Showing posts with label berbudi bahasa. Show all posts
Showing posts with label berbudi bahasa. Show all posts

Monday, June 20, 2011

Cantik bergaya tapi..

Semalam di rumah mertua, mak mertuaku bercerita tentang seseorang yang sombong. Menurut mak mertuaku, ketika mengundur kereta di sebuah pasaraya tempoh hari, tak terperasan pula ada kereta lain di belakang yang mengundur sama. Sedar-sedar sudah bertembung belakang kereta kedua-duanya.  Jadinya mak mertuaku pun cepat-cepat keluar dari kereta. Awak tak dengar ke saya dah hon? Tak semena-mena mak mertuaku dijerkah oleh seorang perempuan muda bertudung yang cantik wajahnya. Dengan menggunakan bahasa awak-awak pula tu. Langsung tak hormat dengan menggunakan panggilan sepatutnya dengan orang yang lebih tua.

Kalaulah mak mertuaku dengar bunyi hon itu, takkanlah mak mertuaku mahu terus mengundur. Dan dia pula bila dah menyedari keadaan itu kenapa tidak cepat-cepat mengelak saja. Tidak mahu memanjangkan cerita mak mertuaku segera meminta maaf. Tapi perempuan muda yang cantik itu terus mengomel sedangkan bukan remuk pun keretanya. Hanya secalit garisan yang tidak begitu kelihatan. Tapi bila perempuan itu terus buat bising mak mertuaku pun menawarkan untuk membayar ganti rugi. Tapi penawaran itu terus di tolak. Sambil itu sibuk mulutnya mengatakan dia ada banyak urusan lain selain mahu pergi membaiki kereta yang tercalar sedikit itu.

Kalau sudah begitu apa lagilah yang mak mertuaku boleh buat kan. Dia terus mengomel tak puas hati dengan mengatakan mak mertuaku sengaja melanggar belakang keretanya. Mak mertuaku terus beristighfar berkali-kali dengan tuduhannya. Melihat keadaan itu boleh pula dia menjerkah mak mertuaku lagi. Hah.. beristighfarlah banyak-banyak? Boleh pula dia berkata begitu. Bukankan itu yang sepatutnya dikeluarkan dan lebih baik diucapkan dari mulut seseorang daripada mengeluarkan maki seranah. Aku yang dengar pun jadi sakit hati.

Aku pasti perempuan itu mestinya cukup cantik. Jika tidak takkanlah mak mertuaku tetap memujinya walaupun perempuan itu sudah membuat perangai yang tidak molek. Memang ramai orang-orang yang sebegitu disekeliling kita. Berwajah cantik tapi begitu buruk dalam berbudi bahasa. Berpangkat tinggi dan berpelajaran tinggi, tapi mempunyai budi bahasa yang rendah nilainya. Harap-harap kita semua terhindar dari mempunyai perangai buruk seperti itu. Biarlah wajah kita tidak secantik mana. Asalkan kita berbudi bahasa, tentunya kita nampak lebih cantik dari orang yang cantik bergaya tapi tidak pandai berbudi bahasa. 

Dunia ini kan bulat. Pusing-pusing mana tahu suatu hari nanti bertemu juga. Bayangkan jika suatu hari nanti bertembung semula. Manalah nak letak muka kalau sudah mempamer akhlak yang sebegitu rupa di saat pertama kali bersua. Kalau aku, tentunya terasa malu tak terhingga..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...