Hari ini keputusan SPM keluar. Tahniah untuk semua pelajar yang berjaya. Yang tidak berjaya tu, boleh usaha lagi. Tak perlu nak gundah gulana sangat. Perkara dah lepas pun. Dunia belum berakhir andai tidak berjaya dalam SPM. Banyak lagi cara untuk mencipta kejayaan. Pokok pangkalnya kita mahu terus berusaha. Jangan pula terus diulit kecewa. Teringat lagi waktu zaman SPM ku dulu. Ada juga teman-teman yang terpaksa mengulang SPM sekali lagi menjadi lebih berjaya kini. Malah ada juga yang lebih berjaya dari mereka-mereka yang cemerlang dahulu.
Bercerita tentang SPM ni teringat pula zaman-zaman aku di tingkatan 5. Zaman sekolah dulu aku ada 3 orang kawan baik. Waktu itu untuk peperiksaan SPM kami boleh memilih samada Subjek Pendidikan Islam atau Lukisan untuk SPM. (Sekarang ni macam tu lagi ke?? Aku tak pastilah). Waktu itu aku dan seorang lagi temanku memilih subjek Pendidikan Islam. Manakala 2 orang temanku lagi memilih subjek Lukisan. Untuk pelajar beragama islam walaupun tidak mengambil subjek Pendidikan Islam dalam SPM, wajib juga untuk masuk ke kelas untuk subjek itu. Jadinya bila waktu Pendidikan Islam memang kami berempat akan masuk belajar bersama juga.
Pada pertengahan tahun kami di tingkatan 5, kedua-dua temanku yang mengambil subjek Lukisan itu berkerja part time di Mc D pada waktu malam. Jadinya kadang kala bila di dalam kelas, mereka berdua akan mengantuk. Untuk subjek lain mereka memang tidak boleh tidur kerana subjek lain masuk periksa. Maka dalam subjek Pendidikan Islam saja peluang untuk mereka melelapkan mata. Makanya tiap kali mereka berdua mengantuk, kami yang berdua inilah yang terpaksa cover. Selalunya kami akan pilih dua meja di depan dan dua meja di belakang. Kedudukannya pula mestilah di barisan tengah kelas sebab pelajar-pelajar yang di depan atau di belakang selalu lebih di beri perhatian. Puaslah kami berdua duduk tegak sambil memberi sepenuh perhatian kepada pengajaran ustazah. (Kalau time tak cover kawan tak pula gitu. Asyiklah sok sek sok sek aje dalam kelas he..he..).
Manakan tidak, kami kena selalu peka dengan pergerakan ustazah agar kawan kami yang berdua di belakang tidak tertangkap. Kalau ustazah bergerak, badan kami juga terpaksa bergerak agar melindungi teman yang di belakang. Ini juga memberi kami ruang untuk kami mengejutkan mereka pada waktu yang perlu. Berkat dari kesungguhan aku memberi "sepenuh tumpuan" pada ustazah itu dalam pengajarannya, aku dapat A1 untuk subjek Pendidikan Islam dalam SPM. Bukan setakat aku, ustazah pun tak sangka. Alhamdulillah. Terima kasih jugalah untuk teman-temanku yang berdua itu. Kalau tak disebabkan aku terpaksa cover mereka, tentunya aku tidak memberi tumpuan sebegitu di dalam kelas. Tanpa tumpuan memang susah juga aku nak score rasanya.
PS : Perbuatan ini bukan untuk di tiru yer..