yang terdiam membuatkan Mel kembali memandangku.
“Gelabahlah tu.” Usiknya pula.
Usikkannya langsung tidak mendapat perhatianku.
“Takdelah.” Pujuknya untuk melunakkan hatiku sambil tergelak kecil.
Tentulah gelak itu sebagai tanda dia benar-benar bergurau dengan kata-katanya sebelum ini. Aku lega. Janganlah di saat akhir ini ada perkara yang bisa merosakkan persahabatan kami. Aku tidak mahu itu terjadi.
“Abang takut abang nangis nanti kalau asyik pandang Zaira sebab sedih nak lepaskan Zaira balik.” Katanya memberitahu hal sebenar sambil memandangku tenang dengan senyuman manisnya.
Aku tersenyum padanya sambil mengucapkan terima kasih dan rasa berbesar hatiku kerana ditemani olehnya dalam kebanyakkan masa aku di sini.
“Bila-bila Mel datang KL nanti, Zaira belanja Mel ya.” Janjiku sebagai tanda berterima kasih kepadanya. Mel sekadar tersenyum tawar mendengar janjiku. Reaksinya bagaikan semua itu adalah sangat tidak perlu.
InsyaAllah akan bersambung lagi di dalam novel kalau ada rezeki..
Salam hormat untuk semua. Take care.