Assalamualaikum...
Semalam dan kelmarin aku mengikuti Kursus Keselamatan Kebakaran yang dikendalikan oleh Pihak Bomba dan Penyelamat Selangor di pejabat. Alhamdulillah, ianya satu kursus yang cukup baik. Banyak ilmu dan pengetahuan yang aku perolehi dari kursus itu. Banyak perkara yang sebelum ini diambil sambil lewa perlu diperbaiki agar keselamatan ketika di tempat kerja mahupun dirumah sentiasa terjaga sebaiknya.
Sebelum ini aku tidak pernah tahu yang rupanya, hanya lebih kurang 2 minit saja yang diperlukan untuk kebakaran yang kecil boleh bertukar kepada kebakaran besar dengan suhu yang boleh mencapai sehingga ke 500 dan 600 darjah celsius. Subhanallah. Ianya sangat menakutkan. Rupanya haba panas juga boleh mencetuskan api yang menyebabkan kebakaran boleh merebak dengan begitu cepat.
Pengetahuan untuk menyelamatkan diri dengan cepat juga sangat membantu. Kami diajar bagaimana untuk menyelamatkan diri bila terpaksa berjalan dalam gelap ketika asap tebal. Kami juga diajar cara untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan fire extinguisher, paip bomba, hose bomba dan pili bomba. Kalau sebelum ni cuma tengok dari jauh. Semalam dan kelmarin dapatlah pegang-pegang dan belajar menggunakan semua peralatan yang sangat penting ketika berlakunya kebakaran itu.
Di sini aku nak kongsikan sedikit pengetahun yang aku dapat dalam kursus keselamatan kebakaran tersebut :
- Jangan panik ketika berlakunya kebakaran.
- Cuba cari jalan keluar melalui pintu. Bukannya terus mencari tingkap.
- Pentingnya untuk semua rumah untuk mempunyai detector kebakaran. (Ini kerana bila kita tidur waktu kebakaran berlaku, waktu kita tersedar api sudahpun membesar).
- Di setiap rumah dan di dalam kereta perlu ada alat pemadam kebakaran.
- Jika boleh padamkan api, kita cuba untuk padamkannya terlebih dahulu. Jika tidak, lari dan menyelamatkan diri adalah tindakan yang lebih baik.
- Pentingnya untuk kita semua mempunyai nombor telefon balai bomba dan balai polis terdekat dengan kawasan rumah kita. (Seisi rumah juga patut tahu mengenainya). Balai Bomba Bandar Baru Bangi - 03-89254444.
- Jika di tempat kerja kita ada melakukan latihan kebakaran, di rumah pun patutnya ada untuk mengelakkan panik jika berlakunya kebakaran.
- Perlu ada Pelan Tindakan Kecemasan untuk rumah dan pastikan semua anak-anak dan is rumah juga tahu mengenainya.
- Seeloknya kita tahu, berapa tapak di dalam rumah yang perlu kita ambil untuk ke laluan keluar. (Misalnya dari katil ke pintu bilik, dari pintu bilik ke pintu utama jadinya bila dalam keadaan asap tebal, kita boleh mencari jalan keluar)
- Bila asap tebal, merangkak untuk keluar. Untuk merasa gunakan belakang tapak tangan kerana ianya lebih sensitif.
- Kunci rumah, kunci grill dan semua kunci-kunci penting jangan di simpan dalam satu bekas atau gugusan besar. Ini akan menyukarkan untuk kita mencari kunci yang betul ketika kebakaran.
- Tindakan segera adalah sangat penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.
- Jangan buka pintu kalau terasa panas. Cuba tutup lubang yang boleh masuk asap.
Ada banyak lagi sebenarnya. Tapi itu saja yang aku ingat setakat ini. Semoga perkongsian yang sedikit ini bermanfaat untuk orang lain. Harap-harapnya kita semua dapat menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda kita. Minta dijauhkan dari sebarang musibah dan malapetaka. Semoga kita semua sentiasa dilindungi oleh ALLAH hendaknya, insyaAllah.
Melalui kursus ini juga aku dapat tahu peranan dan tugas Ahli Bomba. Besar sungguh tanggungjawab dan tugas mereka. Barulah aku tahu yang mereka itu juga adalah HERO sebenarnya.
Salam hormat buat semua. Have a nice day.