Bila kerja-kerja membasuh baju selalu dibantu oleh mesin basuh, bila nak membasuh guna tangan terasa bercinta. Setiap pagi memang termenung dulu sebelum membasuh baju. Maklumlah, yang hendak dihadap bukannya sehelai dua. Tapi sebakul penuh siap bertimbun lagi. Tapi dalam pada dok termenung-menung tu, dekat 3 bulan lebih juga aku bertahan dengan mencuci pakaian secara manual. Mesin yang lama buat hal elok saja kami berura-ura nak buat dapur baru. Bukannya tak boleh dibaiki tapi sebelum ni mesin basuh tu letakknya di luar. Jadinya bahagian luarnya dah jadi kusam. Sudahlah dindingnya pun dah senget benget juga sebab dah banyak kali dok pindahkan tempat. Kejap ke tengah. Kejap ke tepi. Kejap di dalam. Kejap di luar. Itu yang aku pun bertangguh-tangguh nak membeli mesin yang baru. Pertama sebab takut mesin baru tu akan kusam juga bila diletakkan diluar sebelum dapur siap. Kedua kalau boleh taknaklah barang baru asyik beralih tempat lagi sementara nak tunggu dapur siap. Biasalah barang baru kan. Sayang lebihlah.
Sebulan lepas aku dah pergi cari mesin basuh yang baru. Dah booking siap-siap. Ahad lepas bila dapur dah hampir siap sepenuhnya kami pergi buat full payment. Bila tengok balik macam gedabak pulak mesin tu. Sebelum ni beria nak yang besar sikit. Macam kan muatan tujuh lapan kilo tu tak cukup. Itu yang ambil muatan sebelas kilo. Tapi bila nak tukar en.asben kata tak payahlah. Sebab anak-anak pun dah makin besar. Betul juga tu. Memang perlu pun ambil yang besar. So tak jadilah nak tukar. Semalam, kesabaran dan kesungguhan aku berbalas. (Macam selama ni basuh kat sungai pulak kan). Mesin basuh baru dah sampai. Sebab tahu mesin basuh nak sampai makanya dua hari aku tak basuh baju. Dan semalam, baju dua hari tu dah selamat aku cuci dengan satu load saja. Terus rasa pilihan membeli mesin yang besar sikit adalah pilihan yang tepat untuk keluarga kami. Malam tadi tidur pun senyum, sebab tahu bangun pagi dah tak payah termenung lagi macam selalu.
Tiada lagi sesi termenung pagi-pagi selepas ada yang ini. Hitachi Sparkle Beat yang mengantikan National Niagaraku yang sudah 13 tahun memberikan perkhidmatannya dengan cemerlang. Dulu masa kerja Hitachi tak heran nak beli barangan Hitachi walaupun dapatlah sikit diskaun untuk staf. Bila dah tak kerja Hitachi barangan Hitachi juga yang dicari. Gambar masih nak pinjam kat en.google walaupun boleh aje ambil sendiri kat rumah he..he.. Terima kasih banyak dari Puan Tukang Pilih kepada Encik Tukang Bayar. Lembutlah balik tapak tangan I yang memang tak berapa nak lembut ni.
p/s : Selamat hari jadi buat sesiapa yang lahir pada tarikh 29 Februari ni. Lepas ni, 4 tahun lagilah dapat wish on the dot macam ni. Have a nice day.