Pagi tadi kami sekeluarga menghantar dan menemani sepupuku ke temuduga untuk pengajian TESL di UITM Shah Alam. Memang sekarang ini musim temuduga untuk kemasukan ke universiti kan. Sepupuku ini dari Taiping. Ibunya sudah meninggal dunia. Ayahnya pula tidak dapat menghantarnya. Jadinya sebagai sepupu yang tua, menjadi tanggungjawab akulah untuk menemaninya. Tambahan pula kami tinggal di sekitar kawasan itu. Jadinya tidaklah berat sangat untuk kami menguruskannya.
Tiga empat orang juga yang bertanya kami menemani siapa. Iyelah, rasanya kami antara yang muda menemani bakal pelajar di situ. Jadinya tentulah nampak pelik kalau nak kata kami menemani anak sendiri. Bila aku katakan yang aku menemani sepupu, mereka bagaikan tidak percaya. Ibu bapanya mana? Soal mereka.
Rasanya kalau aku katakan aku menemani adik sendiri, tentunya tiada yang pelik. Tapi bila kata sepupu macam jauh benar hubungannya. Tahun lepas bila aku dan en.asben menemani sepupuku untuk majlis konvokesyennya di Bandung, memang ramai juga ibu bapa lain yang tertanya-tanya. Kenapa kami yang menemaninya? Macam tak sesuai pula untuk menemani sepupu. Mungkin pada mereka, kalau menemani adik beradik sendiri takpe juga.
Sebenarnya, hubungan aku dan adik beradikku dengan sesetengah sepupu memang rapat. Kami bagaikan adik beradik sendiri. Jadinya kalau ibu bapa mereka tidak dapat menemani untuk majlis tertentu, memang kami adik beradiklah yang akan mengambil tanggungjawab itu. Mungkin kerana kami hanya bertiga. Jadinya bila boleh rapat dengan sepupu, terasa bagai kami mempunyai ramai adik beradik. Sepupu yang rapat itu pun ada yang dari sebelah ayah dan ada juga yang dari sebelah emak.
Mungkin pada orang lain, sepupu tidak seperti adik beradik sendiri. Tapi pada kami pula, sepupu itu dah macam adik beradik kami juga. Mungkin kami sudah terikut dengan cara emak dan ayah kami. Emak dan ayah kami memang jenis yang rapat dengan sepupu. Memang kalau tak tahu, orang akan ingat sepupu emak dan ayah aku itu adik beradik mereka sendiri. Sebab kemesraan dan hubungan yang terjalin memang nampak rapat. Bila dah rapat tentulah hubungan menjadi semakin erat. Bila dah erat, yang jauh pun jadi dekat.