Salam Jumaat buat semua..
Rasanya soalan mengenai Travel Agent (TA) mana yang diambil untuk Umrah dan Ziarah adalah soalan utama yang sering ditanya pada jemaah yang mahu pergi dan baru pulang. Makanya hari ni aku nak bercerita mengenai TA yang mengendalikan Umrah dan Ziarah kami. Kami pergi dengan TA Andalusia. (Pengerusi Eksekutifnya Ust. Dato' Daud Che Ngah. Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji. Waktu zaman sekolah aku sudah mengenalinya kerana kerap mendengar program pagi yang dikendalikan olehnya di radio. Jadi bila mengikuti kursus umrah yang dikendalikan olehnya aku rasa macam dah kenal benar dengannya he..he..).
Bagus ke TA Andalusia tu?
Soalan yang biasa ditanya. Sejujurnya, itulah soalan yang berada di minda aku yang baru pertama kali mahu menunaikan ibadah umrah. Sebelum pergi aku ada juga google mengenainya. Bermacam-macam komen yang aku dapat. Ada yang kata bagus. Ada yang kata kurang. Ada juga yang kata tak bagus. Maklumlah pandangan dan penerimaan kita kan berbeza-beza. TA juga mengendalikan beratus atau beribu jemaah. Bukannya melayani kita dan keluarga kita saja. Jadinya tentulah ada perkara yang memuaskan dan tidak memuaskan hati kita. Namun aku tertarik dengan satu komen yang bunyinya lebih kurang begini mengikut pemahaman dan bahasa aku. Perkara berkaitan TA ini menjadi rezeki masing-masing. Aku sangat suka dengan komen sebegitu. Kiranya, tak kiralah TA mana pun yang kita ambil, kalau rezeki kita baik, maka akan baiklah semuanya buat kita. Jika sebaliknya, itulah juga rezeki kita. Sehinggakan sebelum bertolak aku berkata kepada en-asben. Kita terima apa saja rezeki untuk kita. Banyakkan bersabar dan jangan berlebih-lebihan mengharap. Kita terima apa saja seadanya. Asalkan segalanya selesa buat emak dan ayah juga emak, itu sudah sangat baik.
Alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar, baik-baik saja dan dipermudahkan buat kami. Kalau di tanya kepadaku selepas umrah dan ziarah ini bagaimana pendapat aku tentang TA Andalusia? Jawapan aku ialah semuanya baik untuk kami. Mungkin aku jenis yang mudah rasa berpuas hati. Makanya, segalanya nampak okey dan baik saja di mataku. Masalah ada di mana-mana. Tak perlu fikir sangat. Kalau kita rasa masalah tu besar, ianya akan jadi besar. Bila kita fikir masalah itu kecil, maka akan jadi kecillah masalah tu. Yang penting banyak-banyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan.
Kursus Umrah?
Disediakan pada setiap sabtu dan ahad di Pejabat Andalusia di Kg. Pandan. Rasanya Andalusia juga tiada jadual tertentu bila jemaah perlu datang kursus. (Hanya diberitahu sebaik-baiknya sebelum 2 atau 3 minggu sebelum bertolak). Tiada juga panggilan kursus secara khas. Jadinya boleh saja memilih tarikh-tarikh hujung minggu yang sesuai sebelum waktu berangkat. Rasanya untuk kursus setiap ahad memang dikendalikan oleh Ust. Dato' Daud Che Ngah sendiri. Memang penuh padat setiap kali kursus. Ini kerana jemaah yang datang tidak terhad kepada jemaah Andalusia saja. Ada juga orang luar yang mahukan kursus umrah turut serta. Minuman pagi disediakan secara percuma.
Tiada masalah dengan Ahli kumpulan ke?
Alhamdulillah.. Tiada masalah dengan group kami TK22. Semuanya baik-baik belaka seperti saudara sendiri. Walaupun berlainan usia dan latar belakang, nampaknya semuanya boleh bersatu hati. Semuanya saling hormat menghormati. Saling sama-sama menjaga kebajikan. Paling best bila segala hal diuruskan bersama-sama sehinggakan tidak terasa terbeban dengan hal bagasi dan urusan ketika mendaftar masuk di airport mahupun di hotel.
Mutawwifnya bagaimana?
Alhamdulillah, Mutawwif kami Ust. Aswin sangat bertanggungjawab orangnya. Juga sangat membantu. Penerangannya jelas. Ust. Aswin juga sentiasa ada bersama kami sejak dari Malaysia, Singapura, Istanbul, Madinah dan Mekah dan sehinggalah waktu kami pulang semula ke Malaysia. Jika ada jemaah yang terlambat, pastinya dia akan berusaha untuk pergi mencari dan sedia menunggu. Pengisian sepanjang perjalanan penuh terisi dengan doa, zikir dan cerita-cerita kisah zaman Rasulullah dan kisah-kisah di Bumi Anbiya'. Ustazah juga ada disediakan di Madinah untuk membawa kami masuk ke Raudhah - Masjid Nabawi. Alhamdulillah, Ustazahnya juga sangat baik. Selain itu di hotel penginapan juga ada pengisiannya. Ada ceramah berhubung dengan ibadah umrah. Juga diadakan bacaan yaasin dan tahlil arwah.
Penginapan bagaimana?
Aku boleh katakan penginapannya selesa. Untuk aku, ada katil dengan tilam empuk, bilik airnya bersih dan biliknya beraircond sudah dikirakan selesa. Untuk jarak, di Madinah memang dekat dengan Masjid Nabawi. Di Mekah agak jauh, lebih kurang 400 meter (10 minit berjalan). Ini kerana faktor banyak hotel-hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram yang sedang diruntuhkan.
Makanan dan minumannya bagaimana?
Alhamdulillah.. cukup dan mengenyangkan he..he.. Sedap dan tak sedap tu subjektif. Ada juga makanan yang tak kena dengan selera aku. Tapi kena dengan selera orang lain. Aku rasa sedap orang lain rasa sebaliknya. Jadinya bila ianya sentiasa cukup dan mengenyangkan, pada aku kira dah cukup bagus. Lagipun ada banyak restoran di sana. Kalau rasa tak kena dengan selera kita, boleh cari makanan lain yang memenuhi selera kita.
Info tambahan :
Jemaah Andalusia turut diberikan 3 biji beg untuk setiap seorang. 1 Beg baju besar yang beroda, 1 beg galas yang juga beroda dan beg sandang kecil untuk mengisi dokumen penting dan barang keperluan. Waktu bertolak diberikan juga 1 beg bimbit kecil berisi biskut dan air kotak. Beg ini boleh digunakan untuk mengisi kasut ketika di masjid. Air mineral diberikan seorang sebotol setiap hari bagi setiap perjalanan melalui bas.
Rasanya itu saja yang boleh aku kongsikan serba sedikit tentang TA untuk Umrah dan ziarah. Harap-harap perkongsian dari pengalaman pertama aku yang tidak seberapa ini dapat memberi manfaat untuk orang lain juga.