Tuesday, December 20, 2016

Keputusan PT3 yang tak disangka.. Syukur.

Assalamualaikum..


Alhamdulillah.. Syukur. Keputusan PT3 dah selamat keluar pagi semalam. Tak tahu kenapa, kali ni aku tak rasa berdebar-debar sangat nak tunggu keputusan anak. Mungkin sebab Is terlalu cool. Jadi aku pun ikut cool aje. Rasa macam tak sesuai pulak kalau aku yang over lebih dari calon kan? ha..ha.. Lagipun aku dah set dalam kepala. Walau apa pun keputusannya tetap dapat naik ke tingkatan 4 juga dan boleh kekal di sekolah yang sama. Waktu peperiksaan percubaan, takde A yang Is dapat. Tapi aku tak kisah pun. Sebab keputusannya masih meningkat dari yang sebelumnya. Keputusan meningkat pun aku dah bersyukur sangat. Lagi pun aku tahu anak aku macam mana. Jadi aku dah bersedia walau apa pun yang dia dapat. Tak dapat jangka pun keputusannya untuk semalam. Tapi aku tetap berdoa agar keputusannya cemerlang. 

Semalam aku kerja. Keluar kejap bawa Is ke sekolah untuk ambil keputusan PT3nya. Waktu sampai sekolah, taklimat dah bermula. Alhamdulillah.. masih sempat dengar info-info penting tentang keputusan PT3 sekolah untuk tahun ini. Dalam pada langsung tak rasa berdebar pada mulanya, sekali bila dengar taklimat tu terus aku jadi gubra.  Ya ALLAH.. baru aku tahu rupanya ada syarat untuk terus kekal berada di Maahad Hamidiah tu. (Is tahu, tapi dia tak pernah pun beritahu aku. Bertuah betul anak aku seorang ni tau). Bila dah tahu,  aku mula  risau. Keadaannya rasa macam dah siap sedia nak buat permohonan. Borang semua dah lengkap tapi dokumen tak cukup. Gitulah tak senang duduknya aku. Ya ALLAH.. dapat ke Is melepasinya. Kalau kena keluar dari sekolah tu kena cari sekolah lain pula. ALLAH.. kalau boleh aku nak sangat Is dapat terus bersekolah di situ.

Syarat untuk dapat terus bersekolah di situ ialah mesti dapat sekurang-kurangnya 3A. Subjek Matematik, Sains dan Pendidikan Islam minima kena B. Bahasa Arab minima C. Risaunya aku. Dengan keputusan percubaannya, aku tak boleh nak agak keputusan yang dia akan perolehi. Bila cikgu umumkan yang untuk syarat pertama, semua pelajar Maahad melepasinya aku rasa lega sangat. Syukur. Bila dah ambil keputusan Is terus berdiri bersama teman-temannya. Takde pun datang nak cari aku. Jadi aku rasa dia dapat 3A dan syarat lain tak dapat dipenuhi. Jadi aku yang pergi kat dia. Tanya apa keputusannya. Alhamdulillah.. ada rezeki untuknya. Dia melepasi semua syarat tu dan dapat 7A 3B 1C. Syukur ya Allah. Ianya di luar jangkaanku dan aku sendiri tak sangka. Kalau dibandingkan dengan keputusan peperiksaan percubaan dia memang meningkat sangat keputusannya. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih buat semua guru-gurunya. 

Math dah A. Mata pelajaran lain pun dah dapat A. Bahasa Arab masih C. Sejak awal memang Is dah beritahu padaku yang Bahasa Arab susah untuknya. Sebelum periksa dia dah beritahu yang lepas PT3 ni dia nak minta tukar sekolah sebab dia rasa tak dapat bawa Bahasa Arab. Waktu peperiksaan PT3 pun, setiap kali habis setiap paper bila tanya boleh buat ke, senang ke susah? Dia akan jawab boleh jawab. Dia akan cakap soalan senang atau senang sikit atau tak susah sangat. Tapi untuk peperiksaan Bahasa Arab, bila tanya dia cakap susaaaaah. Tanya boleh jawab tak? Dia jawab, tak tahulah. Semalam bila dah dapat keputusan pun dia beritahu nak tukar sekolah juga. Tapi aku beritahu dia, alang-alang masih boleh bersekolah di situ, teruskan ajelah. Dapat peluang untuk belajar lagi Bahasa Al-Quran. Belajar Bahasa Arab bukan untuk dapat cemerlang dalam peperiksaan. Tapi untuk manfaat diri sendiri. Alhamdulillah.. dia setuju. Semoga Is dapat belajar Bahasa Arab dengan lebih baik lagi dan akan dapat buat yang terbaik dalam SPM nanti. In sha ALLAH. 

Is kesayangan.

Tahniah Is, Muhammad Adi Iskandar. Perjalanan masih jauh. Usaha perlu dipertingkatkan.  Semoga abang terus cemerlang dunia akhirat.. In shaa Allah. Harap-harap suatu hari nanti bila abang baca entry mama ni, abang dah dapat menguasai subjek Bahasa Arab dengan baik.  Dah cemerlang dapat belajar Bahasa Arab.. in shaa ALLAH. Amboi.. bukan main tinggi lagi cita-cita mama, kan? Takpelah.. berangan bukan kena bayar pun. Semoga angan-angan mama menjadi doa yang baik untuk anak-anak.. In shaa ALLAH. Semalam ada teman yang bertanya apa tips Is dari langsung takde A dalam percubaan boleh dapat juga A dalam PT3. Aku pun tak tahu apa tipsnya. Tapi yang aku perasan, Is dah lebih rajin nak berpuasa sunat. Waktu hari peperiksaan pun dia berpuasa juga. Aku pun berpuasa. Satu lagi, dia dah lebih kerap membaca Al-Quran. Kadang-kadang selepas solat bila aku masuk bilik dia aku nampak dia sedang membaca Al-quran. Tak tahulah untuk hafazan atau apa. Tapi memang dah lebih kerap aku nampak dia pegang Al-Quran. Itu aje tips yang aku boleh kongsi. 

Mungkin persekitaran yang baik di sekolah Maahad tu membuatkan dia terikut untuk memperbaiki diri dan amalannya. Syukur, Alhamdulillah. Itu yang membuatkan aku berharap sangat agar Is boleh kekal belajar di sekolah itu. Doaku semoga anak-anakku dan anak-anak kita semua sentiasa cemerlang dalam pelajaran, dalam kehidupan dan cemerlang dunia akhirat.. in shaa ALLAH. Tak perlu bandingkan keputusan anak kita dengan anak-anak orang lain. Tak perlu bandingkan juga dengan adik beradik yang lain. Bukan kita dapat apa pun. Bandingkan dengan keputusan yang sebelumnya pun dah boleh buatkan kita tersenyum. Itu pun dah boleh buatkan kita rasa keputusan tu dah cemerlang sangat. Anak kita, kan? Kitalah yang kena hargai setiap keputusan dan kejayaannya dengan baik. Kalau keputusannya bagus, kita bersyukur. Kalau kurang bagus pun perlu bersyukur juga. Raikan saja setiap keputusan dan setiap usaha anak-anak dengan sebaiknya. Setiap anak-anak punya keistimewaan masing-masing. Kurang cemerlang dalam pelajaran bukan bermakna tak boleh cemerlang dalam kehidupan. Ada banyak cabang dalam kehidupan ini, kan? Semoga ianya menjadi ingatan yang baik juga buatku. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi amanillah.

Friday, December 16, 2016

Bangi Wonderland..

Assalamualaikum..


Cuti sekolah tahun ni kami tak berjalan ke mana. Bukan kata tak berjalan, plan nak berjalan pun takde juga he..he.. Kalau selalu tu, walau tak merancang sekali pun, last minute mesti tercetus juga idea nak bawak anak ke mana-mana. Tapi tahun ni kita cuti-cuti di rumah ajelah. Hujung tahun ni en.asben sibuk luar biasa. Ada banyak report yang perlu disiapkan sebelum akhir tahun. Jadi sejak sebelum cuti sekolah  en.asben dah awal-awal beritahu yang cuti-cuti untuk hujung tahun ni beku hu..hu.. Mulanya rasa macam takkanlah takde ruang langsung nak berjalan walaupun sibuk. Jadi senyap-senyap aku booking jugalah hotel kat Cameron ha..ha.. Punyalah nak sangat berjalan kan dan aku pun teringinkan scone, strawbery dan keledek Cameron Highland he..he.. Tapi bila setiap malam en.asben gigih mengadap report. Hujung minggu berkepit dengan report juga maka nak ajak ke mana-mana pun aku sendiri yang tiada hati. Kesian pulak rasanya. Biarlah report-report tu siap dulu. Berjalan ke mana-mana bila-bila pun boleh. Tapi report tu ada datelinenya. Jadi senyap-senyap juga aku batalkan tempahan hotel tu. Semoga segala urusan en.asben dipermudahkan dan tugasannya dapat diselesaikan dengan cepat dan sempurna.. in shaa ALLAH.

Jumaat lepas en.asben memang bercuti. Bila tahu en.asben cuti, aku pun apply cuti sekali. (Apply cuti ni sebelum tahu memang tak boleh nak berjalan ke mana pun). Ditakdirkan, aku juga kena siapkan check pruf novel ketigaku. Jadi sepanjang hari jumaat tu, aku dengan en.asben sama-sama sibuk bercinta dengan dokumen di laptop. (Oh.. nak beritahu juga di sini, in shaa ALLAH novel ketigaku Bukan Teman Pengganti terbitan Alaf 21 akan diterbitkan bulan Januari 2017. Alhamdulillah.. syukur). Petang jumaat tugasanku selesai dan dah selamat dikembalikan kepada editor. Lega. Tapi en.asben masih ada banyak report yang perlu diulit.  Malam sabtu aku dah terfikir-fikir nak bawak anak-anak keluar ke tempat yang dekat-dekat. Iyalah nak memandu sendiri kenalah pergi tempat yang aku dah biasa. Tempat yang tak biasa aku tak berani sikit kalau en.asben takde. Cadang nak tempah hotel kat KL atau Cyberjaya biar anak-anak dapat mandi pool. Tapi malas pulak nak packing baju sebab mood nak bercuti tu macam dah takde. Jadi tukar plan nak bawak anak-anak ke District 21 aje. Tapi en.asben cadangkan untuk bawak anak-anak ke Bangi Wonderland aje.

Sebelum tidur malam tu tak dapat nak decide lagi nak bawak anak-anak ke mana. Bangun tidur pagi sabtu tu barulah dapat tetapkan perancangan nak bawak anak-anak ke Bangi Wonderland. Alhamdulillah.. pemilihan yang tepat bila bawak anak-anak ke Bangi Wonderland. Anak-anak seronok sangat dan kesemuanya berani mencuba segala jenis slide yang ada di sana. Sangat berbaloi bawa budak-budak ni ke sana.  Dari pukul 10 pagi sampai ke 6 petang kami di Bangi Wonderland. Tempatnya tak jauh dari rumah. Dalam 15-20 minit aje. Laluannya pun laluan yang aku dah biasa dulu-dulu walaupun dah lama sangat aku tak pernah sampai ke Bangi Lama tu. Orang tak ramai sangat. Jadi selesa sangat anak-anak nak main semua ride tanpa perlu mengambil masa untuk beratur. Kawasannya pun tak terlalu besar. Jadi walaupun aku seorang untuk mengawasi 6 orang anak tanpa en.asben, aku masih dapat mengawal anak-anak dengan baik. Syukur.. ALLAH lindungi keselamatan kami sekeluarga. Beberapa hari sebelum tu, emak ada tengok kat TV tentang Bangi Wonderland. Jadi emak pun happy bila aku bawak emak sekali. Iyalah.. tak sangka yang Bangi dah ada taman tema air he..he.. Aku pun macam tak percaya juga sebenarnya. 


Kami bersama maskot Bangi Wonderland. 
Bayaran masuk Dewasa : RM58 dan Kanak-kanak : RM48. 
Untuk kanak-kanak umur 1-2 tahun tu memang masuk percuma. Harga Kanak-kanak mengikut ketinggian ya. Bukan mengikut umur. Kalau tinggi macam gegirl tu dikira bayaran kanak-kanak. Kalau lebih tinggi dari tu kira dewasa dah. Dengarnya kalau pergi hari bekerja boleh dapat harga promosi yang lebih menarik. Walaupun orang bangi, aku tetap guna google map juga nak sampai sini he..he.. Kami ikut jalan lama. Tanpa tol dan kesesakan di highway.

Alhamdulillah.. anak-anak yang happy dan berani. 
Bukan setakat abang-abang aje, gegirl pun berani juga nak main slide tu semua. Kagum mama. Kalau ikut mama dengan arwah mummy, kami ni memang penakut dan tak adventure langsung. Semua benda tak berani. 
Nak cuba pun takut he..he.. Mampu tengok dan bagi sokongan aje sambil dada debar-debar selagi anak-anak tak turun dari slide. Alhamdulillah.. semuanya selamat. Kawasan Bangi Wonderland ni tak luas sangat. Jadi senang nak pantau anak-anak. Orang pun tak ramai jadi dari jauh pun aku dah boleh nampak anak-anak untuk cari dia orang.

Ini kat area kolam ombak. Tapi time ombak lupa nak ambil gambar. 
Ombak dia kuat. Best.  


Time ombak anak-anak suka.. Time takde ombak pun anak-anak suka aje mandi kat sini. 

Tinggi slide ni.. Aku ngeri.. tapi anak-anak berulang-ulang aje naik slide ni penuh happy. 

Eh... Naik lagi he..he.. Gigih korang nak panjat tangga kan.

My sweet little gegirl.. 2017 ni masuk darjah 1.
Mula-mula sampai nak masuk dalam air pun takut-takut. Lepas tu duduk aje tepi kolam. Suruh main slide yang rendah pun tak berani. Terpaksalah aku naik dulu nak tunjukkan kat dia yang slide tu pendek aje. (Slide untuk budak-budak beranilah aku naik he..he..). Sekali lepas dah try slide pendek tu dan dah bawak main di lazy river terus berani pulak dia. Naik slide ni aje berulang-ulang kali. Siap dia yang sibuk ajak abang-abang naik slide lain. Adooiiii.. aku punya berdebar jangan cakaplah selagi dia tak sampai bawah.  Tapi dia rileks aje. Cayalah gegirl. Mama proud of you sayang. 


Walaupun anak-anak kata seram naik ni, tapi ulang-ulang juga dia orang naik. Orang tak ramai kan. Tak payah beratur pun. Jadi naik ajelah berapa kali nak naik pun. Kita dah bayar ha..ha..

Emak tersayang..
Seharian emak menunggu cucu-cucunya main air. Tapi emak nampak seronok aje. Emak tak mandi pun. Duduk aje kat tempat duduk berbumbung. Ini pun aku ajak masuk dalam air kejap. Itu pun cecah kaki kat air dan duduk atas buaian ni kejap aje. Lepas tu duduk kat tempat duduk berbumbung semula. Aku pun suka main buaian ni. Ulang-ulang juga aku naik. Oh ya. Surau kat sini besar dan bersih. Siap telekung sejadah semua. Jadi sangat selesa untuk kita bersolat. Petang tu hujan lebat sekejap. Siap dengan guruh petir. Jadi semua orang kena duduk kat tempat berbumbung. Tak dibenarkan berada di kolam. Jadi untuk sesiapa yang nak ke surau, nak balik atau nak pergi beli makan, staff kat situ siap payungkan guna payung aiakrim lagi. Alhamdulillah.. bagus servisnya. Anak-anak pulak tukar baju kering untuk solat zohor. Lepas tu tukar baju mandi semula. Gigih masing-masing nak main air sampai puas.  Petang sebelum balik tu kami siap-siap solat asar di situ juga. Alhamdulillah. 

 Puas mandi perut lapar.
Makanan memang tak boleh bawak masuk dalam ni. Ada kafeteria di sediakan di dalam ni. Makanannya boleh tahan sedap. Nasi ayam set dengan air RM12. Nasi goreng RM7. Set nugget RM5 kut. Ada juga jual burger, jajan-jajan, fries, jagung kukus etc. Tapi harga mahal sikitlah dari yang di luar

Yang ni best juga. 
Dia guna pressure untuk terbangkan kita dan masuk dalam air. Anak-anak try juga yang ni. Banyak permainan dan slide yang ada di sini. Memang puaslah. Ada tempat untuk surfing board. Tapi yang tu pekerja dia aje pandai naik imbang badan. Yang lain hanya mampu melutut dan baring aje atas board tu. Ada kolam spa juga. Nampak menarik. Boleh urut-urut badan kat situ. Tapi aku tak sempat try pun. Sibuk jaga anak. Ada slide yang kita berdiri lepas tu lantainya terbuka dan kita jatuh terus gelongsor dalam slide. Slide tu seram. Fareez aje yang berani naik slide tu. Tapi bila suruh naik lagi dia tak berani dah. Yang lain boleh lagi. Yang tu dia dah tak berani dah. Dia kata dia punya takut sampai keluar hingus waktu turun gelongsor tu haha.. 

Curahan baldi gergasi he..he.. Entah apa nama betulnya aku tak tahu.
Kalau kat tempat lain macam lama sikit nak tunggu baldi tu penuh. Tapi kat sini, sekejap-sekejap baldi tu curah air. Tak payah nak tunggu-tunggu. 
Barulah best. 

 Alhamdulillah.. anak-anak cukup puas hati. Ada rezeki, in shaa ALLAH kami nak datang lagi. Han tak ikut. Dia ikut MIL balik kampung. En. asben sedih aje bila han tak dapat ikut he..he.. Waktu call han beritahu kami nak ke Bangi Wonderland dia cakap ok, bye. Ha..ha.. Takpelah.. lain kali kita repeat lagi.

Alhamdulillah.. Syukur.. Keceriaan terpancar jelas. Terima kasih ALLAH.
Suka sangat bila anak-anak seronok mandi sama-sama. Saling menjaga antara satu sama lain. ALLAH.. semoga anak-anak terus bersatu hati hendaknya.. 
in shaa ALLAH.
Apa-apa boleh tengok di laman web di atas.
Bagi aku dan anak-anak, Bangi Wonderland ni BESTTTTTTTT.
Silalah pergi. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, November 23, 2016

Inilah kehidupan, wahai anak..

Assalamualaikum..

Lama betul tak menulis di sini. Last entry cerita pasal result peperiksaan percubaan anak-anak. Kali ini nak cerita pasal result sebenarnya pulak. Tapi dapat cerita pasal keputusan UPSR dan PSRA Az ajelah dulu. Han masih belum selesai lagi 2 paper untuk peperiksaan SPMnya. Esok kertas Bio dan selesa minggu hadapan kertas kimia. Semoga segalanya dipermudahkan untuk anakku Han dan pelajar SPM lain.. in shaa ALLAH. Is pulak, in shaa ALLAH bulan depan baru dapat keputusan PT3nya. Waktu hari keputusan UPSR keluar aku memang cuti. Bukanlah cuti kerana semata-mata nak mengambil keputusannya. Sebab waktu Han, Is dan Fareez (anak arwah adikku) aku tak ambil cuti pun. Tapi bila bulan ni banyak hal  yang memerlukan aku asyik keluar dengan izin pada waktu pejabat jadi rasa tak seronok pula untuk mohon keluar lagi. Lebih baiklah kalau aku terus ambil cuti. Pada hari yang sama, Han menduduki peperiksaan Add Math. Habis pukul 10 pagi untuk kertas 1 dan bersambung pula pada pukul 2 petang untuk kertas 2. Bila aku bercuti dapatlah aku uruskan Han sekali. Alhamdulillah.

Pagi itu sebelum Az ke sekolah, aku dan en.asben dah siap-siap pesan. Walau apapun keputusannya, mama dengan ayah tetap bangga. Kalau baik ucap ALHAMDULILLAH. Kalau kurang baik ucap ALHAMDULILLAH juga. Pukul 10 pagi aku dan Is sampai di sekolah Az. Is tak sekolah  sebab semalamnya dia baru balik dari rombongan sekolahnya ke Legoland. Jadi sibuklah dia nak mengikut ke sekolah. Sekolah lama memang tempat yang ramai orang  teruja nak pergi, kan? Waktu aku sampai, Az yang baru selesai menunaikan solat dhuha bersama pelajar-pelajar tahun 6 yang lain datang menyambut aku dan Is dengan wajah ceria. Sebelum keluar dari kereta aku dah hantar sms untuk periksa keputusan UPSR. Elok aje aku masuk ke dalam pagar sekolah, keputusan Az sudah aku ketahui. ALHAMDULILLAH..  Az memperolehi 3A3B. Waktu tu aku dah dapat rasa yang Az pasti akan sedih dengan keputusannya. Sebabnya waktu dapat keputusan UPKKnya sebelum ini, beria juga dia menangis bila dia tak dapat 8A dan hanya dapat 7A1B. Semalamnya waktu dapat keputusan PSRAnya pun dia dah sedih bila dia dapat Jayyid Jiddan. Aku kenal anak aku tu macam mana. Jadi aku dah dapat agak reaksi Az nanti. 

Waktu aku sampai di sekolah, guru besarnya belum balik dari Pejabat Pendidikan untuk ambil keputusan UPSR. Jadi aku keluar dulu ambil Han di sekolahnya. Waktu kami sampai semula  di sekolah Az, guru besarnya baru sampai. Aku beritahu pada Han dan Is yang aku dah tahu keputusan Az. Tapi aku tak beritahu berapa keputusannya. Biarlah Han dan Is tunggu keputusan yang Az sendiri dapat nanti. Tapi aku dah ingatkan agar dia orang raikan saja berapa pun yang Az dapat tanpa apa-apa komen. Banyak nama yang sudah di panggil. Tak mengikut urutan berapa A yang dapat pun. Tapi nama Az memang agak lambat dipanggil. Is dah menunggu adiknya di luar pintu dewan. Sekejap lepas tu Han pula menyusul. Bila nama Az dipanggil aku terus menunggu Az datang kepadaku. Dari jauh, Az dah menunduk dengan wajah yang muram. Is peluk aje adik dia. Han pun peluk adik dia. Bila sampai kat aku, Az hulur slip UPSR dia gaya nak tak nak dan terus duduk sebelah aku. Aku ucap tahniah pada Az. Beritahu dia dah bagus dah keputusan dia. Tapi Az terus tunduk aje. Aku tahu dia dah menangis dah waktu tu. Sebaknya  bila tengok kehampaan dia. Aku peluk Az cakap aku bangga pada dia. Han dan Is pun cakap perkara yang sama pada Az dengan mata yang berkaca-kaca. Ikut sebak juga bila tengok adik dia orang sedih sangat macam tu. 

Puas aku, Han dan Is pujuk Az. Tapi dia terus sedih. Terus menangis takde suara dan tak angkat muka. ALLAH.. sedih sangat agaknya. Terus aku ajak dia balik aje dan cakap happy-happy nak belanja makan. Tapi dia tak heran pun nak pergi makan. Dah sedih sangat. Sebelum balik tu sempat jumpa dengan cikgu-cikgunya nak ucap terima kasih sebab tahun depan dah takde anak-anak aku bersekolah di situ lagi. Semua cikgu pun ucap tahniah pada Az dan kata dah baik dah keputusan dia tu. Pujuk cakap jangan sedih sangat. Cikgu-cikgu yang kenal Han dan Is, cakap bisik-bisik dengan aku kata agaknya Az sedih sebab dia tak dapat sama macam abang dengan kakak dia. Mungkinlah juga. Padahal pada aku sendiri, semua itu tak jadi hal langsung. Takde perbandingan antara keputusan anak-anak aku  sendiri mahupun anak-anak orang lain. Bagi aku Az sedih sebab dia tak mencapai targetnya sendiri. Keputusan Az dah meningkat dari yang sebelumnya pun dah cukup baik untuk aku. Bila Az terus sedih kami terus bawak dia balik walaupun ramai lagi pelajar dan ibu bapa terus berada di sekolah tu. Sebelum balik rumah aku bawak anak-anak pergi makan dulu. Bukan main baik lagi Han dengan Is layan adik dia yang sedih tu. Tapi Az terus diam. Tanya pun dia diam aje. Buat-buat lawak pun dia tak gelak. Aduhailah anak. Balik rumah aku suruh dia tidur kejap sebelum pergi sekolah agama biar tenang sikit perasaannya tu.

Lepas zohor waktu nak hantar Han ke sekolah, ada kotak KFC kat atas tembok pagar rumah. Rupanya cikgu yang bagi dan kirim pada kawan Az yang tinggal satu taman sebab Az dah balik awal. Terima kasih banyak buat gurunya yang prihatin. Itu pun tak buat Az senyum lagi. En.asben balik kerja pun dia sedih lagi. Bila ayah ucap tahniah dan peluk, Az menangis lagi. ALLAH. Sebelum balik kerja lagi en.asben dah ajak makan di luar untuk meraikan Az. Tapi bila tanya Az nak makan kat mana dia senyap aje. Jadi bagi dia masa untuk fikir dulu. Lepas maghrib kami baca yaasin sama-sama. Lepas tu en.asben hantar Az pergi kelas keyboard. Ambil dia dari kelas baru pergi makan. Itu pun dia tak cakap juga nak makan kat mana. Sudahnya pergi makan kat D'One Steak Bangi aje. Dekat dengan rumah sebab semua orang dah lapar he..he.. Hari jumaat tu pun sedih juga lagi. Tanya sepatah, jawab sepatah. Patah hati betul dia! Petang tu dapat kat WA tentang pengumuman dari Kementerian Pelajaran kata keputusan 3A3B pun layak untuk memohon ke sekolah asrama penuh. Aku tunjuk kat Az mesej tu. Tunjukkan juga graf pemarkahan yang naik untuk tahun ni. Barulah dia senyum sikit. Walaupun bukannya dia nak masuk asrama, tapi dia dah dapat terimalah yang keputusan dia masih lagi baik. 

Hari sabtu ada hari konvokesyen di sekolah agama. Muka nampaklah ceria sikit. Pagi tu dia yang baca doa untuk majlis. Lepas tu masuk nasyid dia jadi penyanyi utama. Az memang berani bab public speaking ni. Kira dua tiga kali jugalah turun naik pentas. Tak disangka, dia dapat anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang Aulad. ALHAMDULILLAH..Tapi Az ni memang lain sikit. Bila dia dapat apa-apa yang membuatkan dia happy, dia takkan tunjukkan rasa tu. Kita ucap tahniah pun dia buat selamba aje sebab dia malu. Tapi kalau dia frust tak dapat apa yang dia harapkan, mulalah sedih dan tunjuk perasaan tu he..he.. Walau apa pun aku tetap gembira dengan setiap pencapaian Az. Az pun nampak happy semula selepas majlis di sekolah agama tu. Takde dah diam dan sedih lagi. Kalau kita usik-usik dia pun dia dah senyum. Syukur. Petang tu dia datang cari apa entah kat bilik aku. Muka dah terus ceria seperti biasa. Bila tengok dia macam tu, aku pun panggil dia duduk dekat aku. Aku tanyalah, Bb dah okey ke? Dia senyum malu-malu. Lepas tu aku cakaplah kat dia. Inilah yang dinamakan kehidupan! Bukan semua yang kita nak kita dapat. Kita dah usaha, kita dah doa. Jadi apapun yang kita dapat itulah rezeki kita. Jadi kena bersyukur. Tak perlulah nak sedih sangat sebab ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Az angguk aje bila aku cakap macam tu. Harap-harap dia benar-benar memahaminya. Semoga Az dapat pengajaran yang baik dari apa yang berlaku. Bila harapannya tak tercapai, tentulah dia sedih. Semua orang begitu. Yang membezakan hanyalah kadar kesedihan itu dan bagaimana setiap orang menerimanya. Bila tengah sedih, orang lain cakap apa pun, hati tetap sedih. Bila dah tak sedih barulah dapat berfikir dengan tenang. Waktu di majlis sekolah agama, aku jumpa ustazahnya. Tahun ni tahun terakhir juga anak-anak aku bersekolah di situ. Jadi aku nak ucapkan terima kasih buat ustazah-ustazahnya. Bila jumpa ustazah, ustazahnya cerita yang bila dia tanya Az dapat UPSR berapa mata Az bergenang bila beritahu keputusannya. Ustazah tanyalah, mama kamu marah ke? Dia cakap tak. Memang aku tak marah pun sebab aku memang bising time anak-anak taknak berusaha untuk belajar. Lepas dapat keputusan aku selalu cool aje. Ustazah ucap tahniah dan kata Az seorang yang baik akhlaknya. Patuh dan mendengar kata.  ALHAMDULILLAH.. syukur. Terima kasih banyak buat semua guru-guru, ustaz dan ustazah anak-anakku yang baik budi dan banyak jasanya. Doaku semoga kesemua guru, ustaz dan ustazah mereka sentiasa di rahmati ALLAH. Semoga anak-anak kita semua cemerlang di dunia dan di akhirat.


Az dengan anugerah sekolah agama yang dia dapat 
dan dengan mata bengkak yang dia dapat sebab sedih sangat sebelum tu..

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Friday, September 30, 2016

Keputusan Peperiksaan Percubaan..

Assalamualaikum.. 

Salam Jumaat yang mulia buat semua.

Hari ini, Az akan menduduki kertas terakhir untuk peperiksaan PSRA. Hari ni paper tajwid. Doaku, semoga Az dan semua pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut akan dapat buat yang terbaik dan dapat menjawab semua soalan dengan tepat, betul dan sempurna. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan.. in shaa ALLAH. Dah selesai ni nanti, bolehlah Az start horey-horey esok. Aku pun boleh fokus pada Is dan Han aje nanti. Usaha dah, doa dah, kita tunggulah nanti apa saja keputusannya untuk UPSR dan PSRA. Han dan Is pun dah selesai dengan peperiksaan percubaan SPM dan PT3. Ada lebih kurang 11 hari lagi untuk Is menduduki peperiksaan sebenar PT3. Seperti biasa, anak-anak rileks macamkan takde apa. Mamanya pulak yang kalut lebih he..he.. Semalam Han dah dapat semua keputusan percubaan SPMnya. Bila semua keputusan percubaan anak-anak dah dapat, aku terasa nak kongsikan di sini. Saja nak buat kenang-kenangan untuk dibaca di kemudian hari. Paling best baca selepas dah keluar result UPSR, PSRA, PT3 dan SPM nanti. Alang-alang blog selalu bersawang, ada juga cerita untuk dikongsi di sini he..he..

Untuk Az, peperiksaan percubaan UPSRnya dapat 2A 4B. Alhamdulillah.. ada peningkatan dan kenaikan markah dalam setiap mata pelajaran. Itu pun dah buatkan aku rasa seronok. Syukur.. Aku tahu dia dah berusaha sebaiknya. Az agak lemah dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Tapi bila dari D dah boleh naik B, ianya dah buatkan aku rasa bangga. Jadi setiap peningkatan dan kenaikan markahnya sangat aku hargai. Terima kasih banyak buat guru-gurunya. Sebelum ni memang aku tak nampak Az  belajar sangat. Tapi untuk waktu peperiksaan, nampaklah usahanya untuk tekun mengulangkaji. ALLAH.. itu pun dah buatkan aku rasa berbesar hati. Semoga usahanya diberkati. Semoga Az dan semua pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR dan PSRA direzekikan untuk mendapat 6A dalam UPSR dan Mumtaz dalam PSRA serta keputusan yang cemerlang.. in shaa ALLAH.

Untuk Is, peperiksaan percubaan PT3 tiada A yang dia dapat. 5B 4C. Tapi dia punya rileks tu buat aku jadi lagi gelabah pulak ha..ha.. Minggu lepas ada perjumpaan ibu bapa dan guru di sekolah. Tapi boleh dia tak beritahu aku. Nasib baik kakak ipar beritahu. Kalau tak memang aku tak tahu. (Itu pun tahu selepas hari kejadian he..he..). Bila tanya Is, dia kata dia lupa nak beritahu.  Iyalah tu lupa. Sajalah tu, taknak dengar mama dengan ayah bebel he..he.. Alhamdulillah..  walaupun takde yang dapat A, setiap mata pelajaran nampak ada peningkatan dari segi markahnya. Itu pun dah buatkan aku suka. Puas aku cakap, kalau usaha lagi mesti boleh. Sebab aku tahu, anak-anak aku memang jenis yang sederhana dalam pelajaran. Jadi usaha kena lebih untuk cemerlang. Kita tengoklah apa keputusannya dalam peperiksaan PT3 yang sebenar nanti. Aku tahu, dia sendiri nak keputusan yang baik. Tapi dia tak tunjuk. Sekarang ni nampak dia rajin  sikit nak berpuasa sunat dan mengaji Al-quran. Perkara itu lebih membuatkan aku berasa sangat-sangat gembira. Semoga Is dan semua pelajar yang menduduki peperiksaaan PT3 direzekikan untuk mendapat 11A dan keputusan yang cemerlang.. in shaa ALLAH.

Untuk Han, peperiksaan percubaan dia dapat 5A 3B 1C. Alhamdulillah... pertama kali dia dapat B untuk add math dan C untuk fizik. Itu pun dia dah suka sangat. Aku tentulah rasa cukup bersyukur. Rasa seronok sangat bila ada peningkatan dalam setiap markah. Aku nampak usaha dia. Aku tahu memang tak mudah untuk dia. Setiap pagi, bila aku bangun pukul 5 tu, bilik Han memang dah terang. Dia bangun untuk solat dan mengulangkaji. Aku tahu dia dah usaha. Jadi setiap usahanya perlu aku hargai. Apa yang penting, aku nak dia tahu, takde jalan mudah untuk berjaya. Bukan semua orang dilahirkan sebagai genius. Bila kita cuma pelajar yang biasa-biasa, usaha kita perlu luar biasa. Setelah berusaha, yang lain tu kita serahkan pada ALLAH. Semoga Han dan semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM direzekikan untuk mendapat 9A dan keputusan yang cemerlang.. in shaa ALLAH.

Sebagai ibu, tentulah kita lebih tahu prestasi setiap anak-anak kita. Kalau kita push lebih dari biasa, bukannya sebab kita nak anak-anak kita setanding dengan anak orang lain. Tapi kita nak anak-anak rasa manisnya kejayaan setelah mereka berusaha. Tipulah kalau kata tak kisah anak-anak dapat berapa pun dalam peperiksaan besar. Tentu saja setiap ibu bapa nak anak-anak dapat keputusan yang cemerlang. Tapi cemerlang itu bukanlah untuk dibuat perbandingan dengan keputusan orang lain. Cukuplah cemerlang itu dibandingkan dengan keputusan yang sebelumnya. Dari situ kita boleh perbaiki apa yang lemah. Boleh terus pertingkatkan apa yang sudah cemerlang. Paling penting, semoga kecemerlangan mereka itu dapat membuatkan guru-guru yang banyak berjasa pada mereka rasa berbesar hati. Itulah hadiah terbaik untuk penat lelah guru-guru mereka. Jom, kita doakan segala yang terbaik untuk anak-anak kita. Semoga anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, mempunyai akhlak yang mulia, menjadi anak soleh yang membahagiakan dan cemerlang di dunia dan akhirat.. in shaa ALLAH.

Salam hormat untuk semua.. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, September 26, 2016

Percutian Cuti Sekolah ke Bayou Lagoon Melaka..

Assalamualaikum..
 
Alhamdulillah.. Cuti sekolah, cuti raya haji dan cuti Hari Malaysia dah berakhir. UPSR yang Az dan semua pelajar tahun 6 duduki pun dah berakhir. Minggu lepas anak-anak dah mula sekolah. Alhamdulillah.. Raya haji kami balik beraya di kampung en.asben di Sabak Bernam.  Sehari sebelum raya, keluarga emak mentua mengadakan Hari Keluarga. Alhamdulillah.. majlis berjalan lancar dan meriah. Pada Hari Raya Aidiladha, selepas solat raya, makan-makan, kemas-kemas semua kami pun balik ke Bangi. Hari selasa dah mula kerja. Best juga bila kerja hanya 3 hari sebelum cuti semula untuk Hari Malaysia.

Pada mulanya memang tak plan pun untuk ke mana-mana waktu cuti sekolah. Tapi bila tengok ada cuti panjang sikit, terasa rugi pulak kalau tak gunakan dengan sebaiknya. Lebih-lebih lagi bila aku dan en.asben tak perlu mengambil cuti tambahan. Lagilah rasa sayang sangat kalau tak bawa anak-anak ke mana-mana di kesempatan yang ada. Maka, sebelum hari raya tu aku dah mula mencari-cari tempat untuk bawa anak-anak pergi bercuti. Waktu tu pula dah teringat yang Az dah habis UPSRnya pada tarikh tu. Jadi boleh sangatlah kalau nak bawa anak-anak pergi bercuti. Google punya google, hatiku terberkenan dengan Bayou Lagoon Melaka. Anak-anak memang suka main air. Tengok slide-slidenya pulak macam banyak dan meriah. Jadi terus aku booking hotel tu.

Slide-slide mengancam di Bayou Lagoon Melaka 
yang membuatkan hati jadi tertambat :)

Aku booking apartment 3 bilik di Bayou Lagoon pada Hari Malaysia. RM 570 semalam termasuk tax tanpa sarapan. Dapat sekali pass masuk ke waterpark untuk 6 orang. Bagi aku berbaloilah harga tu walaupun kalau booking pada hujung minggu biasa yang bukan cuti sekolah dan cuti umum harganya lebih rendah lagi. Apartmentnya besar. Bilik bersih dan selesa untuk kami sekeluarga yang seramai 10 orang. Towel dan iron semua ada. Kat dapur ada peti ais kecil dan cerek air panas. Dapur masak takde. Kami dapat bilik di tingkat 11 di Amari Villa. Satu bangunan dengan reception counter. Satu lagi blok Tahiti Villa. Parking ada banyak. Kalau parking di tempat parking bertingkat ada perkhidmatan buggy yang disediakan untuk pelanggan hotel. (Dalam gambar di atas bangunan bertingkat yang sebelah kanan tu).

Waktu nak check in punyalah ramai orang. Tapi sebab ada sistem nombor giliran yang macam di bank tu, takdelah kita perlu berdiri lama. Boleh tunggu sambil duduk aje. Alhamdulillah.. tak lama sangat pun masa menunggu. Kami sampai di hotel dalam pukul 2.15 petang. Dalam 2.30 petang dah dapat check in. Sementara nak tunggu dapat kunci aku bawak anak- anak ke waterpark dulu. Rugi buang masa menunggu. Jadi kita settlekan anak-anak dulu biar tenteram hati dia orang tu yang dah tak sabar-sabar nak main air ha..ha... Sementara aku uruskan anak-anak, en.asben uruskan soal beg-beg kami dan urusan mengambil kunci. Tepat pukul 3 petang dah dapat dah kunci bilik. Kiranya efisienlah juga Bayou Lagoon ni. Takdelah perlu menunggu lama. 

Menunggu penuh selesa untuk check in. Ada sistem nombor giliran untuk check in dan check out. Kaunternya pun ada banyak. 7 kaunter kalau tak silap aku.

Alhamdulillah.. kami dapat apartment di tingkat 11. Bangunan tu setinggi 12 tingkat. Jadinya kami tingkat yang second last. Gayat jangan cakaplah ha..ha.. Berdiri kat balkoni aje aku mula ketar. Nak ambil gambar pun mengigil he..he.. Alhamdulillah.. rezeki betul bila apartment kami dapat yang mengadap waterpark. Paling best bila dari tingkap bilik pun boleh nampak waterpark. Syukur sangat-sangat. Memang waktu booking tu aku dah request  yang aku nak apartment yang mengadap waterpark walaupun dah terang-terang dah waktu booking diberitahu yang semua apartment yang ditempah mengadap pemandangan bandar bukan mengadap waterpark. Sebelum-sebelum ini, kalau booking di Agoda atau Booking.com, aku tak pernah letak apa-apa special request. Tapi rupa-rupanya bila kita letakkan special request tu, pihak hotel akan layan juga. Kalau ada rezeki kita dapatlah. Alhamdulillah.. masuk kali ni dah dua kali aku request apa yang aku nak dan aku dapat.  Jadi jangan segan-segan nak minta apa yang kita mahu waktu booking tu tau. 

Kita minta, kita dapat..
Pemandangan dari tingkap bilik hotel anak-anak.. 
(Jangan risau, kesemua tingkap bilik tidak boleh di buka dari dalam.. 
Jadi keselamatan lebih terjaga). 

 Pemandangan dari balkoni hotel..
Syoklah kami melepak kat balkoni tu sambil borak-borak dan lihat kemeriahan di bawah tu.

 Pemandangan dari balkoni hotel juga..
Senang nak tengok anak-anak di bawah tu.
Punyalah banyak slidenya. Tapi aku cuma mampu naik 1 aje.
Yang lain aku dah gayat. Biarlah anak-anak aje yang naik he..he..  
Mama yang gayat duduklah diam-diam jadi pemantau..  
Gambar waktu mandi manda satu pun takde sebab aku pun sibuk nak mandi sama. Jadi malas nak bawak turun HP.

Pandangan dari bilik aku dan. en.asben.
Ini gambar waktu pagi. Jadi memang kosonglah takde orang 
sebab waterpark tak buka lagi. 
Waktu operasinya pukul 8 pagi hingga 7 petang

Alhamdulillah.. anak-anak enjoy bermandi manda di situ. Alhamdulillah.. anak-anak pun semuanya jenis berani nak try semua slide-slide tu. Tak macam mamanya ha..ha.. Jadi sangatlah berbaloi bawa mereka bercuti di situ. Siap turun slide pegang tangan ramai-ramai. Maklumlah adik beradik ramai ;) he..he.. Kalau tak menginap di hotel tu pun boleh datang untuk mandi saja. Harga pass waterpark sehari untuk cuti sekolah dan cuti umum, RM28 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Kalau menginap di Bayou Lagoon, pass waterpark valid untuk 2 hari. Dari 12 tengah hari waktu check in sampai 12 tengah hari esoknya. Alhamdulillah.. dapatlah anak-anak mandi puas-puas untuk 2 hari. Tapi sebab anak ramai, kami kena tambahlah juga beli pass waterpark tu sebab 6 pass mana cukup he..he..

Hari pertama tu, lepas dah temankan anak-anak masuk water park aku terus naik ke bilik dulu. Kemas-kemas barang apa yang patut.  Dah settle semua baru turun semula untuk mandi manda ehh.. temankan anak-anak mandi  betulnya he..he..  Bayou Lagoon ni pulak dekat benar dengan rumah makcik aku yang di Ayer Keroh. Kalau lalu jalan shortcut  tak sampai 10 minit pun dah sampai. Jadi kami ajak makcik aku dan ahli keluarganya ikut serta. Sepupu aku rileks aje main semua slide tu siap bawa anak. Siap tarik aku untuk naik sama. Tapi aku sangatlah tak berani. Lepas cuba sekali terus tak nak dah. Entah kenapa setiap kali naik gelongsor, aku mesti ada rasa menyesal. Bukan waktu beratur. Bukan waktu nak turun gelongsor. Tapi rasa tu datang waktu dah separuh perjalanan aku turun dari gelongsor. Perasaan yang entah apa-apa. Boleh bayangkan tak, waktu tengah laju, dengan gelongsor yang licin timbul rasa menyesal waktu tu. Nak tahan diri pun dah tak boleh. Nak cool down pun dah tak boleh. Nak redha tak redha. Bila masuk aje dalam air teruslah rasa panik dan tanam dalam hati rasa taknak naik dah ha..ha.. Haishhhhh.. APTB.


Waktu ni dah pukul 7 petang. Jadi semuanya dah pulang ke sarang.
Sebelum tu, pukul 5 dah naik juga. Dah penat mandi mulalah perut tu lapar.   Aku dengan emak memang dah bawak bekal nasi dari rumah. Nasi planta, sambal ikan bilis petai, donut, roti, bubur kacang semua. Jadi bila dah lapar aku ajak dia orang naik atas dulu. Solat asar pun belum. Jadi wajiblah naik dulu. Dah kenyang semua, ada yang  turun balik untuk sambung mandi-manda. Aku dah malas nak turun. Pantau dari atas sambil makan buah langsat kat balkoni dengan emak dan makcik-makcik aje he..he..

 Ditakdirkan, pakcik aku yang tinggal di Sungai Buluh pun bercuti juga di Melaka. Jadi kami ajaklah family makcik aku  dan pakcik aku semuanya melepak kat apartment tu. Seronok sangat. Meriah bila dah ramai-ramai. 
Pakcik aku pulak kebanyakannya memang jenis yang suka melayan budak-budak. Lagi seronoklah cucu-cucunya bila atuknya melayan.
En. asben aku melayan komputer. Ada kerja pulak kena buat time cuti tu.

Makan time!
Malam tu sepupu aku belanja dinner. Dah ramai-ramai malas pulak nak pergi makan kat luar. Sepupu aku pun ada anak kecik-kecik. Lagilah dia malas nak makan kat luar. Jadi sepupu aku dengan suami dia pergi belikan makanan kat luar. Ada berjenis-jenis nasi goreng yang dia beli. Siap beli satay. Paling special ada lepat pisang inti kelapa banyak panas-panas air tangan mak mertuanya. Semoga terus murah rezeki sepupuku Nana sekeluarga. 

 Penuh padat.. Seronok sangat..
Tapi lepas makan tu ramai yang balik. Tak menginap pun di situ.
Pakcik aku dan keluarganya menginap di hotel lain.

 
Best aje stay kat tingkat tinggi-tinggi. Tidur boleh buka langsir. Bilik pulak tak mengadap bangunan lain. Lagilah best rasanya..
Seronok nampak lampu-lampu yang jauh tu. 
Rasa privacy sangat. En. Asben yang ada kerja tetap kena mengadap komputer juga sebelum tidur. Tapi sibuk melayan  review pasal jam dulu. Kalau tak tak boleh buat kerja dengan tenang he..he..

 Bangun tidur subuh tu seronok aje bila nampak pemandangan ni..
Lock tingkap tu memang dah seal. Jadi memang tak boleh dibuka. 
Rasa selamat sebab risau sangat keselamatan anak-anak.

Alhamdulillah.. hari yang  gelap, kini sudah terang. 
ALLAH.. syukur direzekikan untuk terus bernafas lagi.

Pagi tu anak-anak repeat mandi manda lagi. Sarapan memang malam tu dah kirim kat sepupu aku untuk tolong belikan. Jadi lepas sarapan aje mana yang tak puas mandi semalam turun mandi lagi. Pukul 11.30 semua yang mandi naik. Makk aiiiii.. hitam legam semuanya. Mahu tak. Panas sangat waktu tu. Aku nak duduk bersidai kat balkoni pun tak tahan perit panasnya.  Emak aku awal pagi dah ikut makcik aku keluar ke pasar dan balik rumah makcik aku terus selepas tu. Jadi tinggal aku, en.asben, anak-anak dan anak sepupu aku yang masih nak mandi lagi pagi tu. Sementara dia orang mandi aku kemas-kemas barang semua. Dah settle semua sempat tidur sekejap. Ahh.. bestnya. Dia orang naik, terus packing baju-baju basah. Pukul 12 kami turun untuk check out. Check out pun lancar. Kami beruntung sebab dapat apartment di tingkat 11. Jadi senang aje dapat lif turun. Kesian yang dapat tingkat rendah-rendah. Sebab setiap kali lif terbuka semuanya penuh.

Waktu berjalan nak ke parking bertingkat, ada buggy hon kami. 
(Sebelum tu tak tahu pun ada perkhidmatan buggy ni he..he..) 
Alhamdulillah.. Terus semua muka happy sebab tak perlu nak menapak 
jauh-jauh dengan beg yang banyak. 
Syukur.. Rezeki ALLAH datang dalam pelbagai cara.

Semua seronok dapat naik buggy. He..he.. lebih seronok sebenarnya bila tak perlu nak heret beg. Buggy tu pulak jenis yang panjang. Memang ngamlah untuk kami yang ramai-ramai tu. Semua dapat duduk dengan selesa.. 
Tempat letak beg di belakang pun luas.

Alhamdulillah.. Anak-anak happy.. Mama lagi happy. Terima kasih ALLAH.  

Selepas dah masukkan beg semua dalam kereta, kami keluar dari parking bertingkat dan park kereta kat area depan-depan lobi hotel. Waktu check out senanglah nak dapat parking kosong di situ. Sebabnya dah janji dengan anak-anak nak bagi dia orang masuk 9D teater. Harga tiket RM16 untuk seorang. Waktu nak beli tiket, boleh pulak separuh dari anak-anak ubah fikiran. Tak jadi nak masuk tengok teater 9D ni. Sebabnya, kat area depan 9D teater tu ada tempat main game. Jadi mereka lagi tertarik dengan game-game tu. Budak-budak kan. Kalau jumpa game, hidup. Padahal malam sebelum tu dah turun main. Dia orang ingat, kalau dia orang tak masuk teater 9D tu, aku akan bagi harga tiket untuk setiap seorang buat main game. Memang silaplah he..he.. 
Aku bagi RM20 aje. Sharelah korang ramai-ramai. Malam sebelum tu dah bagi RM20 juga buat main game. Itu pun suruh share he..he.. Aku bab benda membazir ni memang berkira sikit. Tapi sesekali kena mengalah juga untuk raikan keinginan anak-anak..

Sudahnya, daripada semua yang beria nak tengok 9D tu, cuma 5 orang aje yang masuk. Kat luar tu ada skrin untuk kita  tengok reaksi anak-anak kat dalam. Gelak sakan aku dengan en.asben tengok riak anak-anak. Pilih pulak cerita zombie.. memang asyik terkejut-terkejut ajelah semuanya sampai ada yang siap naik kaki atas kerusi ha..ha..

Selepas anak-anak dah selesai dengan 9D teater dan games, kami pun keluar dari Bayou Lagoon. Saja nak jalan-jalan dulu sebelum ke rumah makcik aku. Ajak en.asben ke Bandar Melaka dia reject. Jadi kami jalan-jalan aje sekitar Ayer Keroh. Tapi bila jalan sesak kami terus masuk kat MyDin. Jalan kat luar-luar tu aje cuci-cuci mata. Lepas tu singgah makan kat food court. Itu pun semua makan yang lite-lite aje. Petang tu memang makcik aku memang ada plan nak buat sambutan hari jadi untuk anak dan cucunya. Lagilah semua orang tak rasa nak makan yang berat-berat dulu. Nanti kalau dah makan penuh pulak perut nanti untuk makan lagi petang tu. Lepas makan, kami singgak ke Secret Recipe area depan MyDin tu. Belikan kek untuk sambutan hari jadi di rumah makcik aku nanti. Sebelum sampai rumah makcik aku, turunkan dulu anak-anak untuk gunting rambut. Sekolah kan dah nak buka waktu tu. Jadi eloklah pendek-pendekkan dulu rambut anak-anak bujang aku tu. 

Dalam pukul 3++ majlis sambutan hari jadi di rumah makcik aku pun bermula. Sebab Is dengan FAF pun lahir dalam bulan september, jadi dekat kek aku letak sekali nama anak-anak aku he..he.. Boleh tumpang sambut sekali sama-sama.

Kesayangan semuanya ni..
Happy birthday Nana, Farid, Zamarul, Is dan Fareez..

Alhamdulillah potong kek bersama..
Semoga semuanya terus mendapat keberkatan umur, kesihatan yang baik, kemanisan iman, kemurahan rezeki, kemuliaan hati, keindahan budi pekerti dan kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.. In shaa ALLAH.. semoga segala yang baik-baik mereka dan kita semua perolehi..
 In shaa ALLAH.

Kek dan pulut kuning.. 
Kedua-duanya sama sedap..
Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. meriah bila sesekali dapat berkumpul..

Dalam setiap solat, aku selalu berdoa agar dapat sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dengan sebaiknya.. Semoga ALLAH makbulkannya.


Semoga keluarga tetap selalu di hati.. in  shaa ALLAH...

Alhamdulillah.. bila emak nampak seronok, aku rasa lebih seronok.


Sebelum majlis layan makan buah dulu.. eh.. durian pun ada.. tapi takde dalam gambar..

Happy moment.. Thank you ALLAH..

Makanan hari tu meriah.. tapi tak sempat nak ambil gambar sebab makan lagi best dari ambil gambar he..he.. Ada pulut kuning dengan kari ayam yang mabeles, sambal kerang terangkat, ada nasi kerabu sedap tak ingat dan macam-macam lagi.. Alhamdulillah.. Syukur.. ketat perut dibuatnya. 
Pukul 6 petang, kami bertolak balik ke Bangi. 
Alhamdulillah.. percutian singkat yang indah buat kami sekeluarga.

Salam hormat untuk semua.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua.. Fi Amanillah.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...