Hari sabtu dan ahad lepas emak bermalam di rumah adikku. Ini kerana suaminya tiada di rumah kerana ada urusan di Terengganu. Jadinya tentulah dia mahu emak menemaninya dan anak-anak. Semasa emakku di sana, adikku ada beli durian. Kata emak sedap benar duriannya. Iyelah kalau 3 biji harganya hampir 50 ringgit tentulah sedap.
Semalam semasa emak menemaniku untuk mengambil Han balik dari tuisyen, sibuk benar emak mengajak aku berhenti di gerai durian. Aku tanyalah siapa yang hendak makan sebab baru lagi emak makan durian. Biasalah orang tua, penyakit pun ada. Jadinya kalau perlu, aku memang mengawal sikit permakanan emak. Kalau emak teringin tu memang aku layankan juga. Emak kata dia pun tak mahu makan lagi.
Tapi beria juga emak mengajak aku singgah. Saja nak beli untuk kami katanya. Jadinya aku pun berhenti di satu gerai durian berhampiran kelas tuisyen Han. Waktu dah tengah malam, durian yang tinggal tentulah yang mahal-mahal saja. Aku cakap dengan emak, kalau mahal macam tu tak payahlah. Sebab kami tak rasa nak makan durian pun. Kalau kami nak makan dan kalau emak nak makan lagi nanti kami boleh belikan sendiri.
Emak pun kata okey. Dalam perjalanan menuju ke rumah, emak minta aku berhenti di satu gerai durian lagi untuk bertanya harganya. Aku ikutkan saja. Gerai yang ini harganya tidaklah semahal gerai yang pertama. Jadinya memang emak nak beli jugalah. Sebab emak nak belanja makanya aku kata beli sebiji pun cukuplah. Tak mahulah menyusahkan emak. Lagipun emak dah kata emak tak mahu makan. Sebiji tu dah cukuplah untuk kami. Lagipun anakku Is memang tak makan durian. Han pun kata dia taknak banyak. Cuma nak makan seulas saja.
Balik rumah sibuk emak suruh aku panggil en.asben dan anak-anak makan. Memang sedap duriannya. Walaupun cuma 7 ulas isinya tapi memang puas kami makan sebab isinya tebal dan rasanya sangat sedap. Lemak, manis, pahit saling bersatu. Nampak puas wajah emak. Katanya masa makan durian yang sedap kat rumah adik emak teringatkan kami. Itu yang emak nak belikan sangat untuk kami. Biar kami dapat makan durian yang sedap juga.
Itulah hati seorang emakkan. Anak-anak sentiasa ada dalam ingatan. Makan yang sedap sikit pun masih teringat anak-anak. Sedangkan bukannya kami tak mampu nak beli sendiri. Tapi tetap juga emak nak belikan untuk menjamu kami. Terima kasih emak. Sayang emak sangat-sangat.