Showing posts with label pengalaman umrah dan ziarah 2012. Show all posts
Showing posts with label pengalaman umrah dan ziarah 2012. Show all posts

Thursday, July 5, 2012

Pengalaman Umrah dan Ziarah 2012 : Dugaan..

Assalamualaikum...

Dugaan... Hmm tak sangka pula, bila balik dari umrah ada juga yang bertanya, ada apa-apa dugaan tak? Errr.. Aku jawab Alhamdulillah takde. Walaupun sebenarnya aku sendiri tidak pasti dugaan yang dimaksudkan ialah dugaan yang bagaimana. Sebelum bertolak ramai yang bertanya, pergi nanti dengan siapa? Aku jawab pergi dengan suami, emak, emak mertua dan ayah mertua. Kebanyakkan respon yang aku terima dari orang-orang yang rapat denganku ialah, besar nanti dugaannya sebab pergi dengan kedua-dua emak. Nak bawa orang tua ni kena lebih banyak-banyak bersabar. Bila Allah nak duga, yang tak banyak kerenah pun akan jadi banyak kerenah ketika di sana. Aku menerimanya sebagai satu nasihat yang baik. Ini kerana aku yakin mereka bercakap melalui pengalaman mereka dan bukannya sekadar mahu menakut-nakutkan aku. Aku ambil berat nasihat yang mereka berikan. Pesan kawan baikku, layankan aje, kau jangan ambil port sangat. Tak payah nak kecil-kecil hati. Buat tak tahu aje. Tak payah nak layan sangat perasaan tu. Pesan makcikku, sabar banyak-banyak, berdoa banyak-banyak. Jadinya sebelum pergi lagi aku sudah memperbanyakkan berdoa agar aku diberikan kesabaran. Semoga aku dapat menangani segala dugaan dengan baik. Semoga aku dan en.asben dapat menjaga orang tua kami sebaik mungkin.  Semoga aku dapat menjaga hati dan mulutku dari berniat dan bercakap perkara yang tidak elok. Juga berdoa agar segalanya dipermudahkan buat kami semua.

Sejak dari awal aku dan en.asben memang berazam mahu melakukan sebanyak mana ibadah yang kami mampu. Tapi kami juga sudah setkan yang hal orang tua kami akan sentiasa menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi soal keselamatan, kesihatan dan kemampuan mereka. Tambah-tambah lagi, emak dan ayah mertuaku yang membawa kami bersama untuk ke Tanah Suci. Perkara itu tentulah kerana mereka mahu ada anak-anak yang dapat menjaga mereka ketika di sana. Alhamdulillah, bila aku dan en.asben sudah berbincang dengan baik sebelum pergi, di sana kami tidak ada masalah untuk mengutamakan mana yang lebih utama. Jadinya, ketika di sana kami sudah tahu sendiri mana yang akan lebih menjadi keutamaan kami. Bila ada kesempatan baru kami melakukan ibadah bersama. Jika tidak, kami lebih selesa mengutamakan orang tua kami. Di Mekah, selepas solat maghrib, kami selalunya akan tunggu di Masjidil Haram sehingga masuk waktu isyak. Tapi kesihatan ayah mertuaku tidak mengizinkan beliau menunggu di masjid kerana perlu ke bilik air. Jadinya selepas waktu maghrib, en.asben akan menemankan ayahnya balik ke hotel sebelum berpatah balik ke Masjidil Haram semula. Jadinya dalam waktu itu, jika aku mahu buat tawaf sunat, aku akan pergi sendirian saja. Itupun setelah dapat keizinan dari emak dan emak mertuaku. Tapi selalunya aku sentiasa duduk bersama mereka. Bangun untuk ambilkan air zam-zam. Bangun untuk ambilkan al-quran.

Ayat yang paling kerap keluar dari mulut kami juga ialah, ayah mana? Where's ur mom. Where's my mom. (sebab kedua-duanya kami panggil emak jadi bila cakap ur mom, my mom jadi lebih senang untuk kami walaupun kedua-duanya emak kami). Kami  juga saling ingat mengingatkan. Pimpin mak tu. Tengok ayah tu. Pegang emak tu. Teman ayah tu. Perkara ini juga dapat mengelakkan kami dari keadaan seandainya ada yang akan merasa terlebih atau terpinggir. (Jika tidak pun, setidak-tidaknya kami sudah cuba yang terbaik). Bila berjalan, aku memimpin emakku. En.asben akan memimpin emak mertuaku. (Subhanallah, seronok sangat bila lihat suami sendiri dapat berbakti pada orang tuanya. Semoga anak-anakku nanti akan jadi sebegitu juga, insyaAllah.) Bila di tempat perempuan, emak dan emak mertuaku berpimpinan tangan berdua dan aku akan mengikut rapat di belakang mereka berdua. Aku tahu aku bukannya anak yang begitu baik. Bukan juga menantu yang begitu budiman. Tapi aku mengambil peluang ketika di sana untuk menjadi anak yang lebih baik untuk emakku. Untuk menjadi menantu yang lebih budiman buat mertuaku. Biasalah hati manusia. Kadang-kadang perkara yang kecil-kecil pun boleh terasa. Lebih-lebih lagi hati orang tua kita. Jadinya perkara begitu cuba aku elakkan. Harap-harap aku telah berjaya melakukan sebaiknya.

Anak yang soleh awak dan suami  sebab jaga emak dan ayah dengan baik. Tegur seorang makcik dalam kumpulan kami ketika di Masjidil Haram pada satu hari sebelum kami melakukan umrah sunat. Allahuakbar, kata-kata yang baik yang diucapkan di tempat yang mulia itu aku aminkan sepenuh hati. Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Emak yang mendengar turut mengaminkan. Semoga apa yang makcik itu ucapkan benar belaka. Ini kerana, itulah juga impian aku dan en.asben. Subhanallah.. Allah itu Maha Penyayang. Allah itu Maha Mengetahui. Allah itu Maha Pengasih. Perkara yang dikatakan dugaan itu rupanya adalah sesuatu yang sangat indah bila kita bersedia untuk menerimanya dengan baik. Perkara yang dikatakan dugaan itu dapat kita lalui dengan baik dengan memperbanyakkan berdoa dan meminta pertolongan dariNYA. Dugaan yang diberi bukanlah hanya sebagai satu ujian untuk kita. Namun ianya juga satu jalan untuk kita mengumpul pahala. Satu jalan untuk kita memperbaiki diri yang terlalu banyak kekurangan. Satu jalan untuk kita lebih mengharap, lebih bersyukur dan lebih bertakwa kepadaNYA. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Entry ini sudah dua, tiga hari aku taip. Tapi masih terfikir-fikir mahu post ataupun tidak. Begitu juga dengan cerita-cerita lain ketika di sana yang mahu aku ceritakan. Aku jadi takut sendiri. Adakah aku berlebih-lebihan mahu bercerita. Pengalaman setiap orang berbeza-beza. Begitu juga dengan pengalamanku sendiri. Kalau boleh, aku mahu coretkan semuanya untuk kenangan diriku.  Juga untuk teman-teman yang mahu membacanya. Please, please, please kawan-kawan semua, tegurlah aku kalau ada yang merasakan aku berlebih-lebihan dalam bercerita. Atau cara aku bercerita tak kena gaya. Aku selalu berdoa agar dijauhkan dari sikap riak dan takbur. Jadinya, jika ada yang merasakan aku sebegitu, harap-harap dapatlah menegur agar aku dapat memperbaiki diri, insyaAllah. Yang baik itu dari ALLAH dan yang tidak baik itu pastinya dari diriku sendiri yang serba kekurangan dan masih terlalu cetek ilmunya. Mana yang boleh aku perbaiki akan aku cuba untuk memperbaikinya.

Teringat lagi kata ustaz yang memberi ceramah waktu kursus umrah dulu. Bila balik nanti, ceritakan yang baik-baik. Ceritakan yang indah-indah. Beritahu pada semua orang, seronok sangat dapat ke sana. Pergilah. Itu jugalah yang mahu aku sampaikan pada semua. Aku yakin, semua yang pernah ke sana ada cerita tersendiri yang mahu dikongsikan. Pastinya yang baik-baik dan yang indah-indah. (Kisah pengajaran yang katanya seperti rakaman ulangan itu, kita ambil sebagai iktibar. Ianya membawa banyak kebaikkan pada diri kita untuk sentiasa beringat. Juga untuk sentiasa memperbanyakkan doa, memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah.) Bukannya kerana mahu bercerita pada semua tentang seronoknya ketika di sana kerana mahu memberitahu pada semua orang yang I dah sampai sana. U belum lagi. Tapi kerana mahu semua orang dapat merasa keadaan yang sama, keseronokan itu yang bagaimana, kebaikkan itu yang bagaimana, keindahan itu yang bagaimana. Bila ada yang bertanya, macam mana pergi umrah. Seronok tak? Jawapan aku ialah Alhamdulillah, seronok sangat. Aku tak dapat ceritakan secara terperinci kepada setiap orang. Tapi yang aku tahu, segala keindahan, kebaikkan, keseronokan itu membuatkan aku mahu semua orang dapat peluang dan jemputan untuk ke sana agar dapat merasainya sendiri.

Hari ini kita semua memulakan buku catatan baru. Semoga ianya dimulakan dengan segala yang baik-baik dan akan dipenuhi dengan segala kebaikkan. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita dan keluarga. Selamat berpuasa buat yang berpuasa. Semoga segala amalan kita diterima olehNYA. Salam hormat buat semua. Take care.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...