Hujung minggu sudah, hari sabtu dan ahad kami ada jemputan majlis perkahwinan. Alhamdulillah, dua hari berturut-turut dapat makan nasi minyak. Tahniah untuk pasangan pengantin. Semoga kehidupan baru mereka ini sentiasa diberkati Allah. Hari sabtu itu kami memenuhi undangan perkahwinan adik jiran sebelah rumah di rumah keluarganya di Ampang. Hampir 1.30 th juga kami keluar dari rumah kerana menunggu Han yang ada Kem di sekolah sehingga tengah hari. Selepas melalui kesesakan sejak melepasi tol Sg. Besi akhirnya hampir pukul 3 ptg kami tiba di rumah pengantin.
Waktu itu tetamu masih ramai memenuhi khemah. Barisan untuk mengambil makanan juga masih tetap panjang lagi. Seketika kami menunggu untuk tempat kosong sebelum mengambil makanan. Sebab kami ramai makanya terpisahlah tempat duduk antara aku dan en.asben dan sebahagian dari anak-anak kami. Takpelah. Kami bukannya pengantin untuk makan semeja untuk majlis makan beradap pun. Jadinya semua itu kiranya no hal. Sejak sampai sehinggalah mendapat tempat duduk keadaan di dalam khemah agak binggit dek satu kumpulan yang duduk semeja betul-betul bersebelahan dengan mejaku. Gelak bukan main kuat. Berborak pula bagaikan mereka mahu seisi majlis itu mendengar cerita mereka. Aku, mak dan anak-anakku yang duduk semeja hanya berpandangan sesama sendiri melihat aksi mereka. Menoleh ke sebelah, tetamu lain yang duduk semeja juga bereaksi yang sama. Sempat juga aku mendengar dia menasihati anak-anaknya agar tidak berkelakuan sedemikian di majlis orang. Setelah seketika keadaan tetap juga sama. Orang yang sudah mengambil makanan masih ramai yang tidak lagi mendapat tempat duduk.
Terpanggil untuk menegur, tetamu yang duduk semeja itu mengamit keluarga tuan rumah. Mintalah mereka bangun dan beri tempat pada orang lain. Dah lama benar mereka tak bangun-bangun. Sudahlah keadaannya bising. Kasihan pada orang lain. Tapi mungkin kerana menghormati tetamu makanya pihak keluarga tuan rumah menunjukkan kengganan untuk berbuat begitu. Segan mungkin kerana bimbang tetamu yang merupakan teman-teman pengantin itu terasa hati pula. Selepas tetamu yang duduk di meja yang sama bangun en.asben mengambil tempat di sebelahku. Pada waktu itu meja di sebelah masih lagi dengan keriuhannya. Kali ini aku dan en.asben pula saling berpandangan. Sempat juga aku menceritakan tentang teguran tetamu yang duduk semejaku tadi., En.asben memaklumkan yang pakcik-pakcik yang duduk semeja dengannya pun ada yang mengeluh dengan tingkah mereka yang tidak menghormati majlis orang.
Kadang-kadang pelik juga dengan tingkah sesetengah orang kita ni kan. Hendak menegur kita segan takut menjatuhkan air muka mereka. Tapi mereka sendiri tidak segan untuk menjatuhkan air muka sendiri. Langsung tidak ambil kisah untuk menjaga perlakuan untuk menjaga tingkah di majlis orang. Kalau tidak menghormati tuan rumah pun, hormatilah tetamu yang lain. Kalau budak kecik bolehlah kita jentik dan jegilkan mata. Kalau dah dewasa ni patutnya sendiri mahu ingatlah kan. Tak ditegur semakin menjadi-jadi. Kalau ditegur nanti pandai pula nak terasa hati. Silap-silap kita pula yang di kata tiada budi pekerti.