Showing posts with label mengaji. Show all posts
Showing posts with label mengaji. Show all posts

Friday, April 1, 2011

Jom.. jom.. jom..

Wau alif sim sabdu di atas WAS, Sim di atas SA, Lam alif di atas LA, Mim di depan MU... WASALAMU..

Itu cara aku mengaji dulu-dulu. Tiap-tiap ayat perlu dieja satu persatu. Waktu itu time mengaji muqaddam. Ingat lagi guru mengaji aku yang pertama namanya Kak Idah. Kak Idah ni anak Wak Tahir. Wak Tahir ni guru mengaji di surau tempat tinggalku. Sebab arwah ayah risau nak lepaskan aku mengaji kat surau, makanya aku dan adik di hantar mengaji di rumah Wak Tahir saja. Tapi sebab Wak Tahir sibuk menguruskan wakil posnya dan kerja-kerja di kebun, makanya aku belajar mengaji dengan anaknya saja.

Setelah beberapa ketika mengaji dengan Kak Idah, aku terpaksa mengaji dengan Wak Tahir juga di surau. Ini kerana Kak Idah sudah berkahwin dan mengikut suaminya berpindah ke tempat lain. Zaman mengaji dengan Wak Tahir ni memang best. Sebabnya kawan-kawan ramai. Balik ngaji boleh lagi singgah kedai cina jual jajan kat seberang jalan depan surau. Bab yang lain tu memang best. Tapi bab mengaji tu ada kecut perut sikit. Sebabnya Wak Tahir ni strict orangnya. Bacaan kena betul dan kuat. Lidi penunjuk pula perlu bergerak mengikut setiap huruf dan baris. Kalau tidak memang zassss lah  rotannya. Tapi bukanlah kena direct kat kita. Tapi dia zasss kat lantai kayu surau. Tapi angin hayunannya boleh buat mengigil jugalah kaki tangan. Bila sekali dia zasss tu memang lepas tu semua orang tak berani nak angkat muka. Takut beb..

Lepas arwah ayah meninggal kami berpindah ke Bangi. Waktu itu aku mengaji dengan Makcik Kiah pula. Makcik Kiah ni peniaga kuih di gerai. Jadinya rumahnya selalu penuh dengan barangan gerainya setiap kali aku dan adik datang mengaji di rumahnya. Jadinya aku dan adik terpaksalah alih-alih sikit-sikit barang-barangnya untuk duduk mengaji. Selalunya kami mengaji waktu lepas maghrib. Waktu Makcik Kiah lepas balik berniaga. Mengaji sekali dengan anak-anaknya. Kadang tu kalau Makcik Kiah penat sambil baring dia mengajar kami mengaji. Kadang tu sambil buai anaknya. Punyalah dia bersemangat nak mengajar. Penat-penat pun dia tetap mengajar. Alhamdulillah, dengan Makcik Kiahlah aku dan adikku khatam Al-Quran.

Lepas khatam Al-quran mulalah kurang membacanya lagi. Kalau buka pun seminggu sekali untuk baca surah yaasin di malam jumaat. Selalu macam tu kan. Belajar mengaji untuk khatam saja. Lepas tu terus jarang-jarang buka. Waktu di ofis lama, aku kembali belajar tajwid. Kali ini kelas setiap hari jumaat waktu rehat tengah hari. Ustazah selalu mengingatkan kami agar tidak melupakan Al-quran. Katanya dalam satu hari tu cubalah untuk buka Al-quran. Janganlah Al-quran itu disimpan buat perhiasan. Katanya kalau kita amalkan setiap hari, InsyaAllah, kita rasa tak lengkap hidup ni kalau kita tidak membacanya. Cubalah membacanya walau satu huruf pun. Kalau sempat bacalah satu muka. Lebih banyak, tentulah lebih baik lagi.  Waktu belajar dengan ustazah inilah aku mula membaca Al-quran kembali setiap hari andai ada kelapangan. Alhamdulillah. Seboleh-bolehnya memang cuba mencari masa untuk membacanya. Dan benarlah kata ustazah, bila kita jadikan amalan, memang kalau tak baca sehari memang terasa ada yang kurang.

Sebenarnya aku bukan nak cerita tentang aku. Tapi aku nak ajak kawan-kawan semua agar sama-sama membaca Al-quran. Cubalah cari masa. Sama-samalah kita mencari pahalaNYA. Jom mengaji semula jom.. Kalau memang sudah jadi amalan, syukur Alhamdulillah. Sama-samalah kita meneruskannya, memperbaiki bacaan dan memahami maksudnya juga. Selamat beramal.

*Aku tak reti nak berdakwah. Tapi aku benar-benar mahu sampaikan perkara ini.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...