Showing posts with label Han. Show all posts
Showing posts with label Han. Show all posts

Wednesday, November 28, 2012

Tentulah Ain pilih Am..

Assalamualaikum...

Minggu ni terasa macam banyak perkara yang serba tak kena. Entah kenapa aku sendiri pun tak tahu. Walaupun kalau nak diikutkan, tak ada apa-apa pun yang tak kena.  Harap-harap semuanya akan baik-baik saja, insyaAllah..

Malam tadi tengok cerita Adam dan Hawa. Sekarang ni dah sampai part yang Ain Hawani dah boleh nak terima Adam Mukhriz. Sekarang ni juga Johan pulak buat perangai nak jugak dengan Ain tu semula. Siap suruh emak dia pergi meminang Ain. Dah elok-elok dengan Azie masih nak juga kat Ain lagi.  (Rasanya dalam novel Adam dan Hawa takde pun babak yang macam tu. Ke aku yang tak ingat babak yang tu ekk?). Hmm.. tak kisahlah kan. Tapi sekarang ni dah nampak macam Johan tu seorang yang tak tetap pendirian. Lagilah senang Ain nak buat pilihan antara Am dengan Johan kalau dah macam tu gayanya.

Han siap komen... Ala, kenapa dia orang pilih pelakon tu sebagai Johan. Memang senanglah Ain tu nak pilih yang mana..

He..he.. aku senyum saja mendengar komen dari anak dara aku tu. Tentulah bagi Han paras rupa Aaron Aziz sebagai Adam yang lebih menandingi paras rupa pelakon sebagai Johan tu pastinya membuatkan Ain senang nak menetapkan pilihannya. Itu pandangan Han yang membuat pemilihan itu berdasarkan paras rupa. Mungkin kalau watak mereka bertukar, Aaron sebagai Johan dan watak pelakon Johan sebagai Adam tentu dia akan kata, pilih Johan pun okey juga he..he..  

Kebiasaannya begitulah. Kita cenderung untuk memilih paras rupa seseorang sebagai kriteria utama dalam membuat pemilihan. Tapi akhirnya, peribadinya juga yang akan lebih menawan hati kita. Paras rupa bukannya ukuran untuk kita menilai seseorang. Tapi keperibadian seseorang itu yang perlu lebih diambil kira. Macam sekarang ni, Adam yang mempunyai keperibadian yang cukup setia menunggu Ain pastinya akan mengalahkan Johan yang sedang menunjukkan sifat sebenarnya yang tidak tetap pendirian tu.

p/s: Mama harap Han faham apa yang mama cuba nak sampaikan he..he.. Rupa paras bukan ukuran utama ya sayang..

Salam hormat untuk semua. Take care.

Monday, April 23, 2012

13 tahun yang lalu..

22 April 1999

13 tahun yang lalu aku selamat melahirkan anak sulungku. Lebih kurang pukul 4 pagi aku terbangun untuk membuang air. Waktu itu sudah keluar tanda untuk aku bersalin. Ada darah yang keluar. Selepas solat subuh, en.asben membawaku ke pusat rawatan. Sebelum itu en.asben sempat membacakan surah Maryam ayat 15~30. (Ayat selusuh untuk memudahkan proses bersalin dengan keizinan dari Allah menurut ustazah yang mengajarnya kepadaku).  Waktu itu sakit sudah mula terasa. Pengalaman pertama memang sangat mendebarkan. Pukul 8 pagi aku di tolak ke bilik bersalin bersama en.asben. Dari bukaan, doktor menganggarkan aku akan bersalin dalam tiga atau empat jam lagi. Tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Sejam kemudian aku selamat melahirkan puteri sulungku  pada jam 9.05 pagi. Bayi perempuan seberat 2.75 kg. Pipinya bulat. Matanya sepet. Hidungnya tidak tinggi. Melihat bayi-bayi di dalam bilik bayi dari cermin kaca, dialah bayi tercomel di mata aku dan en.asben. Anak sendirikan, pastinya merekalah yang terindah di mata kita.

Sehari kemudian aku dibenarkan pulang ke rumah. Terasa indahnya bila rumah kami diserikan dengan kehadiran seorang bayi yang menjadi kesayangan kami. Esoknya en.asben dan emak membawanya ke klinik kerana demam kuning. Aku masih ingat petang itu emak dan en.asben pulang ke rumah tanpa bayiku bersama. Dia perlu ditinggalkan di pusat rawatan untuk di letakkan di bawah lampu. Terasa suram rumah rasanya walaupun baru hanya sehari dia berada di rumah kami. Aku mula sebak dan terasa kehilangan. Malam itu aku berbaring di sofa. En.asben pula berbaring di sofa yang satu lagi. Kedudukan kami saling mengadap. Tanpa kata kami berpandangan. Mata kami berdua sama-sama berair. Kiranya kami berkongsi perasaan yang sama. Mula kerinduan pada insan yang baru hadir dalam kehidupan kami berdua.

Kenangan itu sudah 13 tahun berlalu. Tapi setiap kali mengingatinya, aku masih terasa sebaknya. Semalam hari jadinya yang ke 13. Nampaknya dia masih lagi menjadi puteri tunggal kami. Masih lagi kesayangan ayahnya. Melihat en.asben memeluknya sambil mengucapkan ucapan selamat hari lahir pagi semalam, membuatkan aku terasa rindu pada arwah ayahku. Ini kerana aku dan arwah ayah juga mesra sebegitu. Buat Han, mama doakan semoga Han selamat dunia akhirat. Semoga keberkatan dan rahmat Allah sentiasa ada untukmu puteri kesayangan kami.

Gambar hari Jumaat lepas di majlis kat tempat kerja en.asben. Waktu kecil dulu bukan main bulat badannya dengan pipi labuh. Makin besar ni makin kurus pulak dia. Dia ikut en.asben kot yang maintain slim. Kalau ikut mamanya, puas pulaklah dia nak kena berdiet he..he.. Happy birthday Han!

Friday, April 20, 2012

Diraikan...

Bulan lepas aku ke Ibu Pejabat tempat kerjaku untuk Majlis Ibu Cemerlang. Terasa kerdil sangat diri ini untuk ke Majlis itu bagi meraikan anak-anak yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Sijil dan hadiah disampaikan oleh isteri Menteri. Aku dapat merasakan aura cemerlang bila duduk bersama ibu cemerlang lain.  Harap-harap aku juga dapat jadi cemerlang seperti mereka dalam mendidik anak-anak. Anakku Han, baru melepasi peringkat UPSR. Is dan Az akan menyusul selepas ini. Jauh lagi langkah mereka untuk mengecap kecemerlangan yang seterusnya. Apa yang lebih penting bagiku, biarlah kecemerlangan dalam pelajaran seiring dengan kecemerlangan dalam sahsiah diri dan akhlak mereka. Itu paling utama. Semoga anak-anak turut cemerlang juga dalam mendalami ilmu yang akan dapat membuatkan mereka selamat dunia akhirat. InsyaAllah.

Hari ini, tempat kerja en.asben pula akan  mengadakan Majlis Kecemerlangan Akedemik untuk anak-anak kakitangannya. Majlis di buat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Sekali lagi kami diraikan. Terasa sangat berbesar hati. Terasa seronok bila diri dirai atas kejayaan anak-anak. Alhamdulillah.. Aku dan en.asben masih lagi bertatih untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang. Harap-harap penghargaan sebegini membuatkan kami dapat benar-benar menjadi ibu bapa yang cemerlang dalam mendidik anak-anak kami. Masih banyak kekurangan yang harus kami perbaiki. Semoga segala usaha kami diberkati Allah hendaknya.

Buat anakku, Adira Hanum.. Tahniah sayang. Mama dan ayah rasa bangga. Terima kasih kerana membahagiakan hati kami. Alhamdulillah, aku dapat menumpang rezeki kejayaan anak untuk diraikan. InsyaAllah, bulan hadapan aku dapat menumpang rezeki en.asben pula untuk sesuatu yang selama ini sangat aku impikan. Terima Kasih Allah atas kemurahan rezekiMU. Mohon doakan  ya agar segala perancangan kami nanti dipermudahkan dan mendapat keberkatanNYA. Terima kasih.

Friday, March 16, 2012

Alamak! yang mana satu betul ni???

Anak aku Han cakap, mama ni nak pergi kerja nampak macam nak pergi kenduri aje..

Mak aku pulak cakap, kalau nak pergi kenduri macam nak pergi kerja, simple sangat...

Errr... yang mana satu yang betul ni? Aku ni over ke simple sebenarnya? Confuse aku.

Kalau tanya kat en. asben tentu jawapannya, I tengok okey aje. Tak kiralah aku pakai baju apa. Melaram ke selebet ke, jawapannya memang selalu okey. Sebabnya kalau dia kata simple nanti aku nak tukar baju. Kalau dia kata over nanti aku nak tukar baju jugak. Ingat en.asben nak tunggu lama-lama. Memang tidaklah kan he..he.. So jawapan selamatnya selalu, cantikkkkk sangat. Dah cepat!

Thursday, December 29, 2011

Han masuk SMK Jalan Empat, Is masuk Az-zahrah..

Salam buat semua..

Hari selasa, aku gembira bila dapat surat dari PPD Hulu Langat. Alhamdulillah, permohonan Han untuk masuk ke SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi  di terima. Sebelum ni risau juga kalau Han tak dapat masuk ke Sekolah Berprestasi Tinggi tu. Bukan apa, Han cuma memohon masuk ke sekolah itu. Sekolah berasrama penuh dan MRSM memang tak mohon. Jadinya bila dapat di SMK Jalan Empat tu aku memang bersyukur sangat.

Hari Selasa, aku berduka bila Is dimasukkan ke Pusat Rawatan Az-zahrah kerana demam denggi. Demam sejak sabtu membuatkan aku pergi ke klinik sekali lagi petang selasa tu untuk ujian darah.  Hari ni masih di wad lagi. Tolong doakan agar Is segera sembuh ya. Sejak cuti sekolah bermula memang dugaan betul buat kami. Bergilir-gilir aku dan anak-anak demam. Berulang-ulang pula. Ya Allah, berilah kesihatan yang baik buat kami. Semoga Is segera pulih dari demamnya. Tak sampai hati tengok dia sakit. Sedih sangat.

Nikmat Allah untuk kita syukuri. Ujian Allah juga untuk kita syukuri. Alhamdulillah. Semoga bertambah iman kita kepada Allah dengan segala pemberianNYA untuk kita, insyaAllah. 

Monday, November 21, 2011

Komen yang buatkan aku rasa nak tersenyum, tapi orang lain rasa nak termuntah kot..

He..he.. pertama kali buat entry dengan tajuk panjang. Saja nak bagi amaran siap-siap takut-takut ada yang nak termuntah pula. Jadinya kalau rasa tak nak termuntah bolehlah hentikan pembacaan sehingga di sini. (He..he.. nak buat gempak bukan main sedangkan ceritanya biasa-biasa saja).

Minggu lepas aku ke sekolah anak-anak. Selain nak merai Han dengan keputusan UPSRnya, aku juga pergi untuk mengambil duit bantuan yang seratus ringgit tu. Terima kasih atas bantuan  yang diberi. Alhamdulillah. Duit tu aku dah simpan siap-siap. Takut tersalah guna pula. Amanah kena jaga kan.

Hari terakhir persekolahan Han bercerita tentang soalan kawannya dari kelas sebelah padaku. Yang semalam datang tu kakak eh? Han jawab, Eh, taklah itu mak kita. Mulalah rasa nak kembang bila kawan Han cakap macam tu. Tapi yang lagi nak senyum tu bila kawan Han tak percaya dan cakap Iye ke? Kenapa nampak muda sangat. Macam pelajar universiti aje.

Wah.. macam pelajar universiti yer dik. Hmmm.. muda sangat tu kalau begitu. Apalagi, muka pun rasa nak senyumlah. Err.. ada yang rasa nak termuntah ke? he..he.. Nampak muda memang selalu rasa best. Tapi apa guna nampak muda tapi kesihatan tak berjaga kan. Jadinya kenalah tambah usaha untuk menjaga kesihatan. Kerana itu lebih utama. Jom-jom jaga kesihatan. Biar nampak muda dan sihat selalu. Semoga kita semua mendapat keberkatan umur hendaknya, InsyaAllah.

Friday, November 18, 2011

Terima kasih atas doa kalian..

Salam ceria buat semua. Alhamdulillah, keputusan UPSR Han sudah diperolehi. Aku dengan en.asben memang tidak kisah walau apa pun keputusannya. Dia berjaya kami gembira. Namun kesungguhan dan komitmen guru-guru di sekolahnya membuatkan kami mendoakan keputusan yang baik untuk Han sebagai hadiah buat guru-guru yang begitu dedikasi mencurahkan ilmu selama 6 tahun Han di sekolah rendah.

Alhamdulillah, dengan usaha Han  juga berkat doa dari semua, Han berjaya membuatkan guru-gurunya merasa puas hati. Kata orang, pencapaian yang gemilang waktu UPSR bukanlah menjamin kejayaan di masa hadapan. Aku setuju. Tanpa usaha yang berterusan, kejayaan ini hanya akan menjadi kenangan manis untuk dikenang. Untuk berjaya, Han perlu terus gigih berusaha. Harapanku agar pencapaiannya dapat dikekalkan seiring dengan kecemerlangan ilmu akhirat, sahsiah diri juga akhlaknya.

Untuk semua,  terima kasih atas doa kalian. Aku sangat menghargainya. Pastinya, Han juga begitu. Alhamdulillah, Han mendapat 5A untuk UPSR.

Monday, November 14, 2011

Semuanya berjalan lancar..

Pagi yang ceria. Tapi hati ini tak berapa ceria. Hari ini Is akan mengikuti Kem Usahawan yang dianjurkan oleh Kelab Usahawan di sekolahnya di Morib sehingga hari rabu nanti. Begitulah hati seorang ibu. Bila berjauhan dengan anaknya sudah tentulah rasa rindu, risau dan bermacam-macam perasaan lagi mula menyatu. Tapi untuk menolak permintaannya untuk turut serta dalam program tersebut terasa tidak sampai hati pula. Waktu kemaskan beg untuknya semalam aku dah mula sedih dah. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar dan semoga anakku di lindungi Allah selalu.

Semalam hari penyampaian hadiah di sekolah agama anak-anakku. Semuanya berjalan dengan lancar juga. Majlis di mulakan dengan acara khatam al-quran. Kemudian diikuti dengan persembahan secara berkumpulan dari anak-anak. Persembahan anak-anak sekolah rendah, pastinya menghiburkan dan nampak comel walaupun terselit kesilapan di sini sana ketika di pentas. Majlis diselangi dengan penyampaian hadiah. Alhamdulillah, Han terpilih menjadi Pelajar Cemerlang. Prestasinya sejak tahun 1 sehingga ke tahun 6  di SRI Raudatul Aulad mendapat perhatian dari ustazahnya. Sebak aku jadinya. Lebih sebak untuk ucapkan terima kasih pada ustazahnya yang berjaya membimbing anakku dengan begitu baik. Terima kasih banyak buat semua ustazah, ustaz dan guru-guru anak-anakku yang budi baik mereka tidak mampu ku balas.

Program Temu Mesra di PKNS Shah Alam berjalan dengan lancar pada sabtu lepas. Alhamdulillah, ada juga yang sudi datang dekat dan membeli buku. Terima kasih yer. Seronok dapat bertemu dengan novelis Hafimi Huzin yang dikatakan macam Justin Bieber tu. Salam teman-teman yang minta berkirim salam kepadanya telah aku sampaikan. Terima kasih banyak Hafimi Huzin untuk coklat yang sedap tu. Terima kasih juga untuk Ashraf, dari Grup Buku Karangkraf yang banyak memberi sokongan. Juga buat petugas Grup buku karangkraf yang peramah dan baik-baik belaka tempoh hari. Seronok dapat jumpa kalian semua. Ada rezeki, panjang umur kita jumpa lagi.

Semoga rahmat Allah sentiasa ada buat kita semua. Salam ceria buat semua.

Friday, November 4, 2011

Tokoh Kanak-Kanak Sekolah..

Salam untuk semua..

Waktu zaman sekolah rendah dulu, hari kanak-kanak memang dirai di sekolah. Teringat lagi betapa seronoknya bila cikgu membawa kami ke Stadium Negara untuk meraikan Hari Kanak-kanak peringkat kebangsaan ketika aku dalam darjah 6. Waktu tu, semua wakil bagi setiap negeri ada. Memang meriah suasananya. Siap masuk tv lagi. Pada hari tersebut, waktu yang paling di tunggu-tunggu ialah waktu Tokoh Kanak-kanak di nobatkan. Walaupun bukan namaku yang disebut, tapi aku tetap tumpang suka.

Hari ini sekolah anak-anakku meraikan hari kanak-kanak peringkat sekolah. Seminggu lepas Han ada berbisik padaku tentang sesuatu yang cikgu minta rahsiakan dari orang lain. Mama, cikgu pilih Han jadi tokoh kanak-kanak perempuan sekolah tahun ni. Mama diam-diam tau. Jangan sampai Is dengan Az tahu... Berseri-seri dan malu-malu wajah Han ketika itu. Tentunya dia teruja dan gembira.

Besarnya hatiku mendengar perkhabaran itu. Alhamdulillah, syukur. Bila dah rahsia tu memang adik-adiknya pun tak boleh tahu juga. Han terpaksa memberitahu padaku sebab cikgu minta beli baju untuk dipakai pada hari ini supaya sama dengan tokoh kanak-kanak lelaki. Tersenyum lebar en.asben bila aku khabarkan tentang berita anak perempuan kesayangannya itu. Hati mama dan ayah manalah yang tak seronok kan. Walaupun hanya di peringkat sekolah, kami tetap rasa cukup bangga dan terharu dengan pencapaian Han. Doaku semoga Han terus cemerlang dan berjaya di dunia dan akhirat. 

Tokoh kanak-kanak perempuan Sekolah SRD tahun 2011. Semoga anak sulungku ini menjadi contoh yang baik untuk adik-adiknya.

*Entah apalah cerita Is dan Az tentang kakaknya petang ni. Tentu mereka terkejut dan tak percaya. Tahniah untuk Han. I'm proud of you my dear.

Thursday, August 18, 2011

Poster 54 tahun..

Salam semua..

Hari ni nak share poster sempena 54 tahun Malaysia Merdeka yang di buat oleh Han dan kawan-kawannya di sekolah. Aku yang memang tak reti melukis ni memang kagum sangat tengok lukisan tu. Pada aku poster ni cantik. Orang-orangnya dilukis seperti watak anime. Bila aku menunjukkan rasa kagum tu Han kata Mama tahu tak ma, ramai sangat yang pandai lukis kartun anime macam ni di sekolah. Oh ye ker. Bagusnya kan. Han pun ada belajar melukis kartun anime macam ni. Tapi masih tak mahir lagi. Poster ni kawannya yang lukis. Han dan temannya yang seorang lagi cuma tolong warnakan saja. Dah terasa kemeriahan menyambut Merdeka sekarang ini kan..

Sama-samalah kita menghargai KEMERDEKAAN ini dengan bersatu padu.

Friday, April 22, 2011

Our wonderful Gift..

GOD granted my wish for having you,
and now through you GOD will give me another Gift...
Our wonderful Gift.. Thank you Allah.

Ayat yang di atas tu adalah sebahagian dari ayat dalam kad yang aku terima dari en.asben semasa aku mengandungkan anak sulungku Han. Kalau aku, selalunya lebih suka memilih kad yang penuh dengan kata-kata yang mengambarkan perasaanku. En. asben pula sukakan kad yang kosong. Makanya, kad dari en.asben untukku akan penuh dengan kata-katanya sendiri. Dan kata-kata yang ini sangat bermakna untukku dan sangat aku ingati sehingga kini. Thanks sayang.

Alhamdulillah, pada tanggal 22 April 1999, jam 9.05 minit pagi, aku selamat melahirkan bayi sulungku di Pusrawi Kajang. Kelahiran Han merupakan hadiah yang tak ternilai buat kami. Sekarang ini, Han lah satu-satunya anak perempuan kesayangan kami. Terima kasih Allah untuk anugerah yang indah ini. Hari ini genaplah 12 tahun umur Han. Terasa cepat  benar masa berlalu. (Tahun ini anakku akan mempunyai kad pengenalan sendiri).

Han suka sangat dengan tarikh hari lahirnya kerana ianya sama dengan tarikh Earth Day. Waktu dulu ada kempen satu kelahiran satu pokok oleh WWF. (Sekarang ada lagi ke? Aku tak pastilah pula). So, en. asben ada membelikan satu pokok untuk Han untuk ditanam sempena kempen itu di Bukit Jalil. Ianya merupakan hadiah hari lahir dan hari bumi untuknya. Ianya juga salah satu usaha untuk menyelamatkan bumi agar ianya kekal hijau. 

Happy "Bearthday" Han dari mama, ayah, adik & baby. Kami mendoakan segala yang terbaik buat Han. Semoga Han menjadi anak soleh yang beriman dan mendapat kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Semoga Han mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR nanti. All the best to you my dear darling. We all love u so much.

PS : Selamat Hari Bumi untuk semua juga.

Friday, March 18, 2011

Versi Han pula..

Sebenarnya memang sejak kecil kalau ke mana-mana Han mesti tak tinggal buku nota dan pen dalam begnya. Dia memang suka mencatat. Tapi bila dah besar ni dah kurang dah catatannya. Itu yang buatkan aku minta anak-anak tulis cerita mengenai percutian kami ni. Jadinya dapatlah aku lihat percutian itu from their point of view. So inilah pula cerita Han tentang percutian kami.

Perjalanan ke MEDAN.

12 Mac2011, Sabtu

Kami bertolak dari rumah ke LCCT, Sepang. Sampai disana, kami berkumpul sambil menunggu yang lain. Setelah selesai urusan membeli tiket, kami pergi ke ruang menunggu. (Tiket dah lama belilah sayang..) Kami menaiki kapal terbang kira-kira pada pukul 11.30 pagi dan tiba di Medan pada pukul 12.30 tengah hari. Kami menaiki bas yang ditempah ke restoran ACC atau ayam pop. Selepas makan, kami bertolak ke Parapat yang terletak di Danau Toba. Danau Toba ialah tasik terbesar di dunia hasil letusan gunung berapi. Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam. Akhirnya, kami tiba juga di 'Danau Toba International Cottage'. Kami makan di restoran hotel itu dan terus kembali ke bilik untuk berehat.

13 Mac 2011, Ahad

Selepas sarapan pagi, kami menaiki bot yang disediakan ke Pulau Samosir dan Tomok. Di Pulau Samosir, kami diberitahu bagaimana dan kepercayaan Orang Batak. Disana juga, kami diberitahu cara orang batak memancung kepala mereka yang bersalah. Di Tomok pula, kami ditunjukkan kubur-kubur raja di situ. Tetapi, sebelum masuk ke kawasan itu kami disuruh memakai 'ulos'. Selepas itu, kami menaiki bas dan bertolak ke Pasar Buah yang terletak di Berastagi. Disana, saya,adik dan beberapa orang saudara saya menaiki kuda mengelilingi pasar itu. Selepas membeli, kami pergi ke 'Danau Toba International Cottage' iaitu tempat penginapan kami yang berhadapan dengan gunung berapi. Disana, kawasannya sejuk seperti di Genting Highlands. Walaupun nama hotel tempat penginapan kami sama, tetapi tempatnya berlainan.

14 Mac 2011, Isnin

Kami bertolak dari hotel kami ke Pasar Ikan Lama yang terletak di bandar Medan. Pasar Ikan tidak menjual ikan tetapi hanya sejarah bahawa dahulu disitu tempat menjual ikan. Disitu, terdapat banyak barang-barang yang menarik dan murah. Selepas ke Pasar Ikan, kami ke Medan Mall yang terletak bersebelahan dengan Pasar Ikan. Kami pergi ke Garuda Plaza Hotel. Pada sebelah malamnya, kami pergi ke Pasaraya Yuki. Disana, kami menaiki ke tingkat atas untuk bermain. Banyak permainan yang kami naiki antaranya kereta langgar,permainan video dan banyak lagi.

15 Mac 2011, Selasa

Pada waktu pagi, saya,ibu,makcik dan nenek saya pergi ke Pasar Ikan sekali lagi untuk membeli barang lagi. Selepas pulang dari Pasar Ikan, kami menaiki beca sementara menunggn bas sampai untuk membawa kami ke lapangan terbang. Saya bersama adik saya berasa teruja kerana itulah kali pertama kami menaiki beca. Kami menaiki beca mengelilingi bandar Medan. Kami menaiki bas dan pergi ke lapangan terbang. Kami tiba di LCCT pada pukul 8.45 malam. Dan pada pukul 9.30 kami tiba di rumah. Saya berasa gembira dan berharap dapat pergi ke sana lagi.  

*Thanks Han, sebab tolong buatkan entry ni untuk mama. Luv u. 

Thursday, February 17, 2011

Eh.. marah ke?

Pagi tadi sebelum ke sekolah Is buat perangai. Malam semalam dia kata nak kulit telur tiga biji untuk di bawa ke sekolah. Okey, dah disediakan. Tebuk lubang kat belah bawah telur untuk keluarkan isinya. Lepas tu neneknya siap packing elok-elok letak dalam tupperware alas dengan tisu biar kulit telur tu tak pecah. Dia ambil dan tak cakap apa pun. Tup-tup pagi tadi dia kata kena lukis & kaler bagai. Masa dia cakap tu dah pukul 6 suku. Agaknya nak cakap kat aku dia takut sebab tahu salah dia. Makanya dia ngadu kat Han sajalah untuk tolong siapkan. Sebab nak cepat Han kaler guna highlighter saja.

Masa tu aku kat bawah. Kan malam tadi dah keluarkan isi telur 3 biji tu. So pagi tadi aku buatkanlah sandwich telur untuk bekal ke sekolah. Masa orang lain semua dah turun, Is tak turun-turun lagi. Aku dengar dia bentak-bentak sambil nangis-nangis kat atas. Aku tanya kenapa dia tak jawab. Bila turun bawah tengok mata dah merah dengan muka dah basah dengan air mata. Siap pergi sinki lagi cuci muka bagai sebab takut malu dengan kawan-kawan kot.

Bila tanya banyak kali barulah dia cerita yang Han buat tak lawa. Aduhai. Banyaklah songeh. Orang dah tolong lagi nak banyak cerita. Makanya apa lagi aku dengan neneknya pun repairlah balik dalam masa yang 2,3 minit sebelum van sampai. Okeylah puaslah hatinya. Tapi aku dah cakap sebab dia buat hal makanya sebagai denda aku tak bagi dia pergi padang petang nanti.

Balik sekolah petang tadi dia minta izin cakap elok-elok nak pergi main bola kat padang. Aku kata NO. Dia pujuk lagi. Aku kata NO juga. Aku cakaplah. Eh, orang yang main bola kat padang tu budak lelaki. Budak lelaki mana menangis. Tapi abang menangis pagi tadi so tak payahlah pergi padang untuk main bola.

Dia pun macam nak bentak lagi. Aku tanyalah, nak bentak lagi ke? Dia jawab Tak sambil ketap gigi. Eh, Marah ke? Usikku. Taaaak. Balasnya panjang. Oh ingatkan marah. Kalau marah boleh mama tambah lagi satu hari tak boleh pergi padang. Terus dia jawab elok-elok taklah mama. Mana ada abang marah. Sambil masuk mandi dan terus sarung baju tidur.

Dah macam cerita Tiga Abdul pulak aku mengajar anak..

Thursday, January 20, 2011

Selipar nenek pun jadi...

He..he.. semalam dalam kereta masa nak hantar Han ke tuisyen, macam nak pecah perut kita orang gelak. Mana taknya, semalam aku puasa, jadinya lambat sikit nak keluar rumah sebab nak berbuka dulu. Han pun baru nak makan waktu aku berbuka tu. Lepas solat maghrib semua, kelam kabutlah kami dua beranak keluar rumah. Sampaikan Han pakai tudung pun kat dalam kereta. Punyalah tak sempat.

Sebaik siap bertudung dia terjerit. Alamak mama, Han lupa pakai selipar.. Apalagi, melompatlah dia ke seat belakang untuk cari kot-kot ada kasut lain kat bawah kerusi kereta. Tapi takde. Nak pusing balik dah separuh perjalanan. Kalau nak pusing balik memang sah-sah masuk kelas lambat. Lagipun jangan haraplah dia nak minta patah balik sebab anak-anak aku ni semuanya macam en.asben. Lambat itu pantang. Kalau aku, lambat itu biasa. He..he..

Mama pakai selipar apa? Pakai selipar mama ajelah
. Cadang Han. Hmm.. Okey jugak tu. Aku pun bukannya nak singgah ke mana-mana. Lepas hantar terus balik rumah saja. Jadinya tak berkasut pun takpe. Masa kat trafik light, aku tengok kat kaki nak buka selipar... Alamak, mama pakai selipar nenek.

Punyalah nak cepat, aku pun main sauk aje selipar mak aku yang saiz 8 tu. Aduh, aku pakai pun longgar. Kalau Han pakai, lagilah. Tapi sebab tiada pilihan lain, terpaksalah juga Han memakainya. Tersenggih-senggih Han pandang muka aku masa keluar kereta. Macam lipas kudung dia berjalan takut orang perasan. Nasib baik malam.

Aduhai, poyo betul dua beranak ni. Selipar nenek pun boleh tibai jugak.. hi..hi..

Monday, January 3, 2011

Nak anak jadi artislah tu...

Petang semalam kami sekeluarga ke PKNS Bangi untuk majlis penyampaian hadiah anjuran Fun Music & Art untuk grading Electronic Keyboard Test Han. Alhamdulillah Han dapat merit untuk ujian ini. Thanks untuk Teacher Shirley yang banyak beri tunjuk ajar.

Ramai anak-anak yang belajar muzik di situ. Aku pun dah setahun juga menghantar anak-anakku ke sekolah muzik ni. Bila ada orang yang tahu, selalunya ayat pertama yang keluar dari mulut mereka ialah nak anak jadi artislah tu. Ha..ha.. Selalunya aku gelak saja. Malas nak banyak cerita dan cakap banyak. Walaupun sebenarnya bukan itu niat aku dan en.asben.

Memang aku sangat berminat untuk anak-anak aku belajar bermain alatan muzik ni. Tapi aku takde pun intention untuk jadikan anak-anak aku seorang artis. Apa yang kami mahu ialah anak-anak ada multi inteligent. Itu yang lebih penting. Kami nak bekalkan anak-anak kami dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang kami berdua tidak berpeluang mempelajarinya dulu.

Zaman sekarang ini terlalu ramai anak yang bijak-bijak dalam bidang akedemik. Maka sebab itulah kami mahukan anak-anak kami ada kemahiran tambahan. Makanya adalah kelebihan yang boleh menyokong pencapaian akedemik mereka nanti. Itu saja tujuannya. Bukanlah nak sangat anak-anak menjadi artis.

Anak-anak dah boleh main alatan muzik pun dah buat aku rasa puas hati. Tapi andai kata mereka mahu pergi lebih jauh pun dalam bidang itu rasanya aku tiada halangan. Asalkan perkara itu sesuatu yang positif, InsyaAllah, aku mahupun en.asben pastinya akan memberi sokongan. Jom layan sedikit gambar-gambar Han ni...

Han dengan pialanya bersama sebahagian anak-anak yang menerima piala grading semalam.

Persembahan guru-guru dari Fun Music.. yang tengah tu Teacher Steve, cikgu gitar Is.. Ada ramai juga anak-anak lain yang buat persembahan. Di mataku mereka nampak hebat.

Practices make perfect... he..he.. masa nak exam aje rajin praktis kat rumah ni..
Masa Trial Exam.. Nampak macam OK.. Tapi Han kata dia mengeletar masa ni.. Masa real exam takde gambar sebab aku dengan en.asben ada kat Bandung masa tu..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...