Aku ni bab-bab makan memang selalu benar teringin. Bila teringin tu pula memang rasa tak sempat-sempat lagi. Kalau tak dapat hari ni. Tunggu esok. Kalau tak dapat esok tunggu hujung minggu. Yang pastinya mesti nak dapatkan juga. Sejak berblog ni lebihlah lagi penyakit teringinnya. Bila sana-sini orang bercerita tentang makanan dan siap tempek gambar lagi semakin bertambah-tambahlah penyakit teringin aku tu. Pantang orang review tentang makanan atau restoran, mesti punya dalam banyak-banyak tu ada yang aku tergoda untuk teringin merasa sama.
Hari tu teringinkan Big Apple Donut. Macam tadi tengok soto kat blog mamalieyna, aku pun nak soto juga. Makanya pergilah mencari soto untuk makan tengah hari tadi. Macam sebelum ni semua orang sibuk dengan kek Red Velvet. Aku pun teringin juga nak merasa. Mujur ada isteri officemate aku ada buat jual kek itu. Jadinya bila dapat tahu aje dia boleh buat, aku pun tak bertangguh terus order. Siap officemate aku tu pun macam pelik. Tak tengok gambar, tak pilih design, baru dengar cerita aje aku dah terus order. Bila tanya nak yang macam mana pun aku cakap tak kisah. Yang penting aku dapat rasa kek Red Velvet tu. Punyalah teringin.
Bila fikir balik rasa bersyukur sangat-sangat. Alhamdulillah.. ada rezeki untuk menikmati apa yang aku hajati. Mujur penyakit teringin aku hanya kepada makanan yang mudah untuk mendapatkannya dengan kata lain jenis yang mampu milik. Kalau teringin aku kepada perkara yang aku tak mampu tentu susah juga jadinya. Dahlah selalu tu tak menyempat. Tentu jadi masalah kepada aku juga nanti.
Setakat ni untuk barang-barang branded aku tak pernah teringin. Ada kesedaran diri yang lebih agaknya. Tak mampu buat cara tak mampu kan. Tak perlu nak ikut rentak orang. Makanya bila orang ada barang branded yang mahal aku tumpang suka. Kalau memang barang tu aku rasa cantik boleh tumpang puji juga. Bila takde keinginan makanya rasa cemburu pun tiada. Secara tak langsung kuranglah penyakit hati.
Rasanya sejak sekian lama, barang-barang yang aku benar-benar teringin selain dari makanan ialah Sony Handycam dengan Lappy aku. Memang untuk 2 barang tu aku memang tak bertangguh tarik tangan en.asben ajak pergi beli. Sebab memang teringin sangat, makanya keluar duit lebih sikit dari biasa untuk membeli sesuatu barang itu memang menjadi satu kepuasan. Nasib aku tak teringin DSLR bila Handycam dah out of trend. Kalau tak, duit gaji sikit siapalah yang susut agaknya. Aku jugak. (Ceh..ceh.. bunyi macam isteri yang tak menyusahkan suami kan padahal.. he..he..)