Waktu rehat itu aku ke bank. Majlis perkahwinan adik bongsuku akan diadakan dalam dua minggu lagi. Majlis nikahnya dibuat di rumahku. Semua persiapan kenduri sudah disediakan. Tapi sebagai kakak dan tuan rumah, aku terasa perlu juga ada duit di tangan. Manalah tahu kalau ada perkara-perkara yang tidak dijangka. Jadinya aku mahu keluarkan sedikit duit simpanan sebagai persediaan.
Satu jam sudah berlalu. Orang memang ramai. Aku terus sabar menunggu walaupun waktu rehatku sudah tamat waktunya. Ini kerana nombor giliranku akan tiba dalam selang dua tiga nombor saja lagi. Dalam fikiranku tentulah tidak akan mengambil masa yang lama. Alang-alang sudah lewat, biarlah aku menunggu saja buat seketika lagi. Tapi entah kenapa, setelah setengah jam berlalu tidak bergerak pula nombornya. Sedangkan di kaunter-kaunter lain pergerakannya lancar saja.
Kesabaranku mula hilang untuk terus menunggu. Tambahan pula ada rakan yang turut menemani. Tidak sedap pula bila dia juga terpaksa masuk lambat ke pejabat disebabkan urusanku. Sudahnya aku tinggalkan saja bank itu. Sebelum keluar aku sempat membuat aduan di kaunter khidmat pelanggannya. Menurut pegawai tersebut sistem tidak tergendala. Penerangannya membuatkan aku rasa benggang. Mulalah mulut ini merunggut tentang kelembapan petugasnya. Waktu itu terasa berapi-api saja kerana telah membuang masa dan urusan tidak dapat diselesaikan juga.
Petang itu ketika balik dari kerja, aku singgah di rumah kawan di lorong depan rumahku untuk memberikan kad undangan perkahwinan adikku. Aku hanya berdiri di depan kereta di hadapan pagar rumahnya. Dalam waktu yang sekejapan itu ada yang mengambil kesempatan membawa lari beg tanganku yang tertinggal di dalam kereta yang tidak berkunci. Mengeletar aku dibuatnya dengan kejadian yang tidak disangka.
Didalam beg itu ada buku akaun yang di dalamnya ada borang keluar dengan jumlah beberapa ribu ringgit yang tidak dapat aku keluarkan. Kiranya kelewatan ketika di bank tadi telah menyelamatkan aku dari kehilangan beberapa ribu ringgit dari wang simpananku. Alhamdulillah. Walaupun barangan lain hilang tapi aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya wang simpananku masih selamat. Jika tidak berlaku kelewatan ketika di bank tadi, tentu wang itu tidak lagi menjadi milikku.
Sejak itu, setiap kali ada kelewatan dalam urusan atau ada perkara yang tidak lancar, aku akan lebih bersabar. Aku juga akan lebih beringat yang pastinya ada hikmah disebaliknya. Ini kerana di sebalik apa yang terjadi, kita tidak tahu apa yang tersembunyi disebaliknya. Mungkin perkara atau keadaan yang tidak kita senangi itu membawa kebaikan buat diri kita. Peristiwa itu sudah lebih dua tahun berlaku. Tapi ianya menjadi pengajaran yang cukup besar buat diriku. Juga menjadi ilmu yang berguna untuk aku memperbaiki diri.